ENG | BM
Rencana
Industri filem tempatan kutip lebih RM100 juta 2 tahun berturut-turut

Penulis: Ashraf Nasser

Sudahkah anda menonton filem-filem pecah panggung ini?
Sudahkah anda menonton filem-filem pecah panggung ini?

Tahun 2019 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan boleh dikatakan tahun yang cemerlang buat industri filem tempatan sekaligus meneruskan kecemerlangan tahun 2018.

Industri filem tempatan tahun lalu menyaksikan rekod baru telah dicipta apabila jumlah kutipan filem pada tahun tersebut berjaya meraih kutipan lebih RM120 juta.

Untuk tahun 2019, menurut carta pecah panggung yang diambil dari laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang kali terakhir dikemaskini pada November lalu menyaksikan kutipan telah pun melebihi RM94 juta selepas 38 buah filem ditayangkan di pawagam.

Bagaimanapun angka itu sebenarnya sudah pun meningkat jika berdasarkan daripada laporan media mengenai kutipan beberapa buah filem tempatan yang berjaya dapat kutipan pecah panggung seperti "Ejen Ali The Movie" (RM25 juta) dan "Pusaka" (RM13.7 juta).

Jika ditambah dengan jumlah kutipan kedua-dua filem itu, industri perfileman tempatan sudah pun mencipta rekod baru dengan mengutip lebih RM130 juta.

Jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana ketika ini kutipan beberapa buah filem masih lagi belum diumumkan antaranya "Wira", "Garang", "Busut Bonang" dan "Banglo No.99".

Mungkin kutipan "Busut Bonang" dan "Banglo No.99" hanya akan memberi kesan yang cukup kecil dari segi kutipan, tetapi jumlah kutipan paling ditunggu-tunggu adalah filem "Wira" yang merupakan salah sebuah filem paling dinanti-nantikan pada tahun 2019.

Jadi, menerusi artikel terbaru Cinema Online kali ini, penulis akan membuat rumusan mengenai industri filem tempatan sepanjang tahun 2019 dengan lebih terperinci.

3 Filem animasi tempatan jadi penyumbang terbesar

Percaya atau tidak, filem animasi pada tahun ini iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal", "BoBoiBoy Movie 2" dan "Ejen Ali The Movie" telah menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan jumlah kutipan filem pada tahun ini.

Jumlah kutipan bagi ketiga-tiga filem ini adalah lebih RM80 juta dan jumlah ini akan terus meningkat naik kerana filem "Ejen Ali The Movie" masih lagi ditayangkan di pawagam di seluruh negara ketika ini.

Kejayaan filem animasi tempatan ini telah membuktikan animasi hasil anak tempatan kini sudah mula mendapat perhatian penonton tanah air, malah lebih membanggakan filem animasi tempatan berjaya mendominasi carta kedudukan di pawagam-pawagam tempatan walaupun terpaksa bersaing dengan filem-filem besar Hollywood.

Ternyata industri animasi di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) kini mula membuka mata orang ramai termasuk di luar negara mengenai kemampuan anak tempatan menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa.

Hanya 11 buah filem berjaya dapat kutipan lebih RM1 juta

Jika anda lihat dari jumlah kutipan 3 buah filem animasi yang penulis sebutkan di atas, sudah pasti anda tidak akan terkejut dengan jumlah filem tempatan yang berjaya raih kutipan melebihi RM1 juta.

11 buah filem yang berjaya kutip lebih RM1 juta ini termasuklah tiga buah filem animasi. Ini bermakna hanya lapan buah filem cereka sahaja berjaya dapat kutipan lebih RM1 juta.

Melihat kepada situasi ini, 11 buah filem ini hanya mewakili sebanyak 25 peratus dan selebihnya iaitu 33 buah filem mewakili 75 peratus mendapat kutipan bawah RM1 juta dan lebih teruk menanggung kerugian besar berikutan kos pembikinan filem yang tinggi.

Penulis tidak ingin senaraikan filem-filem yang mendapat kutipan yang cukup menyedihkan di sini kerana artikel mengenai Filem Tempatan Tak Laku 2019 akan menyusul tidak lama lagi.

Punca filem tempatan gagal dapat sambutan penonton

Jika anda masih ingat lagi, industri perfileman tempatan pernah berada dalam puncak kejayaan yang mana setiap filem yang dihasilkan kebanyakkannya mendapat kutipan cukup memberangsangkan walaupun tidak berjaya dapat kutipan puluhan juta ringgit. Ketika 'zaman kegemilangan' itu, ramai penerbit baru muncul seperti 'cendawan tumbuh selepas hujan' apabila mengambil kesempatan di atas situasi itu dengan menghasilkan filem-filem 'sampah' untuk disajikan kepada penonton.

Ternyata sikap tamak yang ingin keuntungan besar dengan 'menipu' penonton dengan menghasilkan filem 'sampah' telah menyebabkan penonton muak dan akhirnya telah mengambil tindakan dengan memboikot filem-filem tempatan kerana sudah tidak percaya lagi.

Ketika ini industri perfileman tempatan seperti 'telur di hujung tanduk' apabila boleh dikatakan setiap filem yang diriliskan tidak mendapat sambutan langsung walaupun ada sesetengah filem mendapat pujian daripada pengkritik filem.

