ENG | BM
Rencana
Filem tempatan terpaksa ditunda akibat COVID-19

Penulis: Ashraf Nasser

Filem manakah yang anda tidak sabar hendak menonton di pawagam kelak?
Filem manakah yang anda tidak sabar hendak menonton di pawagam kelak?

Negara kini berada dalam tahap membimbangkan apabila Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Susulan pengumuman itu, banyak industri yang terjejas termasuklah industri filem tempatan dan juga operator pawagam di Malaysia yang mana terpaksa menutup perniagaan mereka selama dua minggu.

Sejak awal bulan lalu, pembikin filem di seluruh dunia sudah mula membuat rombakan atau menunda tarikh tayangan filem mereka dan Malaysia juga tidak terkecuali apabila ada pembikin filem yang sudah menunda tayangan filem mereka yang dijadualkan ditayangkan sepanjang bulan Mac ini.

Jadi, untuk artikel kali ini Cinema Online ingin senaraikan beberapa filem tempatan yang terkesan dengan COVID-19 dan terpaksa ditunda tarikh tayangannya ke satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

"Escape"

Filem "Escape" menjadi antara yang paling awal membuat pengumuman mengenai penundaan tarikah tayangan filem mereka. Filem arahan Ikhwansha Hazer ini sepatutnya ditayangkan pada 26 Mac ini, namun pengarah dan penerbitnya iaitu Dreamland Productions Sdn Bhd dan DMY Creation mengambil langkah selamat untuk menangguhkan tayangan filem mereka kepada satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

Filem yang padat dengan aksi ini berkisarkan seorang lelaki bernama Adam. Dia dipaksa mendedahkan lokasi cip peranti senjata yang diseludupnya kepada pihak berkuasa apabila dia dituduh sebagai pengganas dan dikurung dalam sebuah bilik misteri. Malangnya dia mendapati pihak berkuasa itu sebenanrya adalah pengganas yang mempunyai rancangan jahat. Apakah yang akan berlaku kepada Adam? Kalau nak tahu jangan ketinggalan untuk menyaksikan "Escape" yang dibintangi oleh Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Zamarul Hisham dan ramai lagi apabila ia ditayangkan di pawagam kelak.

"Roh"

Sebuah lagi filem seram berjudul "Roh" juga mengambil pendekatan yang sama dengan menunda tayangan filem mereka sebelum kerajaan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 – 31 Mac ini. Perkara itu diumumkan oleh penerbit filem itu iaitu Kuman Pictures dan pengarahnya Emir Ezwan yang berkata tarikh baru tayangan filem itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Filem pertama arahan Emir itu berkisarkan mengenai keluarga daif di pinggir hutan yang mana mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan misteri. Sejak dari itu, kejadian aneh mula berlaku dan menghantui mereka. Filem ini dibarisi pelakon hebat seperti Farah Ahmad, Namron, June Lojong, Mhia Farhana, Harith Haziq dan Putri Syahadah.

"Town Mall"

Percaturan filem seram "Town Mall" untuk menayangkan filem mereka pada awal tahun ini berdepan situasi sukar apabila terpaksa menunda tarikh tayangan mereka kepada satu tarikh yang baru apabila kesemua pawagam di seluruh negara ditutup sehingga hujung bulan ini. Filem terbitan Aifa Motion Pictures itu menyaksikan Dato' Sri Eizlan Yusof diberi tanggungjawab untuk mengarah dan berlakon dalam naskhah yang diangkat dari sebuah novel seram popular.

Ia berkisarkan mengenai sebuah bangunan pusat beli belah yang diberi nama Town Mall yang terbengkalai ketika sedang dalam pembinaan akibat gangguan aneh yang sering berlaku. Selepas lebih sedekad terbiar, kini sebuah syarikat pemaju hartanah merancang untuk membina semula dan menyiapkan bangunan itu dengan harapan dapat menjadikannya sebagai pusat beli-belah terkenal. Bagaimanapun gangguan yang pernah berlaku sebelum ini kembali menghantui mereka yang terlibat dalam pembinaan ini. Selain Eizlan, filem ini turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Reen Rahim, Intan Ladyana, Nynaa Harizal dan Datuk Jalaluddin Hassan.

