ENG | BM
Rencana
5 Studio animasi terus hasilkan karya bertaraf antarabangsa

Penulis: Ashraf Nasser


Animasi manakah yang anak anda atau anda sendiri yang minat?

Kira-kira tiga tahun lalu Cinema Online pernah menyiarkan artikel berkaitan dengan industri animasi tempatan yang mana ramai tidak mengetahui kita mempunyai lebih dari 10 studio animasi yang menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa.

Sejak dari itu, industri animasi tempatan terus berkembang dengan begitu pesat sekali dengan masing-masing terus berusaha untuk menghasilkan animasi berkualiti dan pada tahun 2019 menyaksikan sejarah baru tercipta apabila tiga buah filem animasi tempatan ditayangkan di pawagam.

Animasi yang dimaksudkan adalah "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" yang sudah pun ditayangkan pada 21 Mac lalu bukan sahaja berjaya mendapat filem pecah panggung, malah berjaya mencatat rekod sebagai filem animasi tempatan mendapat kutipan tertinggi.

Manakala dua buah lagi filem animasi tempatan bakal menemui anda tidak lama lagi iaitu "BoBoiBoy Movie 2" yang dijangka akan ditayangkan pada 8 Ogos ini dan "Ejen Ali The Movie" yang masih lagi belum mempunyai tarikh tayangan.

Walaupun kita mempunyai banyak studio animasi di Malaysia, namun Cinema Online ingin menyenaraikan lima studio animasi yang terus berkembang dengan jayanya di Malaysia dan juga di luar negara.

Animonsta Studios

Kita mulakan dengan Animonsta Studios yang mana filem animasi 3D kedua mereka berjudul "BoBoiBoy Movie 2" bakal menemui penonton tidak lama lagi iaitu pada bulan Ogos ini. Bermula dengan siri animasi di televisyen, animasi "BoBoiBoy" terus mendapat sambutan yang cukup hangat dari kalangan penonton kanak-kanak sejak ia ditayangkan pada tahun 2011. Percaya atau tidak, animasi ini bukan sahaja mendapat sambutan di negara sendiri, malah ia turut mendapat sambutan luar biasa di 44 buah negara di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bukan sahaja kepada negara tetapi juga berjaya membuktikan kualiti animasi tempatan sudah setaraf dengan antarabangsa. Kejayaan demi kejayaan yang diperoleh oleh "BoBoiBoy" telah mengangkat ia menjadi animasi terbesar Malaysia selepas "Upin & Ipin".

Pihak Animonsta kini teruja untuk menayangkan filem terbaru mereka yang mana Ketua Pegawai Eksekutif, Nizam Razak yang juga bertindak sebagai penerbit dan penyumbang suara untuk watak Papa Zola meletak harapan tinggi untuk filem terbaru mampu mengatasi jumlah kutipan filem pertamanya iaitu lebih RM18 juta yang mana ketika itu menjadi filem animasi pertama yang mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah.

Les' Copaque

Mana mungkin tidak masukkan sekali studio animasi Les' Copaque yang terkenal dengan animasi comel kembar seiras "Upin & Ipin". Studio animasi ini boleh dikatakan sebagai 'pioneer' dalam industri animasi tempatan. Siri animasi "Upin & Ipin" yang mula ditayangkan pada tahun 2007 tidak perlu menunggu lama apabila animasi it uterus mendapat tempat di hati penonton terutamanya kanak-kanak yang sangat seronok menonton telatah comel dua beradik kembar ini.

Apa yang membuatkan animasi ini unik adalah latar belakang dan plot ceritanya yang memberi tumpuan kepada budaya tempatan seperti kehidupan kanak-kanak di kampung selain menampilkan aktiviti-aktiviti budak kampung yang mana ada dari kalangan kanak-kanak moden ini tidak pernah merasainya. Animasi ini bukan sahaja menarik minat kanak-kanak sahaja, malah penonton dewasa juga tertarik dengan animasi ini kerana secara tidak langsung membuatkan mereka mengimbau semula kenangan manis ketika zaman kanak-kanak mereka.

