ENG | BM
Rencana
Filem tempatan menarik yang boleh ditonton di Netflix

Penulis: Ashraf Nasser

Sudahkah anda menonton filem-filem ini?
Sudahkah anda menonton filem-filem ini?

Tidak dapat dinafikan platform penstriman video kini menjadi semakin popular yang mana ia menjadi pilihan ramai berikutan kandungan yang ditawarkan untuk pengguna cukup banyak yang boleh dipilih, tidak kira filem yang lama atau pun yang terbaru.

Antara platform penstriman video paling popular di seluruh dunia adalah Netflix. Platform ini telah berkembang daripada mengambil kandungan dari pihak ketiga untuk ditayangkan di platform mereka kepada penyedia kandungan untuk platform mereka sendiri.

Filem tiada sempadan! Itulah yang boleh diperkatakan mengenai Netflix kerana ia menawarkan pelbagai kandungan dari seluruh dunia termasuklah kandungan daripada Malaysia.

Jadi kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan beberapa buah filem tempatan hebat yang anda boleh ditonton di di Netflix ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia berikutan penularan wabak COVID-19.

Jom lihat senarai filem tempatan yang anda boleh tonton:

"Pekak" (2016)

Antara filem yang paling 'underrated' di Malaysia adalah filem "Pekak". Kenapa penulis berkata sedemikian? Ini kerana kutipan filem ini sangat menghampakan walaupun dibintangi ramai pelakon hebat tanah air. Mungkin kegagalan filem ini kerana judulnya yang tidak menarik perhatian ramai, tetapi percayalah jalan cerita yang ditampilkan dalam filem cukup hebat dan sangat 'relatable' dengan kehidupan kita.

Penulis ingin memberi pujian kepada pengarah filem ini iaitu Mohd Khairul Azri yang berani mengetengahkan isu serius yang dipandang enteng oleh masyarakat. Secara ringkasnya filem ini berkisarkan mengenai seorang lelaki cacat pendengaran bernama Uda yang berazam untuk kembali mendengar. Untuk merealisasikan impiannya itu, dia terjerumus dengan aktiviti penjualan dadah. DIa kemudian bertemu dengan Dara, seorang pelajar sekolah bermasalah ingin melarikan diri daripada bapanya yang terlalu mengongkong. Namun banyak cabaran dan perkara yang berlaku. Kalau anda nak tahu apa yang jadi, anda harus tonton filem ini. Pasti anda tidak akan menyesal.

Filem yang pernah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa ini dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Iedil Putra, Amerul Affendi dan ramai lagi.

"Munafik 2" (2018)

Rasanya kebanyakkan penonton pastinya sudah anda yang menonton filem seram "Munafik 2" pada tahun 2018 kerana ia merupakan filem tempatan mendapat kutipan tertinggi sepanjang zaman dengan kutipan hampir RM40 juta. Kejayaan luar biasa filem arahan pengarah berbakat besar Syamsul Yusof ini adalah susulan daripada filem "Munafik" pertama yang ketika ini mendapat kutipan RM17 juta.

Tidak dapat dinafikan Syamsul adalah seorang pakar yang bukan sahaja pakar dalam menghasilkan filem aksi, tetapi juga pakar dalam menghasilkan naskhah seram. Sebelum francais "Munafik", Syamsul pernah mengarah filem seram berjudul "Khurafat" pada tahun 2011 yang mana ia mendapat kutipan lebih RM8 juta.

Menerusi filem "Munafik 2", Syamsul kembali menceritakan mengenai Ustaz Adam yang perlu menentang seorang ketua ajaran sesat bernama Abuja yang mengamalkan ilmu hitam. Filem yang ini dibintangi oleh Syamsul sendiri bersama pelakon hebat lain seperti Maya Karin, Fizz Fairuz, Mawi, Fauzi Nawawi, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi. Jadi bagi anda yang tidak pernah tonton atau mahu tonton sekali lagi, boleh tonton di Netflix.

"One Two Jaga" (2018)

Filem "One Two Jaga" arahan pengarah dan pelakon terkenal Namron ini merupakan naskhah yang cukup kontroversi kerana ia bukan sahaja memaparkan sisi gelap pasukan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi dialog-dialog yang dilontarkan turut mengundang kontroversi kerana ia menggunakan bahasa pasar ditambah dengan kata-kata kesat yang digunakan dalam filem ini cukup banyak. Malangnya dialog kata-kata kesat itu dipotong untuk tayangan di pawagam tempatan.

