ENG | BM
Rencana
5 Filem Bollywood terbaru ditayangkan sepanjang Aidilfitri

Penulis: Nisa Irina


Filem Bollywood manakah yang anda tidak sabar untuk tonton raya ini?

Tahun demi tahun dunia Bollywood dilihat semakin berkembang pesat dengan puluhan filem yang dihasilkan buat tontonan para peminat.

Filem-filem Hindi ini bukan sahaja ditayangkan di India, tetapi di seluruh dunia termasuklah di Malaysia kerana boleh dikatakan ramai dalam kalangan rakyat tempatan yang meminati filem Hindi.

Sempena dengan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, terdapat beberapa buah filem Bollywood terbaru yang bakal ditayangkan di layar lebar.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem Bollywood terbaru yang anda wajib tonton sepanjang bulan perayaan tidak lama lagi.

Bharat

Sudah pasti semua peminat bintang terkenal Salman Khan tidak sabar menanti tayangan filem terbaru lakonannya yang diberi judul "Bharat". Filem ini merupakan sebuah adaptasi dari drama Korea 2014 "Ode To My Father".

Ia berkisar mengenai seorang kanak-kanak bernama Bharat yang baru berusia lapan tahun berjanji kepada bapanya yang dia akan melakukan apa sahaja demi sentiasa menyatukan keluarga mereka. Selepas 60 tahun, Bharat masih berpegang pada janjinya walaupun mereka sekeluarga perlu menempuh pelbagai cabaran.

Selain Salman Khan, filem arahan Ali Abbas Zabar ini dibintangi oleh Katrina Kaif, Tabu, Sunil Grover, Disha Patani, Jackie Shroff dan Aasif Sheikh. Aktor Varun Dhawan turut membuat penampilan istimewa menerusi filem ini.

Tarikh tayangan: 5 Jun 2019

The Zoya Factor

Semua orang tahu bahawa negara India terkenal dengan sukan kriket. Dari Piala Dunia pada tahun 1983 hinggalah Piala Juara-Juara pada tahun 2013, India kekal dalam kedudukan tangga teratas dalam sukan kriket antarabangsa. Filem ini diadaptasi dari novel Anuja Chauhan dengan judul yang sama.

Ia berkisarkan tentang seorang eksekutif pengiklanan bernama Zoya yang tanpa sengaja menjadi pembawa tuah Pasukan Kriket India, selepas pasukan itu menyedari kehadiran gadis itu membawa kepada kemenangan perlawanan pasukan mereka. Bukan mereka sahaja yang percaya terhadap 'tuah' gadis itu, tetapi juga presiden kriket dan juga seluruh negara kecuali kapten baru pasukan itu, Nikhil.

Diarahkan oleh Abhishek Sharma, filem ini diterajui barisan pelakon seperti Sonam Kapoor, Dulquer Salmaan, Sanjay Kapoor, R. Bhakti Klein dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 14 Jun 2019

Kabir Singh

Filem ini adalah sebuah 'remake' filem Telugu pecah panggung 2017 berjudul "Arjun Reddy". Ia mengisahkan kehidupan seorang pakar bedah yang mempunyai sifat pemarah mula berubah. Dia terjebak dengan dadah dan menjadi kaki botol selepas kekasihnya dipaksa untuk berkahwin dengan orang lain.

Diarahkan oleh Sandeep Vanga yang juga pengarah "Arjun Reddy", filem ini dibintangi oleh Shahid Kapoor dan Kiara Advani sebagai peneraju utama. Antara barisan pelakon sampingan ialah Soham Majumdar, Suresh Oberoi, Arjan Bajwa dan Nikita Dutta.

Tarikh tayangan: 21 Jun 2019

99 Songs

Filem "99 Songs" menandakan debut bagi pemilik dua buah trofi anugerah Oscar, AR Rahman sebagai penerbit dan penulis skrip. Filem ini berkonsepkan sebuah drama romantik yang menampilkan aktor muda baru, Ehan Bhat.

Filem ini menceritakan kehidupan seorang penyanyi yang penuh liku-liku dan cabaran dalam mencapai impian untuk menjadi seorang komposer lagu yang berjaya. Ia akan dihasilkan dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Telugu dan Hindi.

Selain Ehan Bhat, filem arahan Vishwesh Krishnamoorthy ini turut menampilkan Edilsy Vargas, R. Bhakti Klein dan Ashwath Bhatt.

Tarikh tayangan: 21 Jun 2019

Drive

"Drive" adalah sebuah filem aksi komedi arahan Tarun Mansukhani dan diterbitkan oleh pembikin filem terkenal, Karan Johar. Walaupun temanya sama seperti filem Hollywood "Drive" 2011, namun menurut Karan Johar filem ini adalah permulaan bagi sebuah siri filem baru.

Filem penuh aksi ini mengisahkan tentang misi sekumpulan individu berlainan latar belakang yang perlu bekerjasama menumpaskan penjenayah paling hebat yang cuba merompak sebuah lokasi paling selamat di India. Mereka disertai oleh dua pelumba jalanan yang sangat mahir, Bikki dan Naina.

Barisan peneraju utama filem ini ialah Sushant Singh Rajput, Jacqueline Fernandez, Boman Irani dan Pankaj Tripathi.

Tarikh tayangan: 28 Jun 2019


Cinema Online, 1 Jun 2019