ENG | BM
Rencana
Transformasi Elizabeth Tan dari 'Youtuber' hingga bergelar selebriti popular

Penulis: Nisa Irina


Elizabeth Tan mempunyai bakat semula jadi dalam bidang nyanyian serta lakonan.

Elizabeth Tan Su Mei atau lebih mesra disapa sebagai, Lizzy, adalah suatu nama yang sememangnya tidak asing dari industri hiburan tempatan.

Gadis jelita berbangsa Cina ini telah mula mencipta nama bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah sedang rancak menceburi bidang lakonan. Dia juga menjadi salah seorang ikon muda yang menjadi perhatian ramai.

Mungkin ramai yang mula mengenali Lizzy sejak pelancaran 'single' berjudul "Knock Knock" tetapi tahukah anda bahawa selebriti ini mula mengukir nama dengan sekadar menyanyikan lagu penyanyi lain di laman YouTube dengan versi sendiri?

Jadi kali ini Cinema Online akan membawa anda membuka kisah dan latar belakang Elizabeth Tan dengan lebih lanjut.

Hanya sekadar gadis YouTube

Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Lizzy juga adalah adik kepada bekas peserta Malaysian Idol musim pertama, Andrew Tan. Segalanya bermula pada tahun 2013 semasa dia menyambung pelajaran di Texas.

Lizzy mula mengambil kelas vokal serta memuat naik rakaman video dia menyanyikan 'cover' lagu tempatan dan antarabangsa seperti "Pencuri", "Kantoi" dan "Terukir Di Bintang". Salah satu 'cover' lagu yang dinyanyikan Lizzy adalah "Havoc" oleh penyanyi hip hop dan rapper terkenal, Joe Flizzow dimana video tersebut telah mendapat lebih 1.2 juta tontonan. Rata-rata penonton memberi respon yang positif serta memuji suaranya yang lunak dan unik.

Lebih menarik lagi, Lizzy telah dijemput ke salah satu stesen radio tempatan, Fly FM untuk sesi temubual serta membuat persembahan secara 'live'. Tanpa pengetahuan Lizzy, mereka juga telah menjemput Joe Flizzow untuk membuat kejutan kepada Lizzy. Selain Fly FM, Lizzy juga dijemput ke stesen radio Era FM.

Permulaan kerjaya dalam bidang muzik

Lizzy pernah menyatakan bahawa menjadi seorang penyanyi bukanlah impiannya tetapi dia menganggapya satu rezeki dan tidak melepaskan peluang untuk menceburi bidang nyanyian dengan lebih mendalam. Bakat semulajadi gadis ini telah menarik perhatian penyanyi Faizal Tahir yang kemudiannya menandatangani Lizzy sebagai artis syarikat rakaman Faithful Music di bawah pengurusan Paranormal Talents.

Ternyata kefasihannya menyanyi dalam Bahasa Melayu telah berjaya mencuri hati peminat. Lizzy kemudian tampil dengan 'single' pertamanya yang diberi judul "Knock Knock" hasil ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan. Tuah lagu berkenaan juga menobatkan Lizzy sebagai Artis Wanita Baru Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2015.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan melodi dan lirik lagu tersebut timbul ketika tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Cuaca ketika itu juga sedang hujan jadi elemen-elemen tersebut membantu Lizzy mencetus idea kreatifnya. Pada tahun 2015 juga dia telah berduet dengan Faizal Tahir menerusi lagu berjudul "Setia" ciptaan sepenuhnya oleh Faizal Tahir, Mike Chan dan juga Ezra Kong.

Kematangan Lizzy juga makin terserlah apabila dia tampil dengan 'single' ketiga berjudul "Tabah". Lizzy mendapat inspirasi untuk mencipta lagu tersebut dari kritikan dan gosip yang menghimpit dirinya sejak bergelar penyanyi.

Lizzy melihat kritikan dan perkara negatif yang diperkatakan tentang dirinya dengan matang serta membantu dia memperbaiki diri pada masa akan datang. Dalam pada itu, Lizzy juga telah menghasilkan sebuah lagu bahasa Inggeris berjudul "Are You Leaving Now".

Selain di Malaysia, Lizzy pernah tampil di stesen TV negara jiran Indonesia menerusi beberapa program televisyen seperti Ini Talkshow dan Music Everywhere. Lizzy juga pernah ke United Kingdom untuk memenuhi undangan persembahan sempena pembukaan Hotel YTL di sana. Kontrak Lizzy bersama Paranormal Talents dan Faithful Music berakhir pada 15 Mac 2017 kerana dia tekad untuk menguruskan kariernya sendiri tanpa bantuan pengurus peribadi.