"Takut Ke Tak"

Nampaknya bulan Mac ini kebanyakkan filem tempatan yang bakal ditayangkan adalah filem dari genre seram. Sebuah lagi filem yang terpaksa ditunda adalah naskhah seram komedi berjudul "Takut Ke Tak" arahan Muzzamer Rahman. Tiada kenyataan panjang lebar dikeluarkan, sebaliknya hanya kenyataan ringkas yang mengatakan filem itu terpaksa ditunda akibat penularan wabak COVID-19, dan tarikh baru akan diumumkan tidak lama lagi.

Filem ini berkisarkan mengenai sekumpulan pelajar sebuah koleh dikehendaki menerbitkan sebuah filem sebagai projek graduasi mereka. Untuk itu, mereka bercadang untuk melakukan penggambaran di sebuah rumah berhantu. Namun projek mereka terganggu apabila kejadian-kejadian aneh mula menghantui mereka. Situasi menjadi semakin kecoh apabila mereka menemui sebuah almari pelik. Ia dibintangi oleh barisan pelakon baru sedang meningkat naik iaitu Nabil Aqil, Fabian Loo, Ika Nabella, Arwind Kumar dan Han Zalini.

"Kenderaan Berat Ikut Kiri"

Akhirnya sekali adalah filem romantik komedi berjuduk "Kenderaan Berat Ikut Kiri" yang turut mengambil pendekatan sama dengan menunda tarikh tayangan akibat situasi genting ketika ini. Dalam senarai kali ini hanya filem arahan Jefry Talib sahaja yang mengetengahkan genre romantik yang sudah semakin dilupai berikutan tidak lagi mendapat sambutan daripada penonton sejak kebelakangan ini.

Filem ini berkisarkan mengenai Adam yang secara tidak sengaja mengenali seorang gadis bernama Lisa. Adam seorang pengendali jentera ladang telah jatuh cinta pada Lisa. Bagaimanapun hubungan mereka berdepan konflik apabila Adam mendapat tahu bahawa bapa Lisa Uncle Don merupakan ketua penjenayah pemerdagangan manusia. Ia menampilkan barisan pelakon mantap seperti Syafie Naswip, Farhanna Qismina, Ropie, Sathiya dan ramai lagi.

*Setakat ini hanya filem-filem yang tersenarai dalam artikel ini sahaja yang sudah sah ditunda. Kemungkinan akan ada beberapa buah filem lagi yang ditunda. Jadi teruskan bersama Cinema Online untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai filem kegemaran anda!


Cinema Online, 19 Mac 2020

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
Filem paling dinanti-nantikan pada 2020
Jom lihat senarai filem-filem menarik yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Zizie Ezette akui rindu untuk kembali beraksi di hadapan kamera
Kali terakhir pelakon itu berlakon pada tahun 2017 menerusi sebuah drama.
Filem tempatan yang dijangka pecah panggung 2017!
Jom lihat senarai beberapa buah filem tempatan yang dijangka akan dapat kutipan pecah panggung.
Industri filem tempatan kutip lebih RM100 juta 2 tahun berturut-turut
Industri terus tunjukkan prestasi cemerlang dengan mengutip lebih RM130 juta.
Tayangan dan penggambaran filem Bollywood yang terjejas akibat COVID-19
Berikut adalah senarai filem yang terjejas akibat penularan wabak Coronavirus.
"Syif Malam Raya" jadi filem ketiga ditayangkan di Astro First
Filem yang sepatutnya ditayangkan di pawagam telah beralih ke platform TV berbayar.