ENG | BM
Rencana
5 Filem tempatan 'tak laku' 2019!

Penulis: Ashraf Nasser

Adakah anda sudah menonton filem ini?
Adakah anda sudah menonton filem ini?

Kita baru sahaja menyambut kedatangan tahun baru iaitu tahun 2020 yang mana pelbagai suka duka berlaku sepanjang tahun 2019 dan ia akan menjadi kenangan.

Jika tahun 2018 menyaksikan industri perfileman tempatan mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah dengan kutipan lebih RM120 juta, tahun 2019 juga tidak kurang hebatnya apabila sudah pun berjaya mengutip lebih RM94.4 juta sehingga 30 Disember lalu.

Jumlah itu dijangka akan terus meningkat dengan beberapa buah filem tempatan lain masih lagi ditayangkan termasuklah filem animasi "Ejen Ali The Movie" yang kini sudah mengutip lebih RM13 juta dan terus meningkat.

Bagaimanapun dalam artikel kali ini Cinema Online bukanlah mahu menceritakan mengenai filem-filem pecah panggung pada tahun 2019 kerana anda sendiri sudah sedia maklum filem manakah yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Untuk pengetahuan anda semua, walaupun secara kasarnya jumlah kutipan filem tempatan melonjak naik dengan mendadak tetapi percayakah anda sekiranya penulis berkata dalam 42 buah filem (ketika ini) yang ditayangkan sepanjang tahun 2019 hanya 11 buah filem sahaja yang berjaya dapat kutipan lebih RM1 juta?

Ya! Ianya fakta yang tidak boleh disangkal. Ini bermakna hanya 11 buah filem ini mendominasi lebih 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan tahun ini. Apa sudah jadi kepada 31 buah filem lain?

Hanya sebuah filem sahaja daripada 31 buah filem yang dapat kutipan lebih RM500 ribu dan selebihnya amat mengecewakan.

Jadi dalam artikel kali ini penulis ingin fokuskan pada lima buah filem tempatan yang dapat kutipan sangat mengecewakan atau dalam erti kata lain 'filem tak laku' untuk tahun 2019.

"Bella & Jamie" – RM9,186.50

Kita mulakan dengan kutipan paling tercorot untuk tahun 2019 iaitu filem romantik "Bella & Jamie". Secara peribadinya penulis tidak menyangka filem terbitan Mermaid Studios milik pelakon dan penyanyi popular Liyana Jasmay kerana ia diarahkan oleh pengarah hebat tanah air iaitu Ghaz Abu Bakar dan Fairul Nizam Ablah. Ghaz popular dengan filem pecang panggungnya iaitu "Polis Evo". Apa yang lebih mengejutkan adalah filem ini dibintangi oleh pelakon popular seperti Izzue Islam, Juliana Evans, Liyana Jasmay, Khir Rahman, Sharifah Nadia dan Dynas Mokhtar.

Tidak dapat dinafikan filem ini berdepan masalah kewangan dan terpaksa ditangguh lebih dua tahun sebelum ia menemui penonton. Adakah kurangnya promosi filem ini menjadi punca utama filem ini gagal? Atau jalan cerita yang ditampilkan terlalu klise, bosan dan tidak lagi menarik perhatian penonton? Tiada siapa pun yang tahu. Apa yang penulis tahu adalah filem "Bella & Jamie" adalah sebuah naskhah gagal!

"7 Hari Kisah Cinta Langkawi" – RM11,967.00

Cinta tiga segi! Cerita cinta klasik klise yang sering menjadi jalan cerita sesebuah naskhah tidak kiralah filem, drama mahu pun telefilem. Bagi penulis, cerita cinta seperti ini sudah tidak relevan untuk diangkat ke layar perak lagi dan lebih sesuai untuk tayangan televisyen sahaja. Kisah cinta atau filem romantik yang mempunyai jalan cerita yang unik dan berbeza sahaja layak untuk diangkat ke layar perak. Itu pandangan peribadi penulis!

Filem "7 Hari Kisah Cinta Langkai" berjaya menduduki tangga kedua tercorot sebagai filem tak laku pada tahun 2019. Penulis ingin berikan beberapa faktor mengapa filem ini gagal; yang pertama adalah kurangnya promosi yang mana bagi penulis sendiri pun tidak menyedari dengan kehadiran filem ini, jadi bagi orang biasa di luar sudah pasti tidak tahu langsung. Kedua, mungkin jalan cerita atau dari judul sahaja membuatkan ramai yang 'turn-off' untuk tonton filem ini.

