ENG | BM
Rencana
Tayangan dan penggambaran filem Bollywood yang terjejas akibat COVID-19

Penulis: Nisa Irina

Filem Bollywood manakah yang anda nantikan untuk tonton?
Filem Bollywood manakah yang anda nantikan untuk tonton?

Sejak Januari lalu, dunia dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 (Coronavirus) yang semakin meningkat dari semasa ke semasa secara global. Baru-baru ini Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi ini sebagai pandemik.

Susulan penularan wabak yang telah meragut lebih 8,000 nyawa ini menimbulkan kebimbangan semua pihak, sekaligus menjejaskan pelbagai industri termasuk industri seni hiburan dan perfileman. Malah ada beberapa selebriti terkenal yang disahkan positif COVID-19.

Dua industri perfileman terbesar di dunia yang dilihat paling terjejas ialah Hollywood dan Bollywood. Seperti yang dilaporkan media, banyak tayangan filem dan proses penggambaran yang terpaksa ditangguhkan sehingga situasi menjadi terkawal.

Pihak produksi mengumumkan keputusan sebegitu sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pelakon, kru, pekerja dan penonton sentiasa terjaga. Kerajaan juga mengeluarkan arahan supaya semua panggung wayang ditutup.

Oleh itu, Cinema Online akan menyenaraikan filem-filem Bollywood yang ditunda tarikh tayangan dan proses penggambarannya akibat penularan wabak COVID-19 yang kini berada di tahap membimbangkan.

"Sooryavanshi"

Pasti para peminat alam sinematik polis Rohit Shetty berasa hampa apabila penantian mereka untuk menonton filem aksi "Sooryavanshi" terganggu berikutan penangguhan tayangan filem tersebut. Asalnya pihak penerbit menetapkan 24 Mac sebagai tarikh rilisnya.

""Sooryavanshi" adalah satu pengalaman yang kami ciptakan untuk anda dengan penuh dedikasi dan kerja keras selama setahun, dan maklum balas yang kami terima untuk treler filem ini sangat luar biasa dan ternyata filem ini milik para penonton.

"Seperti anda semua, kami juga teruja untuk mempersembahkan filem ini kepada anda sekeluarga, tetapi berikutan penularan wabak COVID-19 (Coronavirus), kami, pembikin filem, telah memutuskan untuk menunda tarikh rilis filem "Sooryavanshi", bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para penonton kami terjaga.

"Oleh itu, "Sooryavanshi" akan kembali untuk anda apabila tiba masa yang sesuai. Apa yang penting sekarang adalah keselamatan semua pihak. Sehingga itu, teruskan keterujaan anda untuk filem ini dan jaga diri," jelas pihak Rohit Shetty Picturez.

"Brahmastra"

Sebuah lagi projek besar yang dinanti-nanti ramai adalah "Brahmastra" oleh Karan Johar, sebuah filem adiwira arahan Ayan Mukerji. Apa yang menarik dalam filem ini adalah barisan pelakonnya yang menampilkan nama-nama besar Bollywood.

Antara pelakon yang terlibat dalam menjayakan filem ini ialah Amitabh Bachchan, Ranbir Kapoor (juga bertindak sebagai salah seorang penerbit), Alia Bhatt, Mouni Roy, Akkineni Nagarjuna, Dimple Kapadia, serta penampilan khas oleh Shah Rukh Khan.

Sesi penggambaran telah pun bermula sejak Februari 2018 dan kini hanya tinggal jadual terakhir penggambaran di Mumbai. Walau bagaimanapun, pihak produksi terpaksa menundanya hingga April.

Filem ini bakal dirilis pada 4 Disember 2020 namun penulis menjangkakan ia akan dirilis pada 2021 memandangkan ia banyak menggunakan kesan visual (VFX) maka proses pos-produksi memerlukan tempoh lama.

"Demi memastikan keselamatan dan kesihatan pihak produksi dalam keadaan baik, Ayan dan Ranbir mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak meletakkan mereka dalam sebarang risiko. Jadi buat masa ini penggambaran telah diubah ke April," dedah satu sumber.

"Jersey"

Difahamkan penggambaran filem sukan "Jersey" yang kini sedang berlangsung di Chandigarh terpaksa dihentikan selama dua hingga tiga minggu.

