ENG | BM
Rencana
"Wira" bakal jadi penanda aras baru buat filem aksi?

Penulis: Ashraf Nasser

Salah satu babak membabitkan Hairul Azreen bertarung dengan Yayan Ruhian.
Salah satu babak membabitkan Hairul Azreen bertarung dengan Yayan Ruhian.

Selepas mencipta kejayaan membanggakan menerusi filem aksi "Paskal The Movie", pengarah dan penerbit Adrian Teh bakal kembali dengan sebuah lagi filem padat dengan aksi yang diberi judul "Wira".

Percaya atau tidak, ramai yang tidak menyangka pada mulanya filem "Paskal The Movie" mampu menjadi filem pecah panggung walaupun filem itu menelan belanja yang besar iaitu lebih RM12 juta, tetapi ia berjaya menjadi salah sebuah filem aksi tempatan mendapat kutipan tertinggi iaitu lebih RM30 juta.

Filem itu bukan sahaja mendapat ulasan positif daripada penonton, malah pengkritik filem turut memuji pengarah yang bijak menggarap sebuah filem yang padat dengan aksi. Perlu diingatkan bahawa bukan mudah untuk hasilkan filem ketenteraan kerana ia membabitkan banyak protocol, tetapi pengarah berjaya melakukannya dengan baik sekali.

Kejayaan filem tersebut telah membuka mata banyak pihak terutamanya pelabur yang sebelum ini agak ragu-ragu untuk melabur dalam filem aksi tempatan.

"Wira" masih kekalkan elemen ketenteraan tetapi lebih 'bebas'

Seperti yang anda sudah sedia maklum, kejayaan filem "Paskal The Movie" telah membuka 'jalan' kepada Adrian untuk kembali dengan filem aksi terbaru. Bagaimanapun dia tidak mahu lagi fokus pada ketenteraan, sebaliknya mahu filem aksi yang tidak membabitkan protokol ketenteraan, oleh itu dia mengetengahkan kisah seorang bekas komando yang sudah tamat berkhidmat untuk negara.

Apa yang penulis maksudkan bebas mengenai filem ini adalah aksi yang bakal ditampilkan tidak akan terikat dengan protokol, sebaliknya ia akan digarap seperti filem-filem aksi biasa. Mengenali pengarah yang merupakan seorang yang sangat menitik beratkan soal kesempurnaan apa yang penulis boleh katakan ini bukanlah seperti filem-filem aksi tempatan yang pernah anda tonton sebelum ini.

Bakal jadi penanda aras baru buat filem aksi tempatan?

Tidak dapat dinafikan kita mempunyai banyak filem aksi yang hebat-hebat belaka seperti "KL Gangster 1 & 2", "Polis Evo 1&2", "Abang Long Fadil 1 & 2" termasuklah "Paskal The Movie". Tetapi apa untuk filem terbaru "Wira", Adrian berkata ia bakal menjadi sebuah filem aksi yang belum pernah dihasilkan di Malaysia sekaligus menjadikan filem "Wira" sebagai penanda aras baru buat filem aksi tempatan.

Apa yang membuatkan pengarah begitu yakin dengan apa yang dinyatakannya itu? Sebabnya adalah dia sanggup menggunakan pelakon aksi tersohor Indonesia iaitu Yayan Ruhian yang bukan sahaja terkenal dengan filem-filem aksinya seperti "The Raid 1 & 2" dan "Merantau Warrior" tetapi dia juga terlibat dengan beberapa filem aksi Hollywood antaranya "John Wick 3", "Beyond Skyline" dan beberapa lagi.

Selain menggunakan Yayan sebagai salah seorang pelakon yang memegang watak antagonis, Yayan juga bertindak sebagai jurulatih dan koreografer untuk babak pertarungan. Dengan pengalaman yang ada pada Yayan, sudah pasti babak aksi terutamanya pertarungan bakal menjadi sesuatu yang menakjubkan. Sama-sama kita tunggu nanti.

Setiap pelakon jalani latihan intensif sebelum penggambaran

Umum sudah sedia maklum filem "Wira" bakal menyaksikan pelakon Hairul Azreen kembali berkolaborasi dengan Adrian sebagai peneraju utama. Kehebatan Hairul dalam filem "Paskal The Movie" tidak dapat disangkal lagi, malah pelakon itu kini sudah sebaris dengan pelakon-pelakon aksi tersohor tanah air.

