ENG | BM
Rencana
5 Sekuel filem seram terbaru wajib tonton

Penulis: Nisa Irina


Sekuel filem manakah yang anda nantikan untuk menonton?

Setiap tahun filem bergenre seram sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia terbukti bahawa cerita-cerita hantu dan ilmu hitam mempunyai aura serta daya tarikannya yang tersendiri.

Walaupun ia hanya sebuah naskhah hiburan semata-mata, namun perlaksaan filem yang baik mampu membuat penonton ketakutan dan ia juga kadang-kadang boleh membuatkan penonton tidak tidur malam apabila membayangkan apa yang mereka tonton.

Filem-filem seram Hollywood juga mendapat sambutan baik oleh penggemar filem seram di negara kita sejak ia mula ditayangkan di sini.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah sekuel filem seram yang wajib anda tonton tidak lama lagi.

"Annabelle Comes Home"

Selepas kemunculannya dalam "The Conjuring", anak patung yang terkena sumpahan roh jahat iaitu Annabelle mula digeruni orang ramai yang menonton filem itu. Percaya atau tidak, cerita ini adalah berdasarkan kisah benar roh kanak-kanak bernama Annabelle Higgins yang mendiami sebuah anak patung Raggedy Ann. Kisah ini berlaku pada tahun 1970.

Selepas meraih sambutan menggalakkan menerusi filem pertama "Annabelle" (2014) dan kedua "Annabelle: Creation", kini anak patung ini akan menghantui anda semula menerusi "Annabelle Comes Home". Ketiga-tiga buah filem ini adalah 'spin-off' dari francais "The Conjuring".

Filem ini menceritakan tentang penyiasat paranormal Ed dan Lorraine Warren yang cuba mengekang kuasa jahat sebuah anak patung yang terkena sumpahan dengan cara mengurungnya di dalam bilik artifak di rumah mereka. Malangnya, Annabelle telah membangunkan roh jahat dalam bilik itu dan menyasarkan anak mereka Judy dan rakan-rakannya.

Barisan pelakon yang menerajui filem arahan Gary Dauberman ini termasuk Mckenna Grace, Madison Iseman, Katie Sarife, Patrick Wilson dan Vera Farmiga.

Tarikh tayangan: 9 Mei 2019

"Child's Play"

Sejak filem ini mula ditayangkan pada tahun 1980-an, ternyata anak patung bernama Chucky ini berjaya menjadi igauan kanak-kanak. Kini anak patung paling digeruni di seluruh dunia kembali dalam filem terbaru "Child's Play" yang akan ditayangkan pada bulan Jun.

Tujuh filem "Child's Play" yang sebelumnya menampilkan Chucky sebagai anak patung yang disumpah dan dikawal oleh roh jahat. Kelainan yang ditonjolkan dalam filem 'reboot' kelapan kali ini adalah anak patung yang lebih canggih seperti robot dan mempunyai nama baru iaitu Buddi.

Filem ini berkisar tentang Karen, seorang ibu tunggal yang telah memberikan anak lelakinya Andy patung Buddi sebagai hadiah hari jadinya. Bagaimanapun si ibu tidak menyedari bahaya yang bakal berlaku berikutan patung itu hidup dan berkelakuan ganas.

Filem arahan Lars Klevberg ini dibintangi oleh Aubrey Plaza, Gabriel Bateman, Brian Tyree Henry, Tim Matheson dan Mark Hamill sebagai Buddi.

Tarikh tayangan: 20 Jun 2019

"It: Chapter Two"

Masihkah anda ingat lagi dengan Pennywise, si badut yang paling ditakuti ramai? Filem "It" merupakan sebuah adaptasi dari novel hasil nukilan Stephen King pada 1990. Filem ini kemudian dibuat semula dan ditayangkan pada 2017. Penampilan Pennywise telah diubah sedikit bagi memberi impak yang lebih menakutkan.

Menerusi filem pertama, penonton telah diperkenalkan dengan tujuh orang ahli 'The Losers' Club' yang sama-sama menentang seekor makhluk jahat bertopengkan badut bernama Pennywise yang menculik kanak-kanak di bandar kecil Derry, Maine setiap 27 tahun.

Bersedia untuk hadapi fobia terhadap badut bergigi taring ini menerusi filem sekuel berjudul "It: Chapter Two" berlatar belakangkan kisah 'The Losers' Club' setelah 27 tahun di mana mereka sudah meningkat dewasa. Satu panggilan telefon memaksa mereka kembali ke Derry untuk menunaikan janji memusnahkan Pennywise, tetapi makhluk itu kembali lebih kuat untuk membalas dendam.

Diarahkan oleh pengarah asal Andy Muschietti, filem ini dibintangi oleh James McAvoy, Jessica Chastain, Jay Ryan, Bill Hader, Isaiah Mustafa dan James Ransone.

Tarikh tayangan: 5 September 2019

"Zombieland: Double Tap"

Mungkin dengan adanya elemen komedi, sebuah filem seram akan kurang menakutkan. Begitulah yang ditonjolkan dalam filem seram komedi zombi berjudul "Zombieland" yang ditayangkan pada 2009. Filem itu telah mendapat kutipan yang tinggi sekaligus menjadikan ia salah satu filem pecah panggung di Amerika Syarikat.

Filem itu berkisar tentang empat orang yang terselamat dari virus yang menukar manusia menjadi zombi. Mereka perlu mengembara ke Los Angeles di samping berjuang dalam meneruskan hidup serta menewaskan zombi dalam perjalanan ke destinasi mereka.

Selepas satu dekad ditayangkan, sekuel bagi filem ini telah dihasilkan berjudul "Zombieland: Double Tap". Columbus, Tallahasse, Wichita and Little Rock kembali semula dan perlu berdepan dengan zombi yang semakin kuat, orang-orang yang terselamat dan ragam masing-masing.

Emma Stone, Jesse Eisenberg, Woody Harrelson dan Abigail Breslin adalah barisan aktor yang akan kembali membintangi filem seram komedi arahan Ruben Fleischer ini.

Tarikh tayangan: 10 Oktober 2019

"The Conjuring 3"

Nampaknya francais "The Conjuring" tidak terhenti begitu sahaja apabila berjaya menarik perhatian peminat filem seram dengan filem-filem 'spin-off' berjudul "Annabelle", "The Nun" dan "The Curse of the Weeping Woman".

Kini "The Conjuring Universe" telah memperkenalkan sebuah lagi filem mereka berjudul "The Conjuring 3" yang menampilkan pasangan penyiasat paranormal, Ed dan Lorraine Warren. Dalam filem ketiga ini mereka perlu menyelesaikan sebuah kes melibatkan seorang lelaki yang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh. Lelaki itu dikatakan telah dirasuk semasa kejadian pembunuhan itu berlaku.

Seperti filem-filem yang sebelumnya, filem arahan Michael Chaves ini akan diterajui oleh Patrick Wilson dan Vera Farmiga sebagai Ed dan Lorraine Warren.

Tarikh tayangan: 11 September 2020


Cinema Online, 7 Jun 2019