ENG | BM
Rencana
Adakah filem adiwira "Keluang Man" akan direalisasikan?

Penulis: Ashraf Nasser

Apabila Aziz M. Osman umumkan mengenai pembikinan
Apabila Aziz M. Osman umumkan mengenai pembikinan "Keluang Man Zero",
ramai peminat yang teruja dan tak sabar untuk menontonnya.

Pejam celik, pejam celik sudah dua tahun berita mengenai filem adiwira "Keluang Man Zero" yang pernah kecoh sebelum ini senyap selepas pengarah filem Rizal Halim menarik diri dari mengarah karya yang akan diangkat dari siri animasi popular era 90an "Keluang Man".

Ketika pengumuman mengenai filem itu akan diangkat ke layar perak oleh Aziz M. Osman menerusi produksinya Ace Motion Pictures, ramai peminat terutamanya daripada kanak-kanak tahun 90an teruja dan tidak sabar menanti kemunculan filem itu.

Malah lebih membuatkan ramai teruja apabila pengarah filem adiwira itu diperkenalkan iaitu Rizal Halim yang merupakan pengarah tempatan yang berpengkalan di Australia yang mana poster teaser pertama turut diriliskan yang memperlihatkan Keluang Man tidak lagi mengenakan kostum berwarna ungu, sebaliknya berwarna hitam.

Ketika itu bukan sahaja peminat yang mula berteka-teki mengenai pelakon mana yang layak galas watak utama sebagai Borhan a.k.a Keluang Man, dan penulis juga sahaja seorang yang teruja dan telah menulis artikel mengenai beberapa calon pelakon yang dirasakan sesuai menjayakan watak tersebut menerusi artikel Siapa yang layak galas watak Keluang Man?.

Harapan peminat tergantung apabila pengarah tarik diri

'Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari'. Itulah perumpaan yang boleh diberikan kepada filem "Keluang Man Zero" ini apabila pengarahnya iaitu Rizal Halim secara tiba-tiba menarik diri dari mengarah filem tersebut.

Penarikan diri Rizal nyata mengejutkan ramai yang rata-rata kecewa dengan keputusan pengarah tersebut yang tidak menyatakan sebab sebenar, sebaliknya hanya terpaksa menarik diri atas sebab-sebab tertentu.

Sejak berita mengenai penarikan diri Rizal, ramai yang tertanya-tanya siapakah yang layak untuk mengambil alih sebagai pengarah untuk "Keluang Man Zero", dan penulis sekali lagi ada menulis artikel dengan menyenaraikan beberapa nama pengarah hebat tanah air yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem adiwira kegemaran ramai ini.

Antara nama pengarah yang penulis rasa sesuai untuk garap filem ini adalah Aziz M. Osman sendiri kerana dia merupakan penerbit kepada filem ini. Dengan pengalaman yang ada padanya sebagai pengarah sudah pasti dia juga layak.

Selain itu, beberapa nama lain seperti Syamsul Yusof, Syafiq Yusof, Ghaz Abu Bakar dan Yusry Abdul Halim juga antara pengarah yang mempunyai pengalaman dan mampu untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa dan mereka sudah berjaya buktikan sebelum ini.

Tiada sebarang 'update' terbaru sehingga kini

Nampaknya peminat tidak perlu lagi meletakan sebarang harapan kerana sudah lebih dua tahun berlalu tanpa sebarang berita terbaru mengenai filem ini. Walaubagaimanapun, penulis percaya masih ramai lagi peminat tegar adiwira ini masih lagi mempunyai sedikit harapan untuk melihat filem "Keluang Man Zero" ini di layar perak.

Mungkin pada tahun 2020 akan ada berita gembira untuk filem ini siapa tahu. Apa-apa pun sama-sama kita tunggu dan lihat samada ia akan diteruskan atau akan terkubur terus.

Sekiranya projek ini akan direalisasikan, penulis amat berharap agar penerbit dan pengarah tidak 'kedekut' dari segi bajet kerana sekiranya filem ini dihasilkan dalam bajet yang terhad ia bakal menjadi satu usaha yang sia-sia sahaja. Mungkin sebab filem adiwira ini memerlukan bajet yang besar juga menyumbang kepada faktor mengapa filem ini terpaksa dibatalkan kerana tidak ramai penerbit yang berani ambil risiko kerana bimbang gagal.

Tidak dapat dinafikan penerbit-penerbit filem tempatan kini tidak lagi seperti dahulu dan akan lebih berhati-hati untuk menghasilkan sesebuah filem kerana tidak mahu menanggung kerugian besar sekiranya karya mereka gagal dapat kutipan memberangsangkan. Malah formula menggunakan pelakon popular juga sudah tidak relevan lagi kerana ia tidak lagi menjamin kejayaan filem yang dibintangi mereka dan ini sudah terbukti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kesimpulannya? Adakah projek ini akan direalisasi atau terkubur terus?

Persoalan yang sehingga kini masih lagi belum diketahui kerana pihak Ace Motion Pictures menerusi Aziz M. Osman sehingga kini masih lagi belum memberi sebarang bayangan samada filem adiwira "Keluang Man Zero" akan direalisasikan pada masa depan atau projek itu terkubur.

Apa-apa pun, penulis akan sentiasa menantikan sebarang perkembangan terbaru mengenai filem ini pada masa depan. Sekiranya penerbit sudah tidak lagi berminat untuk menerbitkan filem adiwira ini diharap pihak mereka dapat membuat satu kenyataan supaya ia dapat menamatkan sebarang spekulasi dan tidak membuat peminat tertunggu-tunggu.

(Sumber foto: Free Malaysia Today)


Cinema Online, 26 Januari 2020

Pautan Berkaitan
"Keluang Man Zero" bakal diarahkan oleh Rizal Halim
Perkara itu didedahkan oleh penerbit Aziz M.Osman menerusi teaser poster di laman Facebook-nya.
Filem "Keluang Man" kini sedang dalam perancangan!
Siri animasi popular 90an itu kini sedang dalam proses perbincangan untuk di bawa ke layar perak.
Siapa bakal arah filem "Keluang Man Zero"?
Cinema Online senaraikan beberapa calon yang dirasakan sesuai dan mampu arah filem adiwira ini!
Rizal Halim tarik diri dari arah "Keluang Man Zero"
Pengarah filem itu enggan dedahkan butiran lanjut mengapa dia menarik diri dari filem itu.
Siri kartun tempatan popular era 90-an dan awal 2000
Jom lihat senarai animasi tempatan yang menambat hati zaman kanak-kanak dahulu.