ENG | BM
Rencana
Filem paling dinanti-nantikan pada 2020

Penulis: Nisa Irina

Filem manakah yang anda nanti-nantikan untuk tonton pada tahun ini?
Filem manakah yang anda nanti-nantikan untuk tonton pada tahun ini?

Tahun 2019 menyaksikan era kegemilangan industri animasi Malaysia bertaraf antarabangsa di mana terhasilnya "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal", "BoBoiBoy Movie 2" dan "Ejen Ali The Movie" yang menerima sambutan memberansangkan daripada penonton, termasuk di luar negara.

Selain filem animasi, terdapat beberapa buah naskhah hebat yang turut ditayangkan sepanjang tahun 2019 seperti "Misteri Dilaila", "Fly By Night", "Sangkar", "Suatu Ketika", "Dendam Pontianak", "Motif", "Geran", "Pusaka" dan "Wira".

Walaupun segelintir filem yang dinyatakan tidak berjaya menerima sambutan baik dan meraih kutipan tinggi di pawagam, namun berdasarkan kritikan dan ulasan penggemar filem, boleh dikatakan bahawa filem-filem itu mempunyai kandungan yang berkualiti dan memberi impak luar biasa.

Dengan terhasilnya naskhah-naskhah seperti yang tersenarai, maka sudah tentu para penggemar filem menantikan naskhah yang lebih hebat dan menarik pada tahun ini. Oleh itu, Cinema Online ingin menyenaraikan 10 buah filem yang bakal menggegarkan pawagam Malaysia dan berkemungkinan akan ditayangkan di Singapura pada tahun 2020.

"Munafik 3"

Sememangnya filem-filem seram menjadi tumpuan penggemar filem sejak sekian lama lagi. Salah sebuah filem seram tempatan yang berjaya memikat hati penonton ialah trilogi "Munafik" arahan Syamsul Yusof. Tahun lalu, Datuk Yusof Haslam selaku penerbit Skop Productions mengesahkan "Munafik 3" akan menemui penonton pada 2020.

Filem "Munafik 2" juga telah mencipta sejarah dan rekod apabila menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi sebanyak RM37.78 juta selepas ia ditayangkan. Malah, permintaan sekuel ketiga filem berkenaan bukan sahaja daripada peminat tempatan tetapi meluas sehingga ke negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja. Penulis yakin para penonton pasti tidak sabar menantikan filem "Munafik 3".

"Abang Long Fadil 3"

Susulan sambutan tinggi bagi dua filem "Abang Long Fadil" yang sebelumnya, Datuk Yusof Haslam telah mengesahkan pembikinan filem "Abang Long Fadil 3" dengan berbekalkan kos sebanyak RM4 juta. Filem arahan Syafiq Yusof ini masih mengekalkan Zizan Razak sebagai peneraju utama watak Fadil. Selain Zizan, barisan pelakon lain yang ditampilkan dalam filem ini ialah Ozlynn Waty, Maya Karin, Hairul Azreen, Daniella Sya dan Elizabeth Tan.

Pada 2017, filem itu telah berdepan isu hak cipta apabila ia terdapat pihak tidak bertanggungjawab merakam secara sembunyi di pawagam dan memuat naiknya dalam versi penuh ke laman YouTube. Bagaimanapun, rakaman itu berjaya dipadamkan selepas penerbit menyedarinya. Memandangkan kita sudah melangkah ke tahun 2020, penulis harap isu sebegini tidak akan berlaku lagi demi menjaga nama baik industri perfileman tempatan. Jika anda ingin tahu apa nasib Fadil kali ini, jangan terlepas untuk menonton "Abang Long Fadil 3".

"Polis Evo 3"

Seperti filem "Abang Long Fadil", kini filem aksi kegemaran ramai "Polis Evo" juga diterbitkan sebagai francais dengan adanya filem "Polis Evo 3". Sebelumnya, filem "Polis Evo" 2015 telah meraih kutipan sebanyak RM17.8 juta, sementara "Polis Evo 2" pula RM20 juta. Jadi tidak hairanlah pengarah Syafiq Yusof ingin meneruskan legasi filem ini.