Bagaimanapun, situasi itu kini sudah beransur pulih secara perlahan-lahan dan ini dapat dilihat menerusi kutipan beberapa filem tempatan yang sudah berjaya mendapat kutipan puluhan juta ringgit yang mana sebelum ini ramai yang tidak menyangka filem tempatan mampu dapat kutipan seperti itu.

Penonton beri 'peluang kedua' kepada filem tempatan

Sejak dua ke tiga tahun kebelakangan ini kita dapat melihat penonton tempatan sudah mula kembali memberi kepercayaan pada filem-filem tempatan, tetapi mereka tidak sembrono menonton setiap filem tempatan yang ditayangkan, sebaliknya bersikap selektif terhadap setiap filem-filem yang ditayangkan.

Ini kerana mereka mahu memastikan wang yang dibelanja benar-benar berbaloi dan filem yang ditonton mampu beri impak kepada mereka. Dengan penggunaan media sosial yang semakin meluas memudahkan mereka untuk mendapatkan ulasan atau komen daripada orang yang sudah menonton filem itu dan dari situ baru mereka akan membuat keputusan samada mahu tonton atau tidak.

Malah mereka juga sudah tidak lagi bergantung kepada treler semata-mata, jadi setiap pembikin filem harus ubah sikap dari terus menyalah penonton yang tidak menyokong filem tempatan, sebaliknya terus berusaha menghasilkan filem-filem berkualiti yang menepati cita rasa penonton tempatan. Tidak mustahil untuk berbuat demikian kerana sudah banyak filem tempatan yang berjaya. Apa yang penting adalah berikan yang terbaik dan bukannya buat filem seperti 'melepaskan batuk di tangga' sahaja atau filem 'syok sendiri'.

Fokus pada kualiti berbanding kuantiti

Rasanya penulis sering memberi penekanan terhadap soal kualiti sesebuah filem dan bukan berapa banyak filem tempatan dapat dihasilkan dalam setahun. Jika sebelum ini kita pernah menyaksikan lebih 80 buah filem dihasilkan dalam setahun, tetapi sejak tahun 2016 jumlah tersebut telah menurun hampir separuh apabila hanya sekitar 40-59 buah filem sahaja dihasilkan setiap tahun.

Sekiranya faktor kualiti menjadi keutamaan setiap pembikin filem, penulis percaya filem tempatan akan memperlihatkan perbezaan yang cukup ketara dan ia juga akan memudahkan lagi filem-filem tanah air untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Jalin kerjasama atau kolaborasi untuk hasilkan sebuah filem

Sudah tiba masanya setiap penerbit filem mempertimbangkan perkara ini iaitu menjalinkan kerjasama atau berkolaborasi dengan syarikat produksi lain untuk menghasilkan sebuah filem. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan beban dari pelbagai aspek, tetapi juga dapat memastikan kualiti karya itu terjamin.

Kolaborasi antara syarikat produksi ini sudah pun mula menjadi 'trend' dan filem "Sangkar" adalah salah satu contoh yang cukup bagus untuk dicontohi apabila ia menggabungkan empat gergasi produksi tanah air iaitu Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

Satu lagi filem yang boleh dicontohi adalah filem animasi "Ejen Ali The Movie". Filem animasi itu adalah hasil kolaborasi antara Wau Animation dan Primeworks Studios. Dengan kepakaran animasi daripada pihak Wau Animation dan kepakaran dalam mempromosi filem oleh Primeworks, filem animasi itu kini sudah berjaya meraih kutipan pecah panggung lebih RM25 juta dan jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Ramalan untuk tahun 2020

Akhirnya kita bakal masuk ke tahun Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sudah pasti harapan penulis menggunung untuk melihat industri filem meneruskan kecemerlangannya untuk tahun ketiga berturut-turut dan seterusnya.

Untuk tahun 2020, peminat akan disajikan dengan beberapa buah filem paling dinanti-nanti dan dijangka akan menjadi filem pecah panggung pada masa sama dapat meneruskan kecemerlangan atau akan menjadi tahun paling hebat industri filem sepanjang zaman.

Antara filem yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan adalah "Munafik 3", "Abang Long Fadil 3", Polis Evo 3", "Mat Kilau", "Masterpicisan", "Anak Rimau", "Daulat", "Rock 4: Rockers Never Dai" dan banyak lagi.

Berdasarkan senarai filem yang disebut ini, pasti ramai yang tidak sabar menonton filem ini kelak bukan? Jadi teruskan bersama Cinema Online untuk mendapatkan kemaskini terbaru mengenai tarikh tayangan kesemua filem-filem ini nanti.


Cinema Online, 29 Disember 2019

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
Prestasi industri filem tempatan suku ketiga 2019
Adakah suku ketiga tahun ini ada peningkatan? Jom baca rumusan prestasi industri filem tempatan.
Prestasi industri filem tempatan suku kedua 2019
Apakah ada perubahan sepanjang suku kedua berbanding suku pertama? Jom baca!
Prestasi industri filem tempatan 2018
Tahun 2018 boleh dikatakan tahun yang cukup menakjubkan buat industri filem tempatan.
Filem paling dinanti-nantikan pada 2020
Jom lihat senarai filem-filem menarik yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Filem tempatan terpaksa ditunda akibat COVID-19
Berikut adalah senarai beberapa buah filem tempatan yang terpaksa menunda tarikh tayangan filem mereka.