"Kami jangka penggambaran akan berakhir pada penghujung April tetapi memandangkan krisis dunia ini sedang berlaku, kami terpaksa menangguhkannya. Jika situasi semakin terkawal, kami akan sambung produksi.

"Namun ia tidak akan mengganggu tarikh rilis kami. Kami masih mempunyai tempoh empat hingga lima bulan untuk proses pos-produksi selepas kami selepas penggambaran pada pertengahan Mei," ujar penerbit filem "Jersey" Aman Gill.

Bintang utama filem ini iaitu Shahid Kapoor juga mengeluarkan kenyataan bahawa kumpulan produksi "Jersey" sama-sama bertanggungjawab untuk mengurangkan penyebaran Coronavirus, serta menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada.

"83"

Filem yang dibintangi pasangan selebriti dua sejoli Ranveer Singh dan Deepika Padukone ini dijadual untuk ditayangkan pada 10 April. Baru-baru ini pihak produksi telah membatalkan majlis pelancaran treler filem yang sepatutnya berlangsung bulan ini. Walau bagaimanapun, mereka masih belum mengeluarkan kenyataan jika filem ini akan ditangguh tayangannya ataupun tidak.

"Sandeep Aur Pinky Faraar"

"Berikutan penularan Coronavirus (COVID-19) di negara ini, kami telah memutuskan untuk menunda tarikh rilis "Sandeep Aur Pinky Faraar" arahan Dibakar Banerhee.

"Kesihatan dan keselematan semua pihak merupakan keutamaan kami buat masa ini," tulis peneraju utama filem komedi gelap ini, iaitu Parineeti Chopra dan Arjun Kapoor menerusi laman Twitter.

Seperti yang dijadualkan oleh pihak produksi, filem terbitan Yash Raj Films itu bakal ditayangkan di pawagam pada 20 Mac ini. Ini bukan kali pertama filem ini ditunda memandangkan sebelumnya berlaku perkara sama atas sebab yang tidak dijelaskan pihak produksi.

"Takht"

Susulan pembikin filem Karan Johar mengumumkan syarikat produksinya Dharma Productions menggantung segala produksi filem buat sementara waktu akibat COVID-19, maka penggambaran filem kontroversi "Takht" juga terpaksa ditunda.

Penggambaran sepatutnya bermula bulan ini di Jaipur dan Jaisalmer tetapi ia telah dibatalkan gara-gara bimbang atas keselamatan dan kesihatan kru produksi serta barisan pelakon, yang terdiri daripada Kareena Kapoor Khna, Alia Bhatt, Ranveer Singh, Anil Kapoor dan ramai lagi.

"Radhe: You Most Wanted Bhai"

Jika peneraju utamanya adalah bintang besar Bollywood Salman Khan, sudah tentulah ramai yang tidak sabar untuk menonton filem aksi terbaru "Radhe: Your Most Wanted Bhai" arahan Prabhu Deva ini.

Salman telah pun selesai menjalani jadual penggambaran pertama yang bermula pada Oktober 2019 bersama aktres gandingannya buat kali kedua iaitu Disha Patani.

Kini penggambaran babak aksi dan lagu yang sepatutnya berlangsung di Azerbaijan juga telah dibatalkan. Malah penggambaran yang dijadualkan di Bangkok juga terpaksa dibatalkan akibat penularan COVID-19 yang meningkat.

"Radhe: Your Most Wanted Bhai" dijangka akan menemui penonton di pawagam pada Aidilfitri tahun ini namun penulis berpendapat tarikh rilisnya berkemungkinan akan diubah sehingga keadaan terkawal.

*Setakat ini hanya filem-filem yang tersenarai dalam artikel ini sahaja yang sudah sah ditunda. Kemungkinan akan ada beberapa buah filem lagi yang ditunda. Jadi teruskan bersama Cinema Online untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai filem kegemaran anda!


Cinema Online, 22 Mac 2020

Pautan Berkaitan
Filem tempatan terpaksa ditunda akibat COVID-19
Berikut adalah senarai beberapa buah filem tempatan yang terpaksa menunda tarikh tayangan filem mereka.
Filem paling dinanti-nantikan pada 2020
Jom lihat senarai filem-filem menarik yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
"Rock 4: Rockers Never Dai" filem terakhir dari francais "Rock"?
Ramai yang menjangkakan filem "Rock" arahan Mamat Khalid itu sudah tamat, tetapi tidak!