Pada tahun 2018, Lizzy telah melancarkan dua buah 'single' berjudul "Police Entry" dan "Semua Sudah" selepas menandatangani kontrak secara rasmi selama tiga tahun dengan Warner Music Malaysia. "Semua Sudah" merupakan karya yang paling digemari Lizzy kerana mempunyai elemen kontemporari dan rentak hip hop yang 'catchy' hasil ciptaan komposer, penerbit dan 'rapper' terkenal Alif.

Berjinak dalam dunia lakonan

Selepas berjaya mencipta nama dalam bidang nyanyian, Lizzy memberanikan diri untuk melebarkan sayap ke dunia lakonan. Tuah menyebelahi gadis ini apabila pelakon dan penerbit Syed Mohamad Asri atau Usop Wilcha menawarkan Lizzy watak utama dalam filem "Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium" pada tahun 2015.

Selepas menerima tawaran itu, Lizzy cuba untuk memantapkan prestasinya dengan mengambil kelas lakonan. Dia menjelaskan bahawa dia minat berlakon sejak kecil lagi tetapi masih banyak ilmu lakonan yang perlu dipelajari.

Selain filem Usop Wilcha, Lizzy juga membuat penampilan menerusi filem "Busker" yang diterajui oleh Daiyan Trisha, Hafeez Mikail, Anas Ridzuan dan Altimet pada 2017. Dalam tahun yang sama juga Lizzy diberi tawaran berlakon bersama barisan pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Siti Elizad, Dazrin Kamarudin dan Erra Fazira dalam drama komedi romantik "My Darling, Inspektor Daniel" arahan Aziz M. Osman.

Pada tahun 2018, Lizzy semakin aktif berlakon apabila membuat penampilan khas menerusi drama "Misteri Jenazah: "Badi Zalia"" dan "Gerak Khas: "Jerat Kekasih"" serta telefilem "Kau Roadblock Hatiku". Drama "Senafas Rindu" yang dilakonkannya baru-baru ini membuatkan peminat memuji bakat gadis itu walapun menurutnya, drama itu kurang mendapat sambutan.

Menerusi drama yang dilakonkan Lizzy disamping Syafiq Kyle itu, Lizzy memegang dua watak dan salah satunya sebagai gadis Cina mualaf. Watak itu memerlukan Lizzy untuk berhijab dan ia merupakan pengalaman baru buatnya. Bagaimanapun, dia mengakui berasa teruja dan selesa memakai tudung. Peminat turut memberi sokongan dengan memberikankan kata-kata positif buat gadis manis ini. Awal tahun ini juga penonton disajikan dengan sebuah filem thriller misteri arahan pengarah muda berbakat, Syafiq Yusof berjudul "Misteri Dilaila". Rata-rata penonton memberi komen yang positif terhadap filem yang penuh dengan 'plot twist' tersebut. Lizzy telah digandingkan bersama Zul Ariffin dan Sasqia Dahuri sebagai peneraju utama filem itu. Lizzy turut menyanyikan lagu "Hidup Semula" bagi OST filem tersebut.

Projek filem terbaru lakonan Lizzy yang sedang berada dalam proses pra-produksi ialah "Escape", "Sekolahaha" dan "Abang Long Fadil 3". Bagi telefilem baru pula, dia bakal muncul menerusi "Senafas Rindu Raya".

Anugerah dan pencalonan

Sudah tentu karier sebagai selebriti membuahkan hasil yang baik serta memberi kejayaan terhadap Lizzy. Sejak tahun 2015, Lizzy telah dicalonkan dalam beberapa kategori anugerah berprestij dan memenanginya. Antara anugerah tersebut ialah Anugerah Planet Muzik, Anugerah Influence Asia, Anugerah Juara Lagu, Anugerah MeleTOP Era, Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Red Box Media Appreciation & K-20 Night. Dua buah lagu yang sering dicalonkan dalam anugerah-anugerah tersebut ialah "Knock Knock" dan "Setia".

Duta dan produk jenama sendiri

Ternyata rezeki Lizzy bukan sahaja dalam bidang nyanyian dan lakonan, malah dia turut diangkat sebagai duta dan penaja bagi beberapa produk. Antaranya ialah CIMB, DiGi, 99Street, La Cremeria, Thermos dan Powercat. Terbaru dia telah dilantik sebagai duta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mempromosikan skuad badminton negara. Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memilihnya sebagai duta kerana populariti Lizzy di laman sosial serta mempunyai ramai peminat dalam kalangan remaja.

Dalam pada itu, Lizzy turut melancarkan produk penjagaan diri miliknya, Mandi. Menurutnya, Lizzy nekad untuk tampilkan rangkaian produk ini kerana dia begitu sukakan pada produk wangian yang pelbagai. Produk jenamanya itu boleh didapati secara atas talian.


Cinema Online, 4 Jun 2019