ENG | BM
Rencana
"Pusaka" hantui penonton dengan kes jenayah paranormal

Penulis: Nisa Irina

Poster filem "Pusaka" dengan tona warna filem yang memberi elemen seram.
Poster filem "Pusaka" dengan tona warna filem yang memberi elemen seram.

Tahun berganti tahun, industri perfileman tempatan sememangnya dilihat semakin kaya dengan filem-filem bergenre seram. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian daripadanya yang berjaya menambat hati penonton.

Manakan tidak, bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan sesebuah naskhah seram yang mampu memberi igauan dan mimpi ngeri kepada penonton. Kebanyakannya hanya padat dengan 'jumpscare' semata-mata.

Bagaimanapun, filem terbaru arahan Razaisyam Rashid berjudul "Pusaka" telah diuar-uarkan sebagai filem paling seram 2019. Bukan itu sahaja, pengarah berbakat itu juga tampil dengan idea kreatif untuk mengetengahkan elemen penyiasatan dan aksi.

Jika ingin tahu lebih lanjut, Cinema Online akan menyenaraikan beberapa sebab untuk menyakinkan lagi pembaca ke pawagam demi menonton filem ini.

Sentuhan kreatif daripada pengarah Razaisyam Rashid

"Pusaka" menceritakan tentang Inspektor Nuar Ishak yang ditugaskan untuk menyiasat kes melibatkan pasangan adik beradik kembar yang ditemui terkurung dalam sebuah rumah kosong. Penyiasatan Inspektor Nuar membawanya merungkai sedikit demi sedikit misteri di sebalik penemuan kembar itu yang melibatkan unsur ilmu hitam yang diamalkan turun temurun oleh keluarga kembar tersebut.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan sekalung tahniah buat pengarah berbakat ini kerana mampu menghasilkan sebuah filem tempatan yang setanding dengan filem-filem seram antarabangsa. Disini penulis berani menyatakan bahawa filem "Pusaka" saing-saing dengan filem "The Conjuring".

Menurut pengarah, dia telah banyak menghabiskan masa menonton filem-filem seram tempatan dan antarabangsa sebagai persiapan dan rujukan untuk diolah semula dengan gaya penceritaan yang tersendiri. Penulis juga tertarik dengan unsur ilmu hitam, keagamaan dan kekeluargaan yang diselitkan dari mula hingga akhir filem ini selain nilai dan pengajaran yang menyentuh jiwa serta dapat dijadikan contoh buat para penonton.

Padat dengan aksi, misteri dan 'plot twist'

Walaupun masih mengekalkan elemen 'jumpscare' seperti filem-filem seram lain, namun sejujurnya penonton tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku pada babak seterusnya sekaligus membuatkan penonton tidak senang duduk dan berdebar-debar. Bahkan ada penonton yang tidak sanggup membuka mata bagi menonton babak-babak seram yang terdapat dalam filem ini.

Jalan cerita yang mengetengahkan misteri kes jenayah paranormal ini juga padat dengan 'plot twist' sehinggakan membuatkan penonton keliru siapa antagonis sebenar yang dicari-cari. Penghujung filem ini juga merupakan sesuatu yang tidak dapat dijangka oleh penonton. Sekiranya anda ingin tahu siapakah dalang sebenar di sebalik kes jenayah pasangan kembar ini, cabarlah diri anda untuk menonton filem ini.

Cinematografi dan muzik tema

Pada pendapat penulis, pengarah berjaya menimbulkan 'mood' suspens dan momentum seram menerusi latar belakang, tona warna dan pemilihan lokasi yang bertepatan dengan genre filem ini, terutamanya babak di dalam rumah kosong, kawasan kilang dan wad hospital. Buat pengetahuan lanjut, para pelakon turut mendedahkan bahawa mereka diganggu makhluk halus ketika menjalankan penggambaran di kawasan rumah kosong tersebut.

Jurukamera juga pandai memfilemkan 'shot' dan 'angle' yang menarik, membuatkan penonton merasa seperti mereka berada dalam situasi berkenaan. Antara babak mengerikan yang penonton tidak boleh terlepas adalah di mana watak gadis kembar, Qistina, menarik keluar gumpalan rambut dari tekaknya dan memuntahkan objek-objek bersalut darah.

Selain itu, pemilihan muzik latar belakang dan 'sound effects' filem ini sahaja sudah mampu membuatkan penonton merinding bulu roma. Menerusi filem ini, pihak penerbit telah mendapatkan khidmat komposer berpengalaman iaitu Dato' Wah Idris untuk menghasilkan lagu tema filem berjudul "Kejam" nyanyian Siti Nordiana.

Dibintangi barisan pelakon hebat

"Pusaka" merupakan filem seram kedua lakonan Syafiq Kyle selepas membuat debut di layar perak menerusi filem "Langsuir". Bertanggungjawab untuk menggalas watak utama iaitu Inspektor Nuar Ishak, lakonan Syafiq dilihat semakin mantap dan mempunyai peningkatan dari sebelumnya. Menurut Syafiq, segala lagak aksi yang dilakukan dalam filem ini adalah atas hasil kerja keras sendiri tanpa perlu menggunakan khidmat 'stuntman'.

Filem ini turut dibintangi pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Mimi Lana sebagai Nur Ishak dan Hafidz Roshdi sebagai Sarjan Luqman, sekaligus menandakan "Pusaka" sebagai filem debut mereka. Sejujurnya, penulis berpendapat lakonan kedua-dua mereka sangat bagus biarpun ini kali pertama mereka membintangi filem. Semoga filem ini dapat melebarkan lagi peluang untuk kerjaya mereka sebagai penggiat seni tanah air.

Selain itu, filem ini juga menampilkan dua pelakon veteran tanah air iaitu Fauziah Ahmad Daud dan Faizal Hussein. Tidak perlu ulas banyak tentang mereka kerana penulis yakin bahawa rata-rata penonton tahu betapa hebatnya lakonan kedua-dua pelakon berbakat yang sudah lama menapak dalam industri perfileman tempatan ini.

Tidak lupa juga barisan pelakon lain seperti Sweet Qismina yang berjaya menggalas dua watak kembar yang tidak pernah dilakonkannya sebelum ini. Di sebalik kisah seram dan misteri, terselit juga elemen komedi yang membuatkan penonton tidak kering gusi lakonan Megat Sharizal dan Aloy Paradoks.

Secara ringkasnya penulis ingin membuat kesimpulan bahawa "Pusaka" merupakan filem seram wajib tonton pada tahun ini. Ia merupakan sebuah naskhah baru dan segar yang menggabungkan pelbagai genre menarik serta belum pernah diketengahkan dalam industri perfileman tempatan. Jadi penulis berharap semua rakyat Malaysia dapat memenuhi pawagam bermula 31 Oktober ini untuk sama-sama menonton filem "Pusaka".

 


Cinema Online, 31 Oktober 2019