ENG | BM
Rencana
10 'Remake' 'live-action' filem animasi Disney

Penulis: Nisa Irina


Mana satukah 'remake' filem ikonik Disney yang anda tidak sabar untuk tonton?

Tahun demi tahun syarikat produksi Disney tidak berhenti dari menerbitkan filem-filem fantasi yang menarik bagi tontonan semua peminat bergenerasi.

Syarikat produksi Disney dibahagikan kepada beberapa studio animasi seperti Walt Disney Animation Studios, Pixar Animation Studios dan Marvel Studios.

Sejak menguasai teknik CGI dan animasi 3D, Disney dilihat semakin berkembang dalam industri filem Hollywood dengan jenama sendiri iaitu Disney Digital 3-D.


Mengikut peredaran zaman, Disney kini ligat menerbitkan filem-filem 'remake' dalam versi 'live-action' bermula dengan 'remake' "The Jungle Book" pertama pada tahun 1994.

Kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah 'remake' filem Disney dalam versi 'live-action' yang telah ditayangkan serta yang akan datang.

"Alice in Wonderland"



Pengarah yang terkenal dengan filem fantasi 'dark' Tim Burton tampil untuk mengarah filem 'remake live-action' animasi Disney "Alice in Wonderland" 1951. Watak istimewa di dalam filem ini selain Alice adalah Mad Hatter yang dilakonkan oleh bintang Hollywood terkenal, Johnny Depp. Dengan solekan tebal serta rambut palsu berwarna merah, ternyata Depp dapat menghidupkan karakter itu dengan jayanya.

Filem ini mengisahkan pengembaraan Alice Kingsleigh yang terjatuh ke dalam sebuah lubang dan memasuki dunia fantasi bernama "Wonderland" yang penuh dengan makhluk-makhluk aneh.

Di sana, Alice telah berkawan dengan beberapa makhluk termasuk Tweedledee dan Tweedledum, Mad Hatter, Cheshire Cat dan White Queen. Alice mendapat tahu bahawa dia telah ditakdirkan untuk melawan ratu yang digeruni di Wonderland iaitu Red Queen yang juga merupakan kakak kepada White Queen.

Sekuel filem ini juga telah ditayangkan pada 2016 dengan judul "Alice Through the Looking Glass". Kali ini Alice bersemuka dengan musuh baru bernama Time dan ia turut menceritakan kisah Mad Hatter yang bertemu dengan bapanya, Zanik Hightopp.

Filem yang menampilkan Mia Wasikowska sebagai Alice turut dibintangi Helena Bonham Carter, Anne Hathaway, Sacha Baron Cohen dan Rhys Ifans. Kedua-dua buah filem tersebut juga boleh ditonton dalam versi 3D dimana penonton dapat merasai sendiri berada dalam dunia Wonderland.

Tarikh tayangan: 4 Mac 2010

"Maleficent"



Jika peminat Disney telah diperkenalkan dengan watak Puteri Aurora dalam filem animasi "Sleeping Beauty" 1951, kini Disney membikin 'remake' dimana ia diceritakan dari perspektif watak pari-pari jahat Maleficent yang diterajui oleh Angelina Jolie.

Pada asalnya, Maleficent adalah seorang wanita jelita berhati mulia yang mempunyai kehidupan indah dalam sebuah kerajaan hutan. Namun dia bertukar menjadi makhluk jahat yang penuh dendam kerana dirinya telah dikhianati dan kerajaannya telah diserang tentera kerajaan lain.

Oleh sebab itu, dia telah memberi sumpahan kepada anak raja kerajaan tersebut iaitu Puteri Aurora. Selepas Aurora semakin dewasa, Maleficent menyedari bahawa hanya puteri itu dapat mengembalikan keamanan kedua-dua buah kerajaan tersebut.

Kini dengan kejayaan pecah panggung filem "Maleficent", Disney dalam proses menghasilkan sekuel berjudul "Maleficent: Mistress of Evil" yang sekali mengangkat Angelina Jolie sebagai watak ratu jahat itu. Ia bakal ditayangkan pada 17 Oktober 2019.

