ENG | BM
Rencana
Prestasi industri filem tempatan suku kedua 2019

Penulis: Ashraf Nasser


Sudahkah anda menonton filem-filem ini?

Pejam celik kita hampir di akhir suku kedua tahun bagi tahun 2019 dengan tinggal kurang beberapa hari sahaja seluruh umat Islam di dunia akan menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Berbalik kepada topik asal iaitu mengenai industri filem tempatan. Beberapa perubahan drastik telah berlaku apabila Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) terutamanya dalam Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) apabila menterinya telah melantik penerbit dan pengarah filem terkenal Ahmad Idham sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan penerbit, dan pengarah dan pelakon Dato' Hans Isaac sebagai Pengerusi FINAS yang baharu.

Pada tahun 2019, industri filem tempatan bermula agak perlahan berbanding tahun terdahulu, bagaimanapun masih ada beberapa buah filem yang mendapat kutipan jutaan ringgit dari sembilan buah filem yang ditayangkan sehingga hujung Februari lalu.

Menurut laporan 'box-office' yang diambil dari laman sesawang FINAS yang mana menyaksikan sehingga kini sebanyak 17 buah filem tempatan sudah dan masih ditayangkan di pawagam tempatan dengan jumlah kutipan keseluruhan lebih RM48 juta.

Jumlah kutipan ketika ini sangat memberangsangkan jika hendak dibandingkan dengan suku pertama tahun ini yang mana jumlah kutipan perlahan dan hanya mendapat kurang RM15 juta tetapi hampir 90 peratus jumlah itu datang daripada tiga buah filem iaitu "Misteri Dilaila" lebih RM9 juta, "Amazing Spring" lebih RM3 juta dan "A Journey Of Happiness" sekitar RM1.3 juta.

Jumlah filem tempatan yang ditayangkan pada suku pertama tahun ini juga merudum kepada lapan buah filem sahaja dengan pecahan 4 filem Melayu, 3 filem Cina dan 1 filem India.

Peningkatan ketara pada suku kedua

Tidak dapat dinafikan ramai yang menyangka filem seram thriller arahan Syafiq Yusof "Misteri Dilaila" akan mencetuskan fenomena luar biasa sekaligus mencatat rekod kutipan terbaru, namun usaha tersebut gagal.

Namun permulaan pada suku kedua cukup positif apabila filem aksi komedi "Bikers Kental 2" berjaya mendapat kutipan pecah panggung dengan kutipan lebih RM7 juta. Jumlah kutipan itu nyata melebihi sasaran pembikin filem tersebut.

Seminggu kemudian, filem animasi 3D paling ditunggu-tunggu bukan sahaja oleh peminat di Malaysia sahaja tetapi juga di beberapa negara jiran iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" ditayangkan pada 21 Mac 2019 bersempena dengan musim cuti sekolah.

Ternyata percaturan yang dibuat oleh Les' Copaque membuahkan hasil apabila filem itu berjaya mendapat kutipan lebih RM25 juta sepanjang beberapa minggu ditayangkan di pawagam dan sehingga kini filem itu masih lagi ditayangkan.

Antara beberapa negara jiran yang bakal menayangkan filem mengenai kembar seiras comel ini seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Vietnam dan paling membanggakan adalah animasi tempatan akhirnya berjaya menembusi pasaran China.

Jadi dengan modal besar sebanyak RM20 juta digunakan untuk menghasilkan filem animasi bertaraf antarabangsa ini, pihak Les' Copaque dilihat tidak akan berdepan sebarang cabaran untuk mendapatkan semula modal dan untung hasil penjualan tiket filem itu.

Sama seperti suku pertama, untuk suku kedua ini hanya dua buah filem sahaja iaitu "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dan "Bikers Kental 2" menjadi penyumbang terbesar dari 10 buah filem yang ditayangkan.

Keadaan agak tidak stabil apabila kini jurang filem yang berjaya dengan tidak berjaya menjadi sangat jauh apabila filem-filem lain hanya mampu mengutip RM500 ribu paling tinggi dan selebihnya kurang daripada itu. Lebih menyedihkan ada yang hanya berjaya mengutip RM21 ribu sahaja iaitu filem "Bu".

Filem dapat pengiktirafan & anugerah di luar negara masih disisihkan penonton

Pada bulan April lalu filem "Fly By Night" ditayangkan di seluruh pawagam dalam negara yang mana ia merupakan sebuah filem Mandarin yang diarahkan oleh pengarah berbangsa Melayu. Filem yang mengisahkan tentang jenayah yang berlaku dari kalangan pemandu teksi ini mendapat pujian daripada pengkritik filem antarabangsa.

Malah ia juga mendapat banyak pengiktirafan serta menjelajah ke serata dunia untuk buat tayangan perdananya di festival filem antarabangsa. Namun segala pengiktirafan tersebut tidak memberikan sebarang impak langsung kepada penonton tempatan.

Ini dibuktikan apabila filem itu hanya berjaya mendapat kutipan sebanyak RM102 ribu sahaja dan jumlah ini nyata kecil dan mengecewakan. Jalan cerita yang ditampilkan cukup bagus, tetapi ia masih tidak dapat menarik penonton untuk menonton filem ini.

Ramalan untuk suku ketiga

Jika dilihat dari prestasi suku pertama dan kedua tahun ini, penulis menjangkakan jumlah kutipan keseluruhan filem pada tahun ini akan turun mendadak berikutan tidak banyak filem tempatan yang akan ditayangkan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk berkata demikian kerana jika diikutkan terdapat beberapa filem tumpuan yang masih lagi belum diumumkan tarikh tayangannya antaranya filem aksi epik "Mat Kilau" arahan Syamsul Yusof dan beberapa lagi yang masih lagi belum mendedahkan butiran lanjut mengenai filem itu.

Apa pun sama-sama kita tunggu dan lihat bagaimana prestasi industri filem tempatan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.


Cinema Online, 9 Jun 2019