ENG | BM
Temubual
Adrian Teh mahu fokus bikin lebih banyak filem aksi selepas "Wira"

Penulis: Nisa Irina


Pengarah Adrian Teh akui berdepan banyak cabaran semasa pembikinan filem "Wira"
termasuk kecederaan kaki Hairul Azreen.

Kejayaan filem "Paskal The Movie" yang sebelum ini mendapat sambutan luar biasa di kalangan penonton dan menjadi filem pecah panggung membuatkan pengarah Adrian Teh kembali dengan filem aksi terbaru berjudul "Wira".

Adrian memberitahu bahawa pihak produksinya serta para pelabur kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah 'cinematic universe' berkisar tentang wira-wira tempatan yang tak didendang.

Pihak produksi telah mendapatkan perkhidmatan pakar lagak ngeri serta pelakon aksi dari Indonesia iaitu Yayan Ruhian yang turut membuat penampilan istimewa menerusi filem ini.

Setakat ini filem ini masih dalam proses pra-produksi dan dijangka akan ditayangkan di layar lebar pada hujung tahun nanti.

Baru-baru ini Cinema Online sempat menemubual Adrian Teh di jemputan media ke lokasi penggambaran "Wira" di Sentul Depot, Sentul West KL.

Jom ikuti temubual bersama Adrian Teh.


Pengarah Adrian Teh bersama barisan pelakon utama "Wira".

Cinema Online: Bagaimana anda mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini? Adakah ia merupakan idea asal anda?