Kejayaan siri animasi "Upin & Ipin" ini telah membawa Les' Copaque untuk menghasilkan filem animasi pertama mereka yang diberi judul "Geng: Penggembaraan Bermula" pada tahun 2009. Seperti yang dijangka ia telah berjaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan daripada penonton. Seperti "BoBoiBoy", animasi "Upin & Ipin" merupakan animasi tempatan pertama yang berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan banyak lagi negara termasuk Timur Tengah. Malah animasi ini juga telah menarik minat saluran kanak-kanak terkenal dunia iaitu Disney untuk menayangkan animasi ini dalam versi Bahasa Inggeris.

Selepas kejayaan filem pertama, Les' Copaque tidak terburu-buru untuk menghasilkan filem kedua, sebaliknya mereka mengambil masa sedekad untuk kembali dengan filem kedua yang diberi judul "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal". Ia bukan sahaja mengambil masa yang lama untuk disiapkan, malah ia turut menjadi filem animasi/cereka tempatan menelan belanja paling besar dengan bajet RM20 juta. Filem animasi terbaru ini baru sahaja ditayangkan pada bulan Mac lalu dan ia telah berjaya mencipta sejarah baru apabila mendapat kutipan lebih RM25 juta.

Jumlah itu diambil dari laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Bagaimanapun jumlah sebenar masih lagi belum diketahui, tetapi apa yang pasti jumlah kutipan sebenar nanti pasti akan berlipat kali ganda kerana filem animasi ini turut ditayangkan di beberapa negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan terbaru China. Selain animasi "Upin & Ipin", Les' Copaque juga mempunyai beberapa siri animasi lain seperti "Puteri" dan "Pada Zaman Dahulu".

Wau Animation

Jika disebut nama studio animasi Wau Animation ini mungkin ramai yang tidak kenal. Tetapi jika disebut mengenai animasi perisikan kanak-kanak iaitu "Ejen Ali" sudah pasti ramai yang mengenailinya termasuk ibu bapa. Untuk pengetahuan anda, Wau Animation merupakan pemilik Intellectual Properties (IP) kepada "Ejen Ali". Ia merupakan animasi hasil buah fikiran oleh pemuda yang merupakan tulang belakang kepada studio Wau Animation.

Animasi "Ejen Ali" mula dikenali ramai selepas ia ditayangkan di stesen televisyen TV3 dalam slot kanak-kanak dan ia tidak menunggu lama apabila dengan cepat menjadi popular dari kalangan kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak sekolah rendah. Ternyata kerjasama antara Wau Animation dan Primeworks Studio telah membuka peluang lebih besar kepada studio animasi ini untuk terus berkembang.

Kini setelah beberapa tahun siri animasi "Ejen Ali" ditayangkan di kaca televisyen, mereka mula mengorak langkah ke depan apabila bakal muncul dengan filem animasi pertama mereka iaitu "Ejen Ali The Movie". Filem ini dijangka akan ditayangkan pada tahun ini, bagaimanapun butiran lanjut mengenai tarikh rasmi filem animasi ini akan ditayangkan belum diketahui. Sekiranya filem animasi ini disahkan ditayangkan pada tahun ini, maka ia akan mencipta sejarah baru buat industri animasi tempatan apabila tiga buah filem animasi tempatan diriliskan pada tahun yang sama.

Animasia Studio

Mungkin ramai yang kurang mengenali studio animasi Animasia Studio ini namun sudah pasti ramai yang sudah menonton siri animasi popular hasil ciptaan mereka iaitu "Bola Kampung" dan "Supa Strikas" yang mana satu berkisarkan mengenai kanak-kanak di sebuah kampung yang mempunyai minat yang cukup mendalam terhadap sukan bola sepak. Manakala "Supa Strikas" pula lebih berkisarkan mengenai dunia bola sepak profesional yang penuh dengan pelbagai dugaan, cabaran dan kontroversi.