Buat masa ini, para pelakon masih terlibat dengan jadual penggambaran. Antara pelakon yang ditampilkan ialah daripada Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Eyka Farhana dan Farali Khan, Syafiq Kyle, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Tahun lalu, "Polis Evo 2" telah menimbulkan kontroversi apabila segelintir pihak mengatakan filem itu cuba mencerminkan umat Islam sebagai pengganas dan memboikotnya. Walau bagaimanapun, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) Datuk Norman Halim meminta semua pihak yang berkata demikian untuk menonton keseluruhan filem terlebih dahulu sebelum membuat andaian.

"Pusaka 2"

Setelah melihat kejayaan filem penyiasatan seram, "Pusaka", dengan hasil kutipan sebanyak RM13 juta, pengarah Razaisyam Rashid membuat keputusan untuk menghasilkan sekuel filem ini. Buat masa ini, Razaisyam mendedahkan ia masih dalam proses perbincangan untuk merealisasikannya.

Tambahnya lagi, dia akan mengekalkan barisan pelakon seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi dan Sweet Qismina. Kos bagi sekuel filem ini juga dijangka lebih tinggi dari kos filem pertama.

Jika diikutkan, terdapat segelintir pihak yang berpendapat bahawa filem ini tidak akan pergi jauh, namun terbukti idea kreatif pengarah untuk menggabungkan dua genre berbeza dalam satu filem tidak sia-sia. Ia telah memberikan nafas baru bagi penggemar filem sekaligus memajukan industri. Penulis yakin, pasti ramai yang tidak sabar menantikan sekuel filem ini!

"Masterpiecisan"

Kejayaan filem "Crossroad: One Two Jaga" yang diiktiraf sebagai Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur membuktikan karya pelakon dan pengarah terkenal Shahili Abdan atau lebih dikenali sebagai Namron itu berjaya mencuri hati para penggemar filem tanah air.

Namun usahanya tidak berhenti di situ sahaja kerana kali ini Namron sedang sibuk mempersiapkan pos produksi sebuah lagi karya yang penulis jangka akan menjadi salah sebuah filem tempatan terbaik pada 2020 iaitu "Masterpiecisan". Menurut Namron, filem ini mengisahkan industri hiburan di Malaysia dan cabaran untuk menghasilkan sebuah produksi teater. Menarik bukan?

Sesi penggambarannya telah selesai dijalankan pada November 2018 bersama barisan pelakon seperti Amerul Affendi, Sara Ali, Jasmine Suraya, Pablo Amirul, Han Zalini, Nadia Aqilah, Nick Davis, Naque Ariffin, Adam Shahz, Niezam Zaidi, Kodi Rasheed serta pelakon Indonesia Donny Alamsyah.

"Rock 4: Rockers Never Dai"

Bagi peminat hasil kreatif pengarah tersohor Mamat Khalid, pastinya akan mengikuti setiap karya filem daripada beliau. Filem keempat dari francais filem "Rock" terbitan Primeworks Studios dan Grand Brilliance ini merupakan karya terbaru Mamat Khalid susulan kejayaan filem "Rock Bro! Kembali Ke Pangkal Jalan" 2016, "Rock OO" 2013 dan "Rock" 2005.

Filem kali ini akan menyaksikan penubuhan kumpulan Rimba Bara 2 yang terdiri daripada para pelakon seperti Sharwani NS, Hazama dan beberapa wajah baru dalam industri, John, Nazimi Fahmi dan Bulan Terry. Ia adalah kesinambungan dari filem ketiga yang mana Dio terjaga dari koma selepas terlibat dengan kemalangan.

Dio menyedari kini dia berada pada zaman moden dan kemudiannya bergabung dengan pemuzik baru untuk menubuhkan Rimba Bara 2. Mampukah Dio dan kumpulannya berjaya mempertahankan legasi Rimba Bara? Sama-sama kita nantikan filem komedi "Rock 4: Rockers Never Dai" yang bakal menggeletek penonton di pawagam tidak lama lagi.

