ENG | BM
Rencana
5 Filem thriller Bollywood paling dinanti-nantikan pada 2020

Penulis: Nisa Irina

Filem thriller Hindi manakah menjadi pilihan anda pada tahun ini?
Filem thriller Hindi manakah menjadi pilihan anda pada tahun ini?

Sebelum ini dunia perfileman Bollywood dihiasi dengan filem-filem bergenre aksi, romantik, sukan dan biopik. Bagaimanapun, para pembikin filem sudah berani meneroka genre seram, misteri dan thriller yang dilihat semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Buat yang tidak tahu, genre seram dan thriller adalah dua perkara yang berbeza. Genre thriller bertujuan untuk menyuntik perasaan cemas, misteri dan rasa ingin tahu sehingga membuatkan penonton tidak senang duduk, berbanding filem seram yang hanya menimbulkan perasaan takut.

Walau apapun, kedua-dua genre inilah yang sering menjadi perhatian buat penggemar filem untuk terus menyerbu pawagam jika sesebuah filem itu menepati cita rasa mereka. Tambahan pula jika ia padat dengan 'plot twist' yang membuatkan penonton berfikir.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan lima buah filem thriller Bollywood yang bakal menggegarkan pawagam sepanjang tahun 2020.

"Hacked"

Genre yang memaparkan sisi gelap dunia siber sebelum ini hanya ditonjolkan menerusi filem-filem Hollywood seperti "Unfriended", "Snowden" dan "The Matrix". Kali ini pembikin filem Vikram Bhatt mengikut jejak langkah sama dengan penghasilan filem thriller arahannya "Hacked".

Menurut Vikram, dia menolak tepi kisah seram mengenai dunia roh yang klise untuk bercerita mengenai dunia sebenar yang menakutkan dan kehidupan peribadi kita yang terdedah di Internet. "Hacked" mengisahkan seorang wanita yang diekori penggodam yang obses terhadapnya. Menarik bukan?

Filem itu menandakan penampilan aktres televisyen Hina Khan untuk beraksi di layar lebar buat kali pertama. Diterbitkan oleh Amar Thakkar dan Krishna Bhatt bersama Zee Studios, turut menampilkan barisan pelakon seperti Rohan Shah, Mohit Malhotra dan Sid Makkar.

Tarikh tayangan: 7 Februari 2020

"The Girl on the Train"

Anda pasti pernah menonton atau mendengar judul filem Hollywood ini bukan? Jika ya, maka tekaan anda tepat kerana ia merupakan sebuah 'remake' dalam versi Hindi yang mengekalkan judul sama seperti filem arahan Tate Taylor itu. Ia juga diadaptasi dari novel debut terlaris Paula Hawkins pada 2015.

Filem ini akan menampilkan sisi berbeza aktres Parineeti Chopra memandangkan dia tidak pernah menjayakan watak seorang 'kaki botol' sebelum ini. Dalam filem asal, watak itu dipegang oleh selebriti Hollywood Emily Blunt. Bagi Parineeti, ia adalah satu watak yang mencabar untuk dibawa kerana ia berbeza dengan sifat periangnya.

Buat pengetahuan lanjut, ketua eksekutif kumpulan CEO Reliance Entertainment, Shibasish Sarkar berkata, pihak produksi telah membeli hak cipta novel dan filem asal. Jalan cerita filem itu akan diadaptasikan dari perspektif penceritaan India supaya bersesuaian dengan penonton. Kalau anda penggemar filem "The Girl on the Train" yang asal, jangan terlepas untuk menonton 'remake' versi Hindi ini pula!

Tarikh tayangan: 8 Mei 2020

"Mumbai Saga"

Penulis yakin pasti ramai yang ternanti-nantikan filem ini memandangkan ia sebuah filem berskala besar yang menggabungkan pelakon berbakat seperti John Abraham, Emraan Hashmi, Jackie Shroff, Suniel Shetty, Prateik Babbar, Gulshan Grover, Rohit Roy dan Amole Gupte.

Berlatar belakang tahun 80-an dan 90-an, filem "Mumbai Saga" yang bertemakan dunia gengster diinspirasi dari kisah benar tentang perubahan besar bandar Mumbai. Lebih menarik lagi, pengarah Sanjay Gupta mendedahkan kumpulan produksi tidak menggunakan khidmat pembantu aksi lagak ngeri untuk menjayakan filem ini.

Menurut Sanjay, dia ingin mengekalkan keaslian filem seboleh mungkin dan segala lagak aksi ngeri akan dilakukan sendiri oleh para pelakon. Salah satunya adalah babak di mana John Abraham melakukan kombat, menggunakan senjata api serta aksi kejar mengejar menaiki motosikal. Jika beginilah usaha pembikin filem, maka tidak dapat disangkal lagi filem hebat ini bakal meraih kutipan pecah panggung!

Tarikh tayangan: 19 Jun 2020

"Chehre"

Filem ini akan menggandingkan dua aktor hebat iaitu bintang veteran terkemuka Amitabh Bachchan dan Emraan Hashmi buat kali pertama di layar perak. Bachchan diberi tanggungjawab untuk menggalas watak peguam bela sementara Emraan pula seorang hartawan perniagaan. Apa pula kes yang perlu mereka selesaikan? Sama-sama kita nantikan!

Pada mulanya filem ini dijadual untuk ditayangkan pada 24 April, namun memandangkan ia masih dalam proses penggambaran, maka pembikin filem "Gulabo Sitabo" yang turut dibintangi Bachchan meminta ruang untuk mereka merilis filem mereka terlebih dahulu.

Diarahkan oleh Rumi Jaffery di bawah terbitan Anand Pandit dan Bachchan, filem "Chehre" turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Krystle D'Souza, Rhea Chakraborty, Siddhanth Kapoor dan Annu Kapoor.

Tarikh tayangan: 17 Julai 2020

"Haseen Dillruba"

Buat pertama kalinya aktres versatil Taapsee Pannu akan digandingkan bersama aktor Vikrant Massey di layar perak menerusi filem thriller romantik arahan Vinil Mathew ini. Para pembikin menyifatkan gandingan mereka bersesuaian dengan konsep filem kerana ia mengekalkan elemen misteri.

Penerbit Aanand L. Rai menyatakan "Haseen Dillruba" adalah sebuah kisah pembunuhan misteri yang diselitkan dengan sebuah kisah cinta rumit, sebuah genre yang belum pernah mereka terokai sebelum ini.

Sesi penggambaran baru sahaja dimulakan sejak pertengahan bulan ini di Haridwar, sebuah bandar yang terletak di Uttarakhand, India. Sepertinya pembikin filem tidak mahu mendedahkan terlalu banyak butiran mengenai filem ini, jadi jika anda nak tahu apa kisah selanjutnya, kenalah pergi tonton.

Tarikh tayangan: 18 September 2020


Cinema Online, 27 Januari 2020

Pautan Berkaitan
5 Filem biopik sukan Hindi yang telah dan bakal ditayangkan untuk 2019!
Jom lihat senarai filem-filem biopik sukan yang telah dan bakal ditayangkan tidak lama lagi.
5 Filem Bollywood terbaru ditayangkan sepanjang Aidilfitri
Jom lihat senarai filem Bollywood terbaru yang ditayangkan pada raya tahun ini.
10 filem Bollywood paling dinanti-nantikan tahun ini!
Jom lihat senarai bagi 10 buah filem Bollywood yang dinanti-nantikan oleh peminat untuk 2019.