ENG | BM
Rencana
5 Filem adaptasi dari permainan video popular

Penulis: Nisa Irina


Dari 'game console' ke layar perak, manakah filem yang anda nanti-nantikan?

Tidak boleh dinafikan bahawa penciptaan permainan video telah membawa impak yang besar sebagai satu bentuk hiburan dalam kalangan generasi dari dahulu hingga kini.

Bagaimanapun, setelah berdekad pelbagai pihak produksi cuba mengadaptasi permainan video menjadi filem, hanya beberapa sahaja yang berjaya diangkat ke layar perak.

Antara filem-filem yang mendapat sambutan hebat dari kaki 'game' seluruh dunia ialah "Mortal Kombat", "Tomb Raider", "Assassin's Creed", "Resident Evil" serta siri terkenal "Final Fantasy" yang diterbitkan dalam bentuk filem dan beberapa siri televisyen.

Baru-baru ini, peminat Pokémon amat teruja dengan penerbitan filem 'live-action' raksasa comel itu yang berjudul "Pokémon Detective Pikachu".

Tidak lupa juga dengan si landak biru yang mampu berlari dengan kelajuan luar biasa, Sonic yang dihasilkan menerusi filem "SONIC: The Hedgehog".

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem adaptasi permainan video yang sudah ditayangkan dan akan ditayangkan tidak lama lagi.

"DreadOut"

"DreadOut" merupakan filem adaptasi permainan video pertama Indonesia yang diangkat ke layar lebar. Bagi yang tidak tahu, permainan video seram ini bukan sahaja berjaya mendapat sambutan tempatan, malah di serata dunia pada 2014.

YouTuber terkenal PewDiePie juga telah membuat 'review' bagi permainan video tersebut. Antara hantu Indonesia yang ditampilkan dalam permainan video 'survival' ini ialah pocong, genderuwo dan sundel bolong.

Filem ini berkisar tentang sekumpulan pelajar sekolah tinggi yang pergi ke sebuah pangsapuri terbiar untuk membuat 'live streaming' bagi mendapatkan lebih ramai pengikut. Malangnya, mereka perlu berdepan dengan roh jahat selepas salah seorang daripada mereka telah membuka portal dunia mistik secara tidak sengaja.

Filem seram arahan Kimo Stamboel ini dibintangi oleh Caitlin Halderman, Marsha Aruan, Susan Sameh, Rima Melati Adams, Avrila Segarlaki, Mike Luckock, dan Jeffri Nichol.

Tarikh tayangan: 18 April 2019

"Pokémon Detective Pikachu"

Pokémon atau Pocket Monsters adalah francais yang mula dikenali di Jepun sejak tahun 1996. Ia diterbitkan oleh syarikat permainan video terkenal di negara tersebut, Nintendo.

Sebaik sahaja bintang Hollywood Ryan Reynolds yang terkenal dengan watak adiwira Deadpool diumumkan untuk mengalih suara Pikachu, ramai sudah menjangka bahawa filem ini akan mendapat sambutan ramai.

Penonton pasti akan terhibur melihat gelagat comel raksasa kuning genit ini bersuara garau. Filem ini membawa penonton melihat makhluk-makhluk Pokémon yang hidup di dunia manusia.

Filem ini menceritakan tentang Tim Goodman yang bekerjasama dengan Detektive Pikachu yang boleh bercakap untuk mengembara di bandar metropolis Ryme City demi mencari bapanya yang hilang.

Barisan pelakon yang menerajui filem arahan Rob Letterman ini ialah Ryan Reynolds, Justice Smith, Kathryn Newton, Suki Waterhouse, Omar Chaparro, Chris Geere, Ken Watanabe dan Bill Nighy.

Tarikh tayangan: 9 Mei 2019

"The Angry Birds Movie 2"

Pasti ramai yang pernah bermain permainan video burung berwarna-warni terkenal ini. Filem pertama "The Angry Birds Movie" yang ditayangkan pada 2016 berjaya memegang rekod kedua tertinggi bagi filem adaptasi permainan video terbaik selepas "Tomb Raider".

Tarikh tayangan filem ini telah diubah dari September ke Ogos. Sekuel ini mengisahkan tentang khinzir-khinzir hijau diketuai King Mudbeard yang cuba meyakinkan Red dan burung-burung lain untuk berbaik dan bekerjasama.

Diarahkan oleh Thurop Van Orman, filem ini menampilkan suara pelakon Peter Dinklage, Bill Hader, Jason Sudeikis, Rachel Bloom, Dove Cameron, Josh Gad, Danny McBride, Leslie Jones, Sterling K. Brown dan ramai lagi.

Tarikh tayangan: 29 Ogos 2019

"SONIC: The Hedgehog"

Permainan video klasik Sonic ini mula diperkenalkan oleh syarikat Sega pada tahun 90-an. Filem tentang landak biru ini juga merupakan salah sebuah filem yang dinanti-nantikan oleh 'gamers' seluruh dunia.

Namun selepas trelernya diriliskan, rata-rata peminat tidak berpuas hati dengan rekaan karakter Sonic yang tidak sama dengan rekaan asalnya dalam permainan video. Oleh sebab itu, pihak produksi menangguhkan tayangan filem ini ke tahun hadapan bagi membaiki rekaan Sonic. Tarikh asal tayangan adalah pada 7 November.

Filem arahan Jeff Fowler ini mengisahkan Sonic yang cuba meloloskan diri dari penjahat Dr. Robotnik yang merancang untuk menakluk dunia menggunakan kuasanya. Sonic telah bekerjasama dengan syerif Tom Wachowski bagi menentang Dr. Robotnik.

Antara barisan pelakon filem ini ialah James Marsden, Tika Sumpter, Jim Carrey, Natasha Rothwell dan Neal McDonough.

Tarikh tayangan: 14 Februari 2020

"Monster Hunter"

Syarikat produksi yang menjayakan filem "Resident Evil" kini sedang menghasilkan sebuah lagi filem adaptasi permainan video terkenal, "Monster Hunter". Ia merupakan sebuah filem bergenre aksi thriller fantasi yang diarahkan oleh Paul W. S. Anderson.

Filem ini berkisar mengenai sekumpulan tentera 'United Nations' yang jatuh ke dalam portal dimensi lain dimana manusia perlu bertarung dengan raksasa. Mereka perlu bekerjasama bagi melindungi portal tersebut demi menghalang raksasa-raksasa itu dari memasukinya dan menyerang Bumi.

Peneraju filem "Resident Evil", Milla Jovovich akan memegang watak utama sebagai Captain Natalie Artemis. Selain itu, filem ini turut menampilkan Tony Jaa, Clifford "T.I." Joseph Harris Jr., Ron Perlman, Diego Boneta, Meagon Good, Josh Helman dan Jin Au-Yeung.

Tarikh tayangan: 4 September 2020


Cinema Online, 16 Jun 2019