ENG | BM
Rencana
Syafiq Kyle impi kepelbagaian watak dalam kerjaya

Penulis: Nisa Irina

Syafiq Kyle simpan impian jadi pengarah.
Syafiq Kyle simpan impian jadi pengarah.

Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Syafiq Kyle merupakan pelakon lelaki terkenal yang tidak asing lagi dalam industri seni hiburan tempatan. Syafiq dilahirkan pada 24 Jun 1992 di Kuala Lumpur.

Syafiq berjaya menempa nama setelah meraih tempat kedua dalam pertandingan Hero Remaja 2011/12 serta semakin mencuri tumpuan ramai apabila dipilih membintangi drama bersiri "Tanah Kubur" di Astro Oasis.

Mempunyai lulusan dalam Diploma Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Syafiq mendedahkan dia menyimpan impian untuk menjadi pengarah pada suatu hari nanti. Idea itu tercetus selepas dia terlibat dengan projek video promosi busana Aidilfitri, Jiwa dari Kylez by Syafiq Kyle.

Tahun demi tahun, Syafiq berjaya meletakkan dirinya dalam liga tersendiri. Bakat dan popularitinya semakin menyinar selepas membintangi beberapa buah filem, telefilem serta drama rantaian popular seperti "Nur" dan "Nur 2".

Kali ini Cinema Online akan membawa anda menyingkap latar belakang serta perjalanan karier seni Syafiq Kyle dengan lebih lanjut.

Bermula dengan watak-watak kecil

Seperti yang sedia maklum, Syafiq mula mengorak langkah ke dunia hiburan selepas menjadi finalis dan dinobatkan sebagai naib juara Hero Remaja 2011/12. Menerusi program itu, Syafiq bertanding dengan barisan pelakon lain seperti Fattah Amin, Saharul Ridzwan, Hafreez Adam, Ben Amir, Fendy Bakry dan Hafidz Roshdi.

Sebelum namanya semakin popular, Syafiq hanya memegang watak-watak kecil dan menjadi pelakon pembantu menerusi drama bersiri seperti "Iparku Diva", "Tanah Kubur" dan "Kerana Terpaksa Aku Relakan".

Buat kali pertama, Syafiq tampil sebagai watak utama menerusi drama "Bila Hati Berbicara", di mana dia digandingkan dengan pelakon Atikah Suhaime serta Azira Shafinaz dalam drama "Married Tapi Benci".

Drama, telefilem dan fenomena "Nur" dan "Nur 2"

Drama bersiri popular "Nur" telah meninggalkan impak besar dalam kerjaya Syafiq sebagai pelakon. Menerusi drama berunsur keagamaan dan kekeluargaan itu, Syafiq menerajui watak Ustaz Adam yang jatuh cinta kepada seorang gadis lorong bernama Nur yang dilakonkan oleh Amyra Rosli.

Atas sambutan peminat yang menggalakkan, pengarah kemudiannya tampil dengan sekuel "Nur 2". Kejayaan dan fenomena drama itu juga telah melayakkannya untuk merangkul beberapa anugerah serta dikatakan bakal diangkat ke layar perak dan pentas teater.

Bagaimanapun, Syafiq memberitahu dia tidak mahu terus membawa watak seperti Ustaz Adam kerana berpendapat lebih banyak watak berbeza yang ingin diterokai. Syafiq turut berkata dia akan bersikap lebih selektif terhadap tawaran dan memandang jalan cerita berbanding watak yang akan dilakonkan.

Ternyata drama bersiri romantik "Mencintamu Mr Photographer", yang diadaptasi dari novel yang sama judul, memberi tuah buat Syafiq dan gandingannya Hannah Delisha yang semakin dikenali ramai pada 2017 kerana drama tersebut. Keserasian mereka yang terserlah berjaya mendapat sambutan daripada para peminat walaupun hanya digandingkan buat pertama kali.

Di samping itu, Syafiq turut berlakon bersama Zahirah Macwilson menerusi "Tak Ada Cinta Sepertimu" dan "Senafas Rindu" bersama penyanyi Elizabeth Tan. Antara drama-drama lain yang dibintanginya termasuklah "Pelangi Cinta", "Sekali Aku Jatuh Cinta", "Suamiku Paling Sweet", "Mocha Kau Bahagia", "Dekatkan Jarak Kita" dan "Bukan Cinta Aku".

Selain drama bersiri, Syafiq juga tidak melepaskan peluang membintangi telefilem. Bermula dengan telefilem "Tasbih Putih" yang ditayangkan pada 2011, Syafiq kini mempunyai lebih 30 buah telefilem yang dibintanginya seperti "Dari Pintu Neraka", "Suamiku Bukan Tukang Masak", "Malam Tanpa Yasin", "Mentari", "Pengantin Lari Culik Artis", "Syirik" dan "Senafas Rindu Raya".

