ENG | BM
Rencana
5 Pelakon wanita terbaik di Malaysia

Penulis: Nisa Irina

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini industri seni tanah air menyaksikan ramai pelakon-pelakon baru muncul terutamanya pelakon wanita yang dilihat seperti 'cendawan tumbuh selepas hujan'.

Trend ini dilihat berterusan apabila drama-drama terbaru di kaca televisyen sering menampilkan muka baru. Walaupun ia memberi petunjuk industri seni tanah air semakin berkembang, namun ia juga mempunyai sisi gelapnya.

Jika dilihat kepada pelakon baru ini, kebanyakkan daripada mereka hanya bersandarkan kepada rupa paras dan jumlah pengikut di laman sosial untuk mendapat peluang membintangi drama atau filem sebagai pelakon utama walaupun lakonan mereka ini dilabel sebagai 'kayu'.

Malah baru-baru ini industri seni kecoh apabila seorang penerbit drama terkenal mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka yang tidak ada rupa jangan buang masa untuk hadir ke sesi uji bakat kerana mereka tidak akan dipilih.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan netizen termasuklah segelintir pelakon hebat tanah air yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu, dan berkata pihak penerbit dan pengarah sepatutnya mengutamakan bakat lakonan berbanding rupa paras.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan lima orang aktres tempatan yang bukan sahaja mempunyai rupa paras yang jelita tetapi juga BAKAT lakonan!

Elizabeth Tan

Elizabeth Tan atau lebih mesra dikenali sebagai Lizzy mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan selepas lima tahun menceburkan diri dalam bidang muzik sebagai penyanyi. Lizzy membuat debutnya dalam dunia lakonan menerusi filem "Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium" dan kemudian membintangi beberapa drama dan telefilem.

Tidak menafikan lakonannya dalam filem sulung agak 'kaku', namun Lizzy tidak cepat melatah sebaliknya terus berusaha dan bekerja keras untuk mengasah bakat lakonannya membuahkan hasil apabila lakonannya mula mendapat pujian daripada penonton. Malah lakonannya dalam filem kedua berjudul "Misteri Dilaila" juga memperlihatkan kematangannya dalam lakonan.

Baru-baru ini, aktres berusia 26 tahun ini juga menyatakan dirinya kini lebih selesa berada dalam dunia lakonan kerana ia memberi kepuasan kepadanya.

Ayda Jebat

Ayda mula dikenali ramai menerusi drama "Rindu Awak 200%" dimana dia digandingkan dengan Zul Ariffin.

Ayda Jebat atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat merupakan seorang lagi penyanyi yang mula menempa nama dalam dunia lakonan. Penyanyi genit kelahiran Melaka ini adalah salah seorang peserta Akademi Fantasia musim ke-sembilan. Ayda mula membuat penampilan sebagai watak sampingan dalam filem "Gila-Gila Remaja" yang merupakan kesinambungan daripada filem asal pada 1985 dengan judul sama.

Kejayaan besar yang dilihat pada lakonan Ayda adalah melalui drama "Rindu Awak 200%" serta beberapa telefilem dan drama lain. Tambahan lagi, dia turut memegang watak Laila Safitri dalam filem arahan Osman Ali, "Pinjamkan Hatiku". Lebih membanggakan apabila Ayda telah tercalon serta menang beberapa anugerah seperti Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Skrin.

Nabila Huda

Walaupun pernah dianggap menumpang populariti Amy Search, kini Nabila Huda berjaya membina nama sendiri setaraf ayahnya.

Siapa tidak kenal anak sulung kepada lagenda rock popular Amy Search ini. Nabila Huda adalah salah seorang pelakon senior dalam industri filem tempatan. Manakan tidak, setelah pelakon berusia 35 tahun ini berjaya membina namanya dalam kerjayanya sejak 2001 lagi melalui filem "Lagi-Lagi Senario". Nabila juga telah membintangi beberapa filem laris seperti "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam", "Bohsia 2: Jalan Kembali", "Juvana", "Munafik", "Gamatisme", "Tombiruo: Penunggu Rimba" dan banyak lagi.

Antara anugerah yang berjaya diraih oleh Nabila sepanjang kerjayanya sebagai anak seni adalah Pelakon Wanita Terbaik (Festival Filem Malaysia ke-28), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Majlis Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur), Gandingan Serasi Filem (bersama Syamsul Yusof) (Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30) serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Festival Filem Malaysia ke-30).

Nur Fazura

Fazura menyifatkan kata-kata negatif dari media sosial membuatkan dirinya terus maju dalam kerjaya.

Bukan sahaja hebat dalam lakonan, Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin juga merupakan seorang penyanyi, pengacara dan juga model. Isteri kepada Fattah Amin ini memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan menerusi filem "Bicara Hati". Sejak itu, Fazura mula menjadi rebutan penerbit dan pengarah drama dan juga filem yang mahukan khidmatnya.

Antara senarai filem yang dibintangi pelakon jelita ini termasuklah "Gol & Gincu", "Pisau Cukur", "Lagenda Budak Setan", "Kami Histeria", "Manisnya Cinta Di Cappadoccia", "J Revolusi" dan banyak lagi.

Kehebatan Fazura mula diiktiraf apabila dia berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-17 menerusi filem "Bicara Hati" pada tahun 2004 dan kemudian Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi "Manisnya Cinta Di Cappadoccia".

Pelantun lagu "Sayangi Dirimu" ini juga memenangi Anugerah Skrin 2009 bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) menerusi "Pisau Cukur" dan pencalonan bagi kategori sama menerusi "Kami Histeria" serta pencalonan bagi Pelakon Wanita Terbaik (Filem) menerusi "Manisnya Cinta Di Cappadoccia" di Anugerah Skrin 2014.

Sharifah Amani

Sharifah Amani mahu lebih fokus dalam bidang penulisan serta menyiapkan skrip baru filem pendeknya.

Mempunyai raut wajah kacukan Cina, Arab, Benggali yang diwarisi serta fasih dalam bahasa English, Melayu dan Hindi, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya tampil lengkap sebagai seorang pelakon bermutu yang mempunyai gaya tersendiri dalam setiap lakonannya. Pelakon muda yang cukup berbakat ini adalah anak kepada pelakon serta tenaga pengajar Akademi Fantasia, Fatimah Abu Bakar.

Sharifah Amani atau dikenali dengan panggilan manja Nani, terkenal dengan watak Orked dalam dua naskhah arahan Allahyarham Yasmin Ahmad iaitu "Sepet" dan "Gubra". Selain itu, Nani turut tampil dalam filem "Mukhsin", "Magika", "Hikayat Merong Mahawangsa", dan "Pekak", sekaligus dicalonkan serta memenangi beberapa anugerah peringkat negara dan antarabangsa.

Selain berlakon, Nani juga terlibat dengan dunia di belakang tabir yang mana aktif menghasilkan skrip dan mengarah.


Cinema Online, 22 Mei 2019