Dalam filem kedua ini, hubungan Maleficent dan Aurora yang bakal menjadi ratu, semakin rumit. Dalam pergelutan mereka untuk melindungi kerajaan masing-masing dan makhluk ajaib di sana, muncul musuh baru.

Selain Angelina Jolie, barisan pelakon filem ini ialah Elle Fanning, Ed Skrein, Sharlto Copley, Sam Riley, Harris Dickinson, Imelda Staunton, Juno Temple, Lesley Manville, Chiwetel Ejiofor dan Michelle Pfeiffer.

Tarikh tayangan: 29 Mei 2014

"Cinderella"



Memang tidak lengkaplah filem Disney jika tidak ada kisah dongeng romantik Cinderella. Filem animasi "Cinderella" telah ditayangkan pada 1950 dan turut disambung dalam sekuel "Cinderella II: Dreams Come True" 2002 serta "Cinderella III: A Twist in Time" 2007.

Filem 'remake' ini mengisahkan Ella, anak perempuan kepada seorang pedagang yang dijadikan sebagai pembantu rumah oleh keluarga tirinya selepas kematian bapanya. Suatu hari dia bertemu dengan seorang pemuda bernama Kit semasa berada di hutan. Tanpa pengetahuan Ella, Kit adalah putera raja di kerajaan tersebut.

Satu jemputan ke majlis tari menari di istana memberi harapan kepada Ella untuk bertemu semula dengan Kit. Namun ibu tiri Ella menghalangnya pergi ke majlis tersebut. Bagaimanapun Ella telah mendapat pertolongan magis daripada ibu pari-pari dan rakan-rakan haiwannya.

Filem fantasi arahan Kenneth Branagh ini dibintangi oleh Lily James, Cate Blanchett, Richard Madden, Holliday Grainger, Sophie McShera dan Helena Bonham Carter.

Tarikh tayangan: 12 Mac 2015

"The Jungle Book"



Kisah dongeng terkenal mengenai seorang budak lelaki yang dibesarkan oleh sekumpulan serigala diketuai Akela di dalam hutan setelah kematian ibu bapanya ini juga telah diterbitkan dalam sebuah 'remake live-action' pada 2016.

Diberi judul sama seperti filem animasi 1967, "The Jungle Book" berkisar mengenai watak Mowgli yang tinggal di dalam hutan bersama rakan-rakan haiwannya termasuk Baloo si beruang dan Bagheera si harimau kumbang.

Mowgli yang penuh sifat ingin tahu pergi meninggalkan hutan yang didiaminya untuk cuba hidup di sebuah perkampungan manusia namun dihalang oleh rakan-rakan haiwannya. Mowgli juga perlu berdepan dengan ancaman dari King Louie si orangutan gergasi, Kaa si ular sawa dan musuh utamanya, seekor harimau bernama Shere Khan.

Seperti filem animasinya, filem 'remake' ini juga dikatakan bakal dihasilkan dalam sebuah sekuel namun sebarang butiran lanjut masih belum diumumkan oleh Disney. Diarahkan oleh Jon Favreau, filem "The Jungle Book" 2016 dibintangi oleh Neel Sethi, Bill Murray, Ben Kingsley, Christopher Walken, Idris Elba, Scarlett Johansson, Lupita Nyong'o dan Giancarlo Esposito.

Tarikh tayangan: 7 April 2016

"Beauty and the Beast"



Sebuah lagi filem dongeng romantik muzikal yang berjaya memikat hati peminat Disney pastinya "Beauty and the Beast" yang diadaptasi dari filem animasi sama judul tahun 1991. Filem 'remake live-action' ini merupakan filem kedua yang berjaya mencapai kutipan tertinggi pada tahun 2017.

Rata-rata jalan cerita filem ini sama dengan filem animasinya dengan sedikit perubahan serta tambahan lagu baru. Watak Belle si gadis kampung jelita dibawa oleh pelakon siri filem "Harry Potter" Emma Watson sementara Beast pula dilakonkan oleh Dan Stevens.

Filem ini mengisahkan seorang putera raja yang telah disumpah menjadi raksasa hodoh kerana sikapnya yang bongkak. Hanya cinta sejati yang boleh menamatkan sumpahan tersebut dan semua ahli istana turut disumpah menjadi perabot dan barangan antik.

