ENG | BM
Rencana
Perlu ke artis diberi bantuan khas oleh kerajaan?

Penulis: Ashraf Nasser

Gambar sebagai hiasan sahaja.
Gambar sebagai hiasan sahaja.

Walaupun negara kini masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan, namun masyarakat kini sedang hangat memperkatakan mengenai isu segelintir artis yang meminta bantuan khas kerajaan untuk penggiat seni tanah air.

Isu ini menjadi semakin panas dan ini telah mecetuskan 'peperangan' antara netizen dan segelintir selebriti berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, semalam Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menerusi Presidennya iaitu Zed Zaidi telah membuat 'IG live' bagi menerang dan mengulas isu hangat tersebut. Tambahnya sebagai persatuan yang membela nasib golongan penggiat seni, SENIMAN perlu mendapatkan penerangan terperinci supaya mereka dapat menjawab segala persoalan daripada penggiat seni yang tidak faham dengan bantuan kerajaan.

Pada masa sama, Zed turut menjawab mengenai cadangan SENIMAN kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedi Malaysia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF), bantuan khas COVID-19 bagi penggiat seni (COVIDSENI-2020) pada 23 Mac lalu yang mana dia berkata iannya hanya sekadar cadangan sebelum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Bantuan Prihatian Nasional baru-baru ini.

Mungkin ramai yang sudah faham dengan apa yang dijelaskan oleh Zed, namun yang menjadi pertikaian netizen adalah cadangan SENIMAN mengenai bantuan untuk penggiat seni yang dikatakan 'melebih-lebih'.

Cadangan SENIMAN untuk bantuan khas COVIDSENI-2020

Seperti yang anda sedia maklum, pada 23 Mac lalu SENIMAN menerusi laman sosial Instagram mereka telah memuat naik posting cadangan bantuan khas untuk penggiat seni. Berikut adalah cadangan bantuan yang diminta:

CADANGAN SENIMAN KEPADA PIHAK KERAJAAN MELALUI AGENSI FINAS DAN KEMENTERIAN KOMUNIKASI MULTIMEDIA BANTUAN COVID-19 PENGGIAT SENI 2020

Apakah bentuk bantuan one off kepada penggiat seni filem, drama dan muzik perlukan?

Dan bagaimana SENIMAN dapat mencadangkan bantuan yang bersesuaian melalui Kementerian komunikasi multimedia menerusi pakej rangsangan ekonomi 2.0 Covid-19?


1) Cadangan Projek Inisiatif - Pakej Rangsangan Ekonomi 2.0 Covid19 KKMM (Bantuan Kecemasan)- Cadangan Nama Bantuan :

BANTUAN KHAS COVID-19 PENGGIAT SENI MALAYSIA (COVIDSENI-2020)

2) BANTUAN KHAS E-TUNAI ATAU TUNAI RM 500 HINGGA RM 1000 MENGGUNAKAN PEMBAYARN MELALUI ELECTRONIC FUND TRANSFER (EFT) Saraan (mengikut kriteria) Semasa Krisis (untuk bayaran keperluan rumah seperti beras, mineral water dan barang keperluan penting semasa PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

3) "Skim Kerugian Seni" bantuan kerugian dari min RM 1000 ke RM 3000 menangung kerugian penanguhan pengambaran, promosi, persembahan dan yang lain lain melalui PKP dan segala kerja seni tertangguh dan mengalami kerugian skim ini sebagai jaminan.


4) BAUCER KEPERLUAN DIRI DAN RUMAH UNTUK ANAK SENI, JAMINAN KERAJAAN MELALUI KPDHEP DENGAN KERJASAMA PASARAYA SEPERTI TESCO, GIANT, NSK, MYDIN DAN SEBAGAINYA.

5) PEMERIKSAAN COVID 19 KESIHATAN PERCUMA UNTUK PENGGIAT SENI DI HOSPITAL KERAJAAN DAN SWASTA (yang memerlukan sahaja)

6) DANA KHAS PERSATUAN PERSATUAN SENI BAGI KEMPEN COVID 19 UNTUK MEMBANTU KERAJAAN MEMBERI PENERANGAN KEPADA RAKYAT DENGAN LEBIH BERKESAN.


7) SISTEM BANTUAN PENGGIAT SENI YANG TIDAK MEMPUNYAI KWSP

Bantuan kewangan Khas sebanyak RM1000 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan yang diberikan kepada penggiat seni Malaysia.

SENIMAN telah memberi tujuh cadangan, namun penulis hanya mengulas beberapa cadangan sahaja (lihat cadangan yang dihitamkan) yang mana penulis berpendapat cadangan-cadangan itu yang menjadi punca pertikaian oleh netizen.

Jika dilihat cadangan kedua dan keempat, ia tidak sepatutnya diasingkan sebaliknya cukup sekadar tunai RM1,000- RM1,600 sama seperti penerima Bantuan Sara Hidup atau BSH. Cadangan kedua dan keempat adalah benda yang sama. Jika sudah diberikan wang tunai, mengapa pula perlu baucer keperluan diri dan rumah pula? Bukankah dengan bantuan tunai itu dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan?

Cadangan keenam SENIMAN juga dilihat seperti ingin mendapatkan dana lebih tanpa alasan yang kukuh. SENIMAN meminta dana khas untuk mereka membantu kerajaan memberi penerangan kepada rakyat dengan lebih berkesan.