Kegagalan filem arahan Anwardi Jamil ini sekali lagi membuktikan apa yang penulis katakan sebelum ini benar iaitu walaupun filem ini dibintangi oleh pelakon popular seperti Mark Adam, Josiah Hogan, Peter Davis, Sharifah Shahirah dan ramai lagi ini tidak mampu menarik penonton ke pawagam. Kita sudah pun memasuki tahun 2020, jadi penulis harap pembikin filem akan buka mata dan cuba hasilkan karya yang lebih relevan untuk penonton masa kini.

"Kutram Seiyal" – RM14,615.00

Tidak dapat dinafikan kutipan filem Tamil tempatan sangat menyedihkan sejak dari dahulu lagi. Paling tinggi pernah dicatatkan adalah pada tahun 2018 menerusi filem "Vedigundu Pasangge" yang berjaya kutip RM1.1 juta sekaligus menjadi filem Tamil tempatan pertama dapat kutipan melebihi RM1juta. Ia nyata menyedihkan tetapi itulah kenyataan yang harus diterima kerana pasaran filem Tamil di Malaysia sangat kecil. Tahun 2019, filem "Kutram Seiyal" adalah satu-satunya filem Tamil yang berada dalam senarai filem tak laku 2019.

Walaupun filem "Kutram Seiyal" ini adalah sebuah naskhah aksi jenayah, namun ia tidak berjaya mendapat sambutan daripada penonton India tempatan, kerana mereka lebih gemar menonton filem-filem Tamil dari luar negara. Penulis berharap sangat pembikin filem Tamil akan terus berusaha untuk menghasilkan filem-filem seperti "Jagat" dan juga "Vedigundu Pasangge".

"Lucky Blockchain" – RM17,454.00

Secara peribadinya penulis tertarik juga dengan jalan cerita filem "Lucky Blockchain" ini kerana ia menyelitkan sedikit elemen teknologi yang mana berkisarkan mengenai jurutera sistem yang membina sistem yang mana ia kemudian di jual kepada penjenayah. Jalan cerita boleh dikatakan sama seperti beberapa filem luar negara lain, cuma jalan cerita yang berbeza.

Namun filem aksi komedi arahan Bryan Gao ini tidak berjaya menarik penonton Cina tempatan untuk menonton filem ini. Jika hendak kata pasaran filem Cina tempatan kecil tidak juga kerana sebelum ini ada filem Cina tempatan iaitu "The Journey" berjaya mencetuskan fenomena apabila mengutip belasan juta. Jadi apa punca kegagalan filem ini? Penulis pun tidak dapat nak huraikan. Banyak faktor yang memainkan peranan. Sama seperti filem-filem lain, kegagalan melakukan promosi dengan baik menjadi penyumbang utama kepada kegagalan filem itu di pawagam. Tidak kiralah sebagus mana pun filem itu, jika pasukan produksi gagal melakukan rangka promosi yang bagus, filem itu pasti gagal.

"Bu" – RM21,754.00

Punca utama filem "Bu" gagal pada pandangan penulis adalah kerana tiada promosi mengenai filem ini sejak dari awal lagi. Apabila tarikh tayangannya sudah dekat barulah berita mengenai filem ini disiarkan. Jadi tidak hairanlah apabila filem arahan Jeany Amir ini berjaya kutip RM21 ribu lebih sahaja. Satu angka yang cukup mengecewakan jika hendak dibandingkan dengan barisan pelakon yang ditampilkan.

Kegagalan filem ini sekali lagi membuktikan apa yang dikatakan penulis mengenai kegagalan melakukan promosi untuk sesebuah filem akan menjadi punca kegagalan di pawagam walaupun dibintangi pelakon hebat. Filem "Bu" ini bukan dibintangi oleh seorang dua pelakon hebat, tetapi ramai seperti Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Dian P. Ramlee, Iedil Putra, Nadia Brian, Rashidi Ishak, Mawar Rashid dan Wan Hanafi Su. Setiap pelakon ini mempunyai reputasi yang cukup hebat, tetapi masih gagal menarik penonton di pawagam. Puncanya? Anda sendiri sudah tahu sebabnya.


Cinema Online, 4 Januari 2020

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
Filem bergenre seram komedi sudah tidak laku?
Cinema Online mengupas sedikit mengenai filem genre ini yang kini sudah semakin kurang dihasilkan.
5 Filem tempatan untuk tahun 2018 dengan kutipan terendah
Jom lihat senarai lima buah filem tempatan yang mendapat kutipan terendah untuk tahun ini.
5 filem tempatan dengan kutipan terendah 2017
Jom lihat senarai lima buah filem tempatan yang tidak berjaya mendapat sambutan di pawagam.