Selain dua animasi itu, Animasia turut menghasilkan beberapa animasi lain seperti "Chuck Chicken", "Harry & Bunnie", "ABC Monsters", "Balla Bowl", "Fairytales From Orient" dan "Magiki". Animasi-animasi ini kebanyakkannya tidak ditayangkan di Malaysia sebaliknya ditayangkan di luar negara dan ini membuktikan yang animasi tempatan bukan sahaja berjaya menembusi pasaran antarabangsa, tetapi juga mendapat sambutan daripada penonton luar negara.

Walaupun aktif dalam pembikinan siri animasi untuk televisyen, namun Animasia turut mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem animasi 3D iaitu "Chuck Chicken – The Movie". Filem itu sepatutnya ditayangkan pada tahun 2018 namun telah ditunda kepada tahun 2019, tetapi sehingga kini berita mengenai bilakah filem animasi ini akan ditayangkan masih belum diketahui.

Filem animasi ini adalah hasil kerjasama antara dua studio animasi iaitu Malaysia-China; Animasia Studio dan Zero One Animation. Jadi kepada peminat yang masih tertanya-tanya bilakah filem animasi ini akan ditayangkan, diharap anda dapat bersabar kerana ia pasti akan menemui anda tidak lama lagi.

Digital Durian

Sama seperti Wau Animation dan Animasia Studio, studio animasi Digital Durian ini juga tidak dikenali oleh orang ramai tetapi animasi terbitan mereka terkenal di seluruh Malaysia. Studio animasi Digital Durian ini ditubuhkan oleh dua anak muda iaitu Sinan Ismail dan Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian pada tahun 2008. Namun pada permulaan mereka tidak menghasilkan animasi tetapi lebih tertumpa kepada memberi perkhidmatan multimedia antara perniagaan seperti kandungan e-Learning, video multimedia, animasi 3D untuk industri korporat.

Bagaimanapun, mereka akhirnya menghasilkan IP sendiri pada tahun 2012 yang diberi judul "Didi & Friends". Animasi ini pada mulanya dihasilkan bertemakan eksplorasi sains untuk kanak-kanak prasekolah, namun mereka kemudian mendapati kurangnya lagu kanak-kanak bahasa Malaysia yang berkualiti, jadi mereka ambil keputusan untuk mengalihkan fokus "Didi & Friends" kepada lagu prasekolah yang ditayangkan di saluran YouTube.

Percaturan mereka membuatkan hasil selepas ia secara rasmi dilancarkan pada 15 Mei 2014. Lagu-lagu yang ditampilkan bukan sahaja mengenai lagu Malaysia tetapi mereka turut menterjemahkan lagu kanak-kanak luar negara ke bahasa Malaysia seperti "Bingo" dan "Pak Atan Ada Ladang" (Old McDonald Had a Farm). Sambutan memberangsangkan daripada penonton telah membuatkan animasi "Didi & Friends" kemudian telah ditayangkan di Astro Ceria setahun kemudian.

Selain "Didi & Friends", Digital Durian turut mempunyai satu lagi animasi yang diberi judul "Omar & Hana". Animasi yang lebih kepada kanak-kanak Melayu ini turut mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

Pada tahun lalu, Digital Durian telah mencipta sejarah mereka tersendiri apabila telah menghasilkan filem animasi pertama mereka iaitu filem muzikal berjudul "Konsert Hora Horey Didi & Friends". Dalam filem animasi itu turut menampilkan dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tomok. Apa yang menakjubkan adalah tayangan filem animasi ini mendapat sambutan luar biasa apabila tiket tayangan hari pertama habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Untuk filem kedua mereka buat masa ini masih lagi belum disahkan, bagaimanapun ada ura-ura yang mengatakan ia bakal direalisasikan tidak lama lagi. Apa-apa pun teruskan bersama Cinema Online untuk mendapatkan maklumat terkini sekiranya filem animasi kedua "Didi & Friends" akan ditayangkan atau tidak.


Cinema Online, 4 Ogos 2019