ENG | BM
Rencana
Will Smith sanggup lakukan apa sahaja untuk jadi 'Bad Boy'!

Penulis: Naseem Randhawa


Bad Boys kembali! Will Smith sekali lagi akan bekerjasama dengan
Martin Lawrence untuk filem ketiga!

Filem "Bad Boys" terakhir ditayangkan kira-kira 16 tahun lalu, tetapi bintang terkenal Hollywood Will Smith bakal membuktikan tiada perubahan seperti yang diilhat dalam treler terbaru filem aksi komedi "Bad Boys For Life".

Dalam filem aksi 'buddy cop' ketiga ini, peminat akan turut menyaksikan rakan setugas 'gila-gila' Will Smith iaitu Martin Lawrence kembali, sebagaimana ia kali terakhir mereka bekerjasama untuk melumpuhkan bos kartel Miami.

Bagaimanapun, untuk filem terbaru ini, pengarah asal iaitu Michael Bay tidak akan kembali duduk di bangku pengarah, sebaliknya ia akan diambil oleh pengarah dari Belgium iaitu Adil El Erbi dan Bilall Fallah.

Selain itu, beberapa pelakon baru turut ditampilkan seperti Vanessa Hudgens ("Spring Breakers"), Charles Melton ("Riverdale") dan Alexander Ludwig ("Vikings").

"Bad Boys For Life" dijadual akan ditayangkan pada Januari 2020, namun Will Smith sentiasa sibuk dengan perkara-perkara menarik sekaligus membuatkan namanya terus menjadi sebutan ramai.


Will Smith muncul dengan filem adaptasi 'live action' "Aladdin" dengan membawa
watak sebagai jin bernama Genie.

Baru-baru ini Will Smith telah mencetuskan fenomena tersendiri selepas membawa watak genie dalam adaptasi 'live action' Disney iaitu "Aladdin", yang mana ia berjaya mendapat ulasan positif termasuk jumlah kutipan pecah panggung lebih USD 1 billion.

Selepas filem "Bad Boys For Life", Will Smith turut mempunyai beberapa projek terbaru yang agak menarik.


IMBAS SEMULA: Percaya atau tidak filem "Bad Boys" pertama ditayangkan pada tahun 1995?

Oktober ini, peminat bakal disajikan dengan sebuah filem aksi sci-fi arahan pemenang anugerah Oscar Ang Lee iaitu "Gemini Man". Dalam filem ini, Will Smith akan membawa watak sebagai pembunuh upahan, yang mana klon dirinya yang muda memburunya. Jadi, penonton dapat melihat Will Smith tampil membawa dua watak!


Filem "Gemini Man" akan menyaksikan dua Will Smith bertempur sesama sendiri.

Selain filem cereka, Will Smith juga akan menyumbang suara untuk filem animasi terbaru iaitu "Spies In Disguise". Filem animasi terbitan Blue Sky Studios ini adalah sebuah naskhah filem pengintip komedi yang mana dia akan membawa watak sebagai seorang pengintip hebat, Lance Sterling. Dalam salah satu eksperimen di makmal, Lance bertukar menjadi burung merpati dan lebih parah lagi dia perlu menyelamatkan dunia dalam keadaan seperti itu.


Bagaimana Will Smith 'masih' kelihatan menarik dalam bentuk animasi?

Selain menunggu tayangan filem "Bad Boys For Life" pada tahun 2020 dan beberapa filem terbaru lain, Will Smith juga sibuk dengan rancangan realitinya iaitu "Will Smith's Bucket List". Rancangan itu mengikuti Will Smith cuba memenuhi senarai perkara yang ingin dilakukannya termasuk terjunan udara di Dubai dengan isterinya, Jada Pinkett Smith, berenang dalam laut dipenuhi ikan jerung, membintangi filem Bollywood, berlumba dalam kereta Formula 1 dan melakukan 'stand-up' komedi dengan Dave Chappelle!

Apa sahaja yang Will Smith lakukan, peminatnya pasti akan ikut. Dengan lebih 77 juta peminat di Facebook dan 36 juta pengikut di Instagram, pasti ramai yang akan sentiasa memerhati apa yang dilakukan oleh bintang yang disukai ramai ini.


Cinema Online, 5 September 2019