Secara logiknya tugasan ini sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan melalui banyak kementerian-kementerian termasuklah stesen televisyen, jadi adakah SENIMAN ingin katakan penerangan yang dibuat oleh kerajaan tidak berkesan, tetapi jika mereka yang lakukan akan lebih berkesan? Jika mereka ingin bantu kerajaan, rasanya tidak perlu minta dana khas, sebaliknya mereka boleh lakukan perkara itu menerusi laman sosial masing-masing secara percuma.

Cadangan yang paling menimbulkan kontroversi adalah bantuan kewangan khas sebanyak RM1,000 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan yang diberikan kepada penggiat seni.

Ini merupakan cadangan paling tidak masuk akal oleh SENIMAN yang menjadi pertikaian netizen yang mana ramai mempersoal mengapa kerajaan perlu beri mereka 'gaji' setiap bulan sedangkan bantuan secara 'one-off' turut dinikmati mereka.

Berlakunya 'perang' antara penggiat seni

Tidak semua penggiat seni yang mengharapkan bantuan daripada kerajaan kerana mereka lebih memahami rakyat marhaen lebih memerlukan bantuan berikutan kesukaran yang dihadapi mereka. Antara yang paling lantang membidas golongan penggiat seni yang menagih bantuan adalah pelakon Zarina Anjoulie yang berang dengan sikap pentingkan diri segelintir penggiat seni.

"Itu pilihan kau untuk beli kereta dan motor mahal. Lepas itu, mengadu tak ada duit nak makan. Kalau dah tahu macam itu, hiduplah secara bersederhana. Ini masing-masing tidak sedar diri pakai kereta mewah sehingga sanggup ikat perut dan tiada wang simpanan.

"Yang aku ini bawa Satria Neo buruk pun makan 'steak' dan udang galah setiap hari. Malah, aku dengan teman lelaki aku boleh menderma. Bukan nak riak, tetapi macam mana aku ini yang hidup sederhana dan boleh berkongsi dengan orang lain.

"Kau yang tanamkan dalam fikiran semua orang yang kau kaya raya tetapi sebenarnya tak ada apa. Kemudian apabila kena kecam, itu masalah kau. Padanlah muka kau orang artis-artis. Cuba kalau kau orang hidup sederhana, hidup macam orang biasa, tak ada orang akan kecam," tegurnya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya.

Bagi pelakon dan penyanyi Kaka Azraff pula berkata; "Ingat bila rasa hidup tu susah, ada orang yang hidup dia lagi susah dari kita. Orang yang gaji RM1,200 sebulan, dengan awak job sehari RM1,000...diam, jangan kata apa-apa ok."

Ramai lagi golongan penggiat seni yang berpendapat sama iaitu bantuan hanya perlu diberikan kepada penggiat seni yang betul-betul memerlukan sahaja.

Ada penggiat seni tak minta bantuan, sebaliknya mereka pula yang membantu

Walaupun ada yang 'menagih' bantuan, tetapi ada juga ramai penggiat seni yang bersikap sebaliknya antaranya pelakon Adam Shahz yang menjadi sukarelawan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM). Aktor ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada penggiat seni lain kerana walaupun rezekinya dalam dunia seni tidak 'sekencang' artis lain namun dia tidak pernah merungut sebaliknya mengambil inisiatifnya sendiri untuk mencari wang termasuklah menjadi pemandu Grab. Dalam tempoh sukar ini pula, dia menjadi barisan hadapan negara dalam menangani penularan wabak COVID-19 tanpa menerima sebarang bayaran.

Bagi pelakon, pelawak, penyanyi dan pengacara popular, Zizan Razak pula dia bersama beberapa rakan artis lain kini dalam perancangan untuk mengumpul dana bagi membantu orang-orang yang terjejas akibat COVID-19.

Manakala bagi pelakon Siti Elizad pula mengambil pendekatan lain iaitu dengan menyediakan makanan yang kemudiannya diberikan kepada mereka yang bekerja di barisan hadapan. Sementara itu juruhebah radio popular Era FM pula iaitu Haniff Hamzah pula akan menyumbang sebahagian daripada gajinya kepada sesiapa yang memerlukannya.

Marilah kita sama-sama berdoa agar pandemik COVID-19 di Malaysia akan berakhir secepat mungkin supaya kita dapat menjalani kehidupan normal semula.

*Betul apa yang diperkatakan oleh sesetengah orang, ketika negara sedang dilanda musibah kita akan dapat melihat belang sebenar seseorang itu.


Cinema Online, 31 Mac 2020

Pautan Berkaitan
Penggambaran "Algojo" dibatalkan kerana COVID-19
Pihak produksi terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu apabila terpaksa tunda penggambaran.
Azhan Rani jalankan tanggungjawab sosial ketika COVID-19
Pelakon itu tetap menderma darah ketika negara berdepan penularan wabak berbahaya itu.
SENIMAN bantu penggiat seni terjejas akibat COVID-19
Persatuan penggiat seni itu kini giat bantu ahli-ahli ringankan beban mereka ketika tempoh PKP.
Aktiviti-aktiviti selebriti tempatan ketika tempoh PKP
Jom lihat apa yang artis tempatan lakukan sepanjang tempoh ini dilaksanakan.
Pelakon Malaysia yang membintangi filem Indonesia
Jom lihat senarai pelakon tempatan yang berjaya mencipta nama di industri filem seberang.
Artis tempatan bantu kempen amal "Together We Can" ketika PKP
Dasha Logan, Wanted Symphony antara artis yang terlibat dengan kempen ini.