"Daulat"

Filem yang berunsurkan politik juga semakin mencuri perhatian jika jalan cerita yang ditampilkan lain dari yang lain. Begitulah yang ingin ditunjukkan oleh pengarah "Jibril" iaitu Imran Sheik menerusi filem "Daulat" yang mengangkat genre 'political thriller' dan memaparkan sisi gelap dunia politik.

Antara barisan pelakon hebat yang menjayakan filem ini ialah Vanidah Imran, Tony Eusoff, Cristina Suzanne, Jasmine Suraya, Zul Zamir dan Rashidi Ishak. Terdapat laporan yang menyatakan filem ini berkemungkinan akan ditayangkan menerusi portal penstriman video Netflix namun sama-sama kita nantikan keputusan para pembikin filem tidak lama lagi.

"Roh"

Filem seram terbitan Kuman Pictures ini berkisar mengenai sebuah keluarga yang diganggu roh misteri yang jahat dan latar masa filem ini adalah sekitar zaman peperangan dahulu. Diarahkan oleh Emir Ezwan, filem "Roh" dibintangi oleh Putri Qaseh, Harith Haziq, Mhia Farhana, Namron, Farah Ahmad dan Junainah M. Lojong.

"Mat Kilau"

"Mat Kilau" merupakan sebuah karya arahan Syamsul Yusof yang menandakan filem pertama arahannya yang diterbitkan oleh produksi luar. Diterbitakn oleh kerjasama Kembara Studio dan Skop Productions, ia adalah filem biografi epik sejarah Malaysia yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan unggul Mat Kilau yang diolah mengikut kesesuaian.

Pada 2018, Syamsul berkata dia berdepan dugaan berat ketika menghasilkan filem ini sehingga penggambaran terpaksa dihentikan seketika akibat masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, filem ini akan tetap diteruskan biarpun masih belum ada tarikh tayangan yang muktamad.

Watak Mat Kilau sendiri telah dipertanggungjawab kepada pelakon tersohor Adi Putra kerana Syamsul yakin Adi akan menjiwai wataknya dengan baik. Selain Adi, filem ini turut dibantu oleh barisan pelakon lain seperti Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As'ari, Farid Amirul, A Galak, Yayan Ruhiyan, Nadiya Nisaa dan Ali Karimie. Sudah pastinya filem ini akan memberi nafas baru dalam industri perfileman tempatan.

"Anak Rimau"

Biarpun tiada butiran terperinci mengenai filem ini, namun pelakon utama Beto Kusyairy mendedahkan bahawa filem "Anak Rimau" berkisar mengenai sukan bola sepak dan memupuk semangat patriotik. Seperti yang dikongsikan oleh Beto menerusi laman Instagramnya, dia akan menggalas watak seorang jurulatih bola sepak yang dinamakan Coach Zainal.

Diarahkan oleh sutradara filem aksi persilatan "Geran", Areel Abu Bakar, filem itu mendapat kerjasama daripada ahli pasukan bola sepak Akademi Mokhtar Dahari, yang terletak di Gambang, Pahang. Selain Beto, filem itu turut menampilkan pelakon lain seperti Adam Corrie, Aliffy Asraff, Mustaqim Bahadon dan Osmer Aazad. Selepas menonton filem "Geran", penulis yakin karya Areel kali ini pasti lebih memukau para penonton.


Cinema Online, 5 Januari 2020

Pautan Berkaitan
Industri filem tempatan kutip lebih RM100 juta 2 tahun berturut-turut
Industri terus tunjukkan prestasi cemerlang dengan mengutip lebih RM130 juta.
Mampukah "Ejen Ali The Movie" cipta rekod kutipan baru?
Filem animasi ketiga tempatan yang dinanti-nantikan peminat akhirnya bakal menemui penonton bulan ini.
5 Filem biopik sukan Hindi yang telah dan bakal ditayangkan untuk 2019!
Jom lihat senarai filem-filem biopik sukan yang telah dan bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Filem tempatan terpaksa ditunda akibat COVID-19
Berikut adalah senarai beberapa buah filem tempatan yang terpaksa menunda tarikh tayangan filem mereka.
Tayangan dan penggambaran filem Bollywood yang terjejas akibat COVID-19
Berikut adalah senarai filem yang terjejas akibat penularan wabak Coronavirus.