Belle mencari bapanya Maurice yang diculik Beast, kemudian mula jatuh cinta kepada raksasa itu selepas dikurung di dalam istananya. Dalam masa yang sama, Belle terpaksa menolak lamaran daripada si bongkak Gaston yang sudah lama menaruh hati padanya.

Diarahkan oleh Bill Condon, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Luke Evans, Emma Thompson, Kevin Kline, Ian McKellen, Ewan McGregor, Josh Gad dan Stanley Tucci.

Tarikh tayangan: 16 Mac 2017

"Dumbo"



Kisah dongeng si anak gajah comel bernama Dumbo ini pasti menjadi kegemaran kanak-kanak yang minat akan filem animasi Disney. Keistimewaan yang terletak pada karakter Dumbo adalah saiz telinganya yang besar dari gajah biasa, membolehkannya untuk terbang.

Filem animasinya telah diterbitkan oleh Walt Disney Productions pada tahun 1941. Pada tahun 2001, DVD khas bagi edisi ulang tahun ke-60 "Dumbo" memberi sedikit sedutan sekuel "Dumbo II" yang menampilkan karakter dan jalan cerita baru namun telah dibatalkan.

Tim Burton sekali lagi menjadi pengarah bagi filem 'remake live-action' "Dumbo" yang berlatar belakang zaman selepas Perang Dunia Pertama. Telinga besar Dumbo membuatkannya menjadi bahan jenaka di sarkas milik Max Medici. Holt Farrier dan anaknya Milly dan Joe telah direkrut oleh Medici untuk menjaga Dumbo.

Dumbo menarik perhatian seorang usahawan V.A. Vandevere yang mengambil anak gajah itu untuk kolaborasi hiburan terbaru Vandevere iaitu Dreamland. Namun disebalik kemeriahan Dreamland, tersembunyi satu rahsia gelap yang dapat diketahui oleh Holt.

Filem ini dibarisi pelakon seperti Colin Farrell, Michael Keaton, Danny DeVito, Eva Green dan Alan Arkin.

Tarikh tayangan: 28 Mac 2019

"Aladdin"



Disney sekali lagi tampil dengan filem digemari ramai sejak bergenerasi iaitu "Aladdin" yang diadaptasi dari filem animasinya pada tahun 1992 yang telah mencapai kutipan tertinggi pada tahun tersebut. Dua buah sekuel filem animasi itu turut dihasilkan iaitu "The Return of Jafar" 1994 dan "Aladdin and the King of Thieves" 1996.

Menerusi 'remake live-action' "Aladdin", penonton dihidangkan dengan sedikit nafas baru yang ditampilkan dalam filem tersebut. Sebagai contoh, terdapat karakter baru yang diperkenalkan iaitu Dalia, dayang kepada Puteri Jasmine dan Hakim, ketua pengawal istana yang setia kepada Sultan Agrabah.

Penonton juga dihiburkan dengan watak Genie yang dipegang oleh bintang terkenal Will Smith. Rata-rata ramai telah memuji lakonan Will membawa watak tersebut. Dia juga telah menjayakan lagu "Friend Like Me" dalam OST filem berkenaan dengan menambah sedikit elemen rap di dalamnya. Sebuah lagi lagu baru berjudul "Speechless" yang dinyanyikan oleh Naomi Scott turut ditampilkan dalam filem.

Malaysia telah melancarkan filem ini dalam versi Bahasa Malaysia di mana Sheila Amzah mengalih suara Puteri Jasmine, Nabil Zamanhuri sebagai Aladdin, Vince Chong sebagai Genie, Yazid Asril sebagai Jafar, Fadhli Mohd Rawi sebagai Sultan dan Aby Zarina Ahmad Roslan sebagai Dalia.

Filem ini berkisar mengenai seorang pemuda jalanan bernama Aladdin yang kemudiannya jatuh cinta kepada puteri Agrabah, Jasmine. Aladdin telah mendapat pertolongan daripada Genie yang memberinya tiga hajat selepas membebaskan Genie dari lampu ajaib. Namun Aladdin perlu menghalang wazir sultan, Jafar, dari mendapatkan lampu ajaib itu dan menguasai Agrabah.