Sebelum penggambaran filem berlangsung, setiap pelakon yang terlibat dengan babak aksi perlu menjalani latihan intensif selama beberapa bulan. Latihan intensif ini termasuk di gim untuk stamina dan latihan untuk babak pertarungan.

Atas sikap terlalu mahukan kesempurnaan, pengarah turut mengawal permakanan setiap pelakonnya dengan menyediakan diet yang seimbang untuk setiap pelakonnya sepanjang latihan dan ketika penggambaran berlangsung bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik.

Ini kerana filem "Wira" padat dengan aksi, malah pelakon wanita utama dalam filem ini turut akan melakukan babak pertarungan MMA yang mana kesemua aksi itu dilakukan oleh mereka sendiri. Oleh sebab itu mereka perlu berada pada tahap yang terbaik untuk memastikan tidak keletihan ketika penggambaran berlangsung.

Babak aksi paling ditunggu-tunggu adalah membabitkan Hairul yang bertarung dari tingkat tiga sehingga ke tingkat paling bawah yang mana dia akan terjun dari tingkat 2 ke bawah dengan sekali rakaman sahaja. Babak inilah yang menyebabkan Hairul mengalami kecederaan apabila tersalah mendarat ketika terjun, bagaimanapun ia sedikit pun tidak menjejaskan prestasi Hairul yang mana dia kembali ke set penggambaran selepas diberikan rehat beberapa hari.

"Wira" adalah permulaan untuk 'cinematik universe' pertama di Malaysia

Perkataan 'cinematic universe' ini selalunya dikaitkan dengan filem-filem daripada Hollywood seperti Marvel, DC dan sebagainya. Malah negara jiran iaitu Indonesia juga baru sahaja melancarkan 'cinematic universe' mereka menerusi filem adiwira "Gundala" arahan Joko Anwar yang ditayangkan pada tahun ini.

Kini Malaysia juga bakal mempunyai 'cinematic universe' sendiri apabila pengarahnya Adrian Teh serta para pelaburnya merancang untuk menghasilkan sebuah 'cinematic universe' yang akan berkisarkan mengenai wira-wira tempatan yang tak didendang.

'Cinematic universe' Malaysia berbeza dari Hollywood dan Indonesia kerana mereka ingin tampilkan naskhah yang lebih bersifat realiti dan bukanlah mengenai adiwira yang mempunyai kuasa luar biasa atau datang dari planet lain, jadi boleh dikatakan 'cinematic universe' Malaysia ini lebih unik berbanding 'cinematic universe' sedia ada ketika ini.

Dibintangi barisan pelakon hebat Malaysia & Indonesia

Anda sudah mengetahui filem ini akan diterajui oleh Hairul Azreen dan Yayan Ruhian seperti yang penulis katakan sebelum ini. Namun kedua-dua mereka sahaja tidak boleh membuatkan filem ini menjadi hebat, sebaliknya ia memerlukan barisan pelakon pembantu lain bagi memastikan ia berjaya memberi impak besar kepada penonton.

Oleh itu, pengarah telah memilih pelakon-pelakon hebat ini untuk turut serta dalam filem padat dengan aksi ini seperti Fify Azmi, Josiah Hogan, Dain Said, Dato' Hilal Azman, Henley Hii, Ismi Melinda dan ramai lagi.

Dengan barisan pelakon seperti ini, ditambah dengan latihan intensif termasuklah komitmen tinggi setiap pelakon, filem ini akan memperlihatkan kualiti lakonan pada tahap tertinggi.

Mampukah "Wira" kutip RM50 juta?

Selepas filem "Paskal The Movie" berjaya kutip lebih RM30 juta, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan tinggi bahawa filem ini mampu mencipta kejayaan besar sekurang-kurangnya mendapat kutipan sama dengan filem "Paskal The Movie" atau mampu cipta kejutan.

Ketika ini rekod filem tempatan yang mendapat kutipan tertinggi sepanjang zaman dipegang oleh filem seram "Munafik 2" arahan Syamsul Yusof yang berjaya kutip RM40 juta. Jadi mampukah filem "Wira" atasi kutipan itu? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Filem "Wira" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 21 November ini


Cinema Online, 27 Oktober 2019