Syafiq beraksi di layar perak

Sudah tentu menjadi bintang filem menjadi impian setiap pelakon. Begitu juga dengan Syafiq yang membuat debut di layar perak menerusi filem seram romantik arahan Osman Ali berjudul "Langsuir" yang ditayangkan pada 20 September tahun lalu. Menurut pengarah, dia telah memilih Hannah Delisha sebagai gandingan Syafiq kerana tertarik dengan keserasian mereka yang ditonjolkan dalam drama "Mencintaimu Mr Photographer".

Selepas itu, Syafiq tampil dalam sekuel filem drama sukan popular Malaysia "Gol & Gincu Vol. 2" arahan Umi Salwana Omar. Syafiq juga pernah mengalih suara bagi dua buah filem Hollywood versi bahasa Melayu iaitu "Transformers: Age of Extinction" bagi watak Shane Dyson dan "Avengers: Endgame" sebagai Clint Barton yang juga adiwira Hawkeye.

Tahun ini, Syafiq kembali beraksi di layar perak dengan filem seram terbaru "Pusaka" arahan Razaisyam Rashid. Tampil membawa watak yang berlainan dari watak-watak sebelumnya, Syafiq mengakui berasa kepuasan berlakon sebagai seorang anggota polis dalam filem tersebut yang memerlukannya melakukan beberapa lagak aksi.

Justeru, dia kini mengimpikan untuk membawa kepelbagaian watak dalam lakonannya dan tidak terikat dengan watak romantik semata-mata. Filem "Pusaka" turut dibintangi oleh Mimi Lana, Sweet Qismina, Hafidz Roshdi, Ogy Ahmad Daud, Faizal Hussein, Draman Muhammad, Aloy Paradox, Yuna Rahim dan ramai lagi. Ia akan ditayangkan di pawagam bermula 31 Oktober ini.

Teater Pawana Isabella

Bakat yang ada pada Syafiq tidak disia-siakan apabila buat julung kalinya dia telah dipilih untuk menerajui pementasan "Teater Melayu – Pawana Isabella" arahan Erma Fatima yang diadakan pada 21 hingga 31 Ogos lalu. Menerusi teater yang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya itu, Syafiq telah digandingkan bersama pelakon Janna Nick sebagai Raja dan Permaisuri.

"Pawana Isabella" merupakan sebuah teater bangsawan moden yang mengangkat tema bahasa Melayu klasik disertakan dengan elemen muzikal dan seni bela diri silat. Menurut Syafiq, penglibatannya dalam pementasan teater itu merupakan satu cabaran dan peluang bagi memperkembangkan lagi bakatnya.

Anugerah dan pencalonan

Selain menggalas tempat kedua dalam pertandingan Hero Remaja 2011/12, Syafiq juga telah dicalonkan serta memenangi beberapa anugerah berprestij tempatan seperti Anugerah MeleTOP Era, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Anugerah Skrin, Anugerah Digital Muzik ERA dan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur. Baru-baru ini, Syafiq telah dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular dan memenangi kategori Gandingan Serasi Filem Popular ("Langsuir") dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32.

Kontroversi

Pelakon berwajah kacak ini sering sahaja di dengan pelakon-pelakon wanita gandingannya seperti Hannah Delisha dan Zahirah Macwilson. Perkara itu dinafikan oleh Syafiq sama sekali kerana dia bersikap profesional dan mengakui mereka sekadar teman biasa.

Baru-baru ini, pengakuan Syafiq mengenai hubungan cintanya bersama pelakon Mimi Lana selama empat tahun telah memberi keterujaan kepada para peminat dan rakan selebriti yang rata-rata menyokong mereka berdua. Namun begitu, Syafiq mendedahkan mereka masih belum membuat perancangan ke jinjang pelamin buat masa ini.

Selain itu, Syafiq juga pernah diburu kontroversi apabila tularnya sebuah video berbaur lucah yang disebarkan oleh seorang individu tidak bertanggungjawab. Individu itu dipercayai ingin membalas dendam dan lelaki dalam video itu dikatakan mirip dengan Syafiq.

Walau bagaimanapun, pelakon itu tampil memberi kenyataan dan menyifatkan perbuatan individu tersebut tidak berasas. Dia turut menganggap isu berkenaan sebagai satu pengajaran yang mematangkannya pada masa akan datang.


Cinema Online, 15 Oktober 2019