Sebelum filem ini ditayangkan di Malaysia, ia telah berjaya meraih ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa, termasuk menerima pelbagai pengiktirafan. Walaupun kutipan di Malaysia amat mengecewakan, namun ia bagi mereka yang menonton filem ini pasti akan berpuas hati apabila keluar dari panggung.

Selain Namron, filem ini diterajui Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Iedil Putra, Timothy Castillo dan ramai lagi. Berita gembira buat penonton di Netflix. Versi di Netflix tidak akan ada sebarang potong, jadi segala dialog-dialog kata kesat akan kedengaran.

"Hantu Kak Limah" (2018)

Rasanya tidak lengkap kalau filem "Hantu Kak Limah" tidak masuk dalam senarai ini. Filem arahan pengarah tersohor tanah air Mamat Khalid ini merupakan filem dari francais "Kampung Pisang" paling berjaya apabila ia mendapat kutipan lebih RM36 juta. Sekiranya anda sudah 'masak' dengan naskhah-naskhah Mamat, sudah pasti anda mengetahui setiap babak yang ditampilkan oleh pengarah pasti mempunyai maksud tersirat. Antara isu yang sering diketangahkan oleh pengarah dalam filem-filemnya adalah mengenai isu semasa, budaya dan karenah masyarakat tempatan termasuklah dunia politik tetapi disampaikan dalam bentuk komedi.

Tak perlu penulis hendak ceritakan filem "Hantu Kak Limah" berkisar apa kali ini kerana anda perlu tonton sendiri. Selain jalan cerita yang menarik, Mamat juga dilihat menampilkan sisi berbeza beberapa pelakon yang mana ia membuatkan penonton 'terkejut' dan tak sangka pelakon itu mampu galas watak seperti itu.

"Hantu Kak Limah" dibintangi oleh Awie, Delimawati, Rab Khalid, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie dan ramai lagi.

"Paskal The Movie" (2018)

Tidak lengkap senarai ini sekiranya tiada filem ketenteraan "Paskal The Movie". Filem arahan Adrian Teh ini telah mencetuskan fenomena luar biasa sejak hari pertama ia ditayangkan di pawagam dan menjadi sebuah filem ketenteraan moden paling berjaya dengan kutipan lebih RM30 juta. Walaupun pada mulanya ramai yang merasakan filem ini tidak mampu pergi jauh, tetapi sebaliknya berlaku apabila rata-rata penonton kagum dengan naskhah ini.

Ia sebuah naskhah yang diinspirasikan dari kisah sebenar yang berkisarkan mengenai sepasukan anggota unit elit Pasukan Khas Laut atau PASKAL dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia pada tahun 2011. Selain itu, pengarah turut menambah 'rasa' dengan sedikit drama yang dipaparkan untuk mencantikkan jalan cerita ini. Kejayaan filem ini telah membuktikan pelakon popular bukan jaminan untuk sesebuah filem itu berjaya kerana pengarah telah berani menampilkan barisan pelakon kurang ternama sebagai peneraju seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufik Hanafi, Jasmine Suraya dan ramai lagi.

*Selain lima buah filem yang Cinema Online senaraikan di sini, ada banyak lagi filem-filem tempatan yang menarik boleh ditonton di Netflix, jadi bolehlah anda tonton ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Cinema Online, 29 Mac 2020

Pautan Berkaitan
Filem tempatan 'tak laku' tapi anda patut tonton ketika PKP
Walaupun tak dapat sambutan di pawagam, namun filem-filem ini mendapat ulasan baik.
Aktiviti-aktiviti selebriti tempatan ketika tempoh PKP
Jom lihat apa yang artis tempatan lakukan sepanjang tempoh ini dilaksanakan.
Pelakon Malaysia yang membintangi filem Indonesia
Jom lihat senarai pelakon tempatan yang berjaya mencipta nama di industri filem seberang.
Adakah tayangan filem-filem besar tempatan tahun ini akan ditunda?
Terdapat beberapa buah filem paling dinanti-nantikan sepatutnya ditayangkan pada tahun ini.