Diarahkan oleh Guy Ritchie, filem "Aladdin" dibintangi oleh Mena Massoud, Naomi Scott, Will Smith, Marwan Kenzari, Navid Negahban dan Nasim Pedrad.

Tarikh tayangan: 23 Mei 2019

"The Lion King"



Tidak dapat dinafikan bahawa filem "The Lion King" adalah antara filem yang paling diminati ramai, terutamanya peminat setia Disney. Filem drama muzikal 'live-action' ini adalah adaptasi dari filem animasi klasik Disney pada tahun 1994 dengan judul sama. Tambahan lagi ia mencatatkan kutipan tertinggi pada tahun ia ditayangkan.

Ia berkisarkan tentang seekor singa bernama Simba dan pengembaraannya untuk mengganti bapanya Mufasa sebagai Raja Pride Lands. Namun ia bukanlah semudah yang disangka kerana pakciknya Scar, mempunyai rancangan sendiri untuk mengambil alih tahkta.

Pertarungan yang berlaku di Pride Rock menyebabkan Simba dibuang tetapi dengan bantuan dua rakan baru, Timon dan Pumbaa, dia kembali untuk mengambil haknya serta menewaskan Scar.

Jon Favreau menjadi pengarah filem ini yang menampilkan pelakon seperti Donald Glover, Beyonce Knowles, James Earl Jones, Chiwetel Ejiofor, Alfre Woodard, John Oliver, John Kani, Seth Rogen dan Billy Eichner.

Tarikh tayangan: 18 Julai 2019

"Lady and the Tramp"



Nampaknya Disney tidak berhenti setakat "The Lion King" sahaja pada tahun ini kerana filem 'live-action' "Lady and the Tramp" dijangka akan dirilis pada penghujung tahun ini. Filem animasinya telah ditayangkan pada tahun 1955 dengan judul yang sama.

Filem ini mengisahkan kehidupan seekor anjing baka Cocker Spaniel bernama Lady yang hidup mewah terasa disisihkan oleh tuannya selepas keluarga tersebut mempunyai bayi. Lady yang melarikan diri berdepan dengan dunia luar yang bahaya namun dilindungi oleh seekor anjing liar bernama Tramp.

Perasaan cinta mula berputik di antara dua ekor anjing tersebut sepanjang pengembaraan mereka. Mereka turut mendapat rakan-rakan anjing baru yang mengajar Lady kehidupan dunia luar. Masalah timbul apabila tuan Lady enggan menerima Tramp dalam keluarga mereka.

Tessa Thompson telah dipilih untuk mengalih suara Lady sementara Justin Theroux mengalih suara Tramp. Filem arahan Charlie Bean itu turut menampilkan Sam Elliott, Ashley Jensen, Kiersey Clemons, Thomas Mann, Benedict Wong, Janelle Monáe dan Yvette Nicole Brown.

Tarikh tayangan: 12 November 2019

"Mulan"



Salah satu filem animasi Disney yang mengangkat martabat golongan wanita adalah "Mulan" yang diterbitkan pada 1998. Atas sambutan ramai, filem ini turut dihasilkan dalam sebuah sekuel pada 2004.

Berdasarkan lagenda China Hua Mulan, filem ini menceritakan kehidupan gadis bernama Fa Mulan pada zaman dinasti Han. Mulan merupakan anak kepada pahlawan Fa Zhou dan dia ingin mengikut jejak langkah bapanya untuk menyertai tentera China melawan tentera Hun.

Sebagai gadis yang hidup di bawah rejim patriarki, dia tidak layak berkhidmat dalam tentera. Oleh sebab itu, Mulan telah menyamar sebagai seorang lelaki dan ditemani naga kecilnya Mushu, dialih suara oleh Eddie Murphy, dan seekor cengkerik bernama Cri-Kee.

Disney akan menerbitkan sebuah 'live-action' bagi "Mulan" pada tahun hadapan dengan judul yang sama. Diarahkan oleh Niki Caro, ia akan menampilkan barisan pelakon seperti Liu Yifei sebagai Fa Mulan, Donnie Yen, Gong Li, Jason Scott Lee, Yoson An, Tzi Ma dan Jet Li.

Tarikh tayangan: 27 Mac 2020


Cinema Online, 7 Julai 2019