ENG | BM
Rencana
Mampukah "BoBoiBoy Movie 2" atasi kejayaan filem pertama

Penulis: Ashraf Nasser


Adakah anda salah seorang peminat yang tidak sabar menunggu tayangan "BoBoiBoy Movie 2"?

Sejak beberapa tahun lalu industri animasi tempatan dilihat berkembang dengan begitu pesat sekali dengan banyak animasi-animasi tempatan mula mendapat perhatian penonton tempatan dan juga luar negara.

Selain animasi popular "Upin & Ipin", negara juga mempunyai satu lagi animasi besar iaitu " BoBoiBoy" yang mana siri animasi itu berjaya mendapat sambutan dalam dan luar negara.

Kejayaan siri animasi terbitan Animonsta Studios itu telah membuatkan mereka terus melangkah ke depan dengan menghasilkan filem animasi pertama mereka iaitu "BoBoiBoy The Movie" yang ditayangkan pada tahun 2016.

Dengan bermodalkan RM5 juta, animasi hasil anak tempatan ini telah mendapat sambutan luar biasa yang mana ia telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung sekitar RM16 juta dan ini telah mengangkat filem animasi itu menjadi filem animasi pertama negara berjaya dapat kutipan tertinggi.

Bagaimanapun, rekod yang dipegang oleh "BoBoiBoy The Movie" sejak 2016 telah berakhir apabila filem animasi "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang ditayangkan pada bulan Mac lalu telah berjaya memecah rekod baru dengan kutipan lebih RM25 juta dan masih lagi ditayangkan di Malaysia dan di beberapa negara lain.

Mampukah "BoBoiBoy Movie 2" atasi kejayaan filem pertama mereka

Selepas kejayaan filem animasi pertama mereka, pengarahnya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Razak telah mengumumkan yang mereka akan muncul dengan filem kedua mereka pada tahun 2017 dan akhirnya ia bakal menemui penonton pada 8 Ogos ini.

Dengan kejayaan filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" baru-baru ini, sudah pasti ramai yang meletak harapan yang cukup tinggi untuk filem kedua "BoBoiBoy" ini memandangkan filem pertama menjadi penanda aras baru buat filem animasi tempatan.

Bagaimanapun, penulis merasakan yang pihak Animonsta tidak akan meletak sasaran untuk menandingi kejayaan filem animasi terbitan Les' Copaque, sebaliknya meletak sasaran untuk memastikan filem animasi kedua mereka lebih baik dari filem animasi pertama.

Tetapi, sekiranya mereka berjaya mengatasi kutipan filem terbaru "Upin & Ipin" ia umpama bonus buat mereka selain berjaya merampas semula takhta 'raja animasi' tempatan.

Harapan menggunung peminat terhadap "BoBoiBoy Movie 2"

Seperti penulis katakan di atas tadi, menghasilkan filem terbaru "BoBoiBoy" bukanlah mudah buat pasukan Nizam kerana jangkaan peminat semakin tinggi dan mereka perlu pastikan filem yang dihasilkan bukan sahaja 'segar' dari jalan cerita tetapi juga perincian terhadap animasi.

Ini kerana kualiti filem animasi tempatan sudah berubah selepas munculnya filem terbaru "Upin & Ipin" yang tampil dengan animasi yang cukup menakjubkan dan setaraf animasi Hollywood. Ini semua dapat direalisasikan kerana pihak Les' Copaque sanggup mengeluarkan bajet besar iaitu lebih RM20 juta untuk pembikinan filem animasi terbaru mereka.

Namun untuk filem "BoBoiBoy The Movie 2" tiada berita mengenai berapa bajet yang mereka keluarkan untuk filem animasi terbaru mereka, tetapi apa yang pasti pasukan Animonsta akan lakukan yang terbaik untuk filem mereka dan juga untuk industri animasi tempatan.

Animonsta mempunyai juruanimasi bertaraf antarabangsa

Siapa kata juruanimasi atau 'animator' tempatan tidak bagus! Percaya atau tidak, Malaysia kini mempunyai ramai anak-anak muda yang mempunyai kepakaran setaraf juruanimasi antarabangsa dan ini telah dibuktikan apabila banyak animasi-animasi tempatan termasuk "BoBoiBoy" berjaya menarik perhatian banyak negara yang mahu menayangkan animasi tempatan di negara mereka.

Jadi, menerusi filem animasi terbaru Animonsta ini, kita bakal disajikan dengan kehebatan anak tempatan dalam menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa.

Belum ditayangkan, tetapi sudah tarik minat banyak negara

Percaya atau tidak filem "BoBoiBoy Movie 2" bakal ditayangkan di empat buah negara serentak pada 8 Ogos nanti iaitu Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif buat industri filem tempatan apabila karya tempatan mendapat tumpuan daripada negara luar.

Selain tiga negara lain yang ditayangkan serentak, ada beberapa buah negara lagi yang mungkin akan menayangkan filem animasi tempatan ini seperti Thailand, Kemboja, Laos, Filipina dan beberapa lagi.

Jika dilihat dari minat banyak negara luar yang ingin tayangkan filem animasi "BoBoiBoy Movie 2" ini, tidak mustahil filem animasi ini akan menjadi salah sebuah filem terbesar tempatan pada tahun ini dan juga terbesar yang pernah dihasilkan oleh Animonsta. Jadi sama-sama kita beri sokongan yang tidak berbelah-bahagi apabila ia ditayangkan di pawagam kelak.

Dalam filem terbaru ini akan menyaksikan BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu menentang satu kuasa kuno yang digelar Retak'ka yang mahu merampas elemen kuasa BoBoiBoy.


Cinema Online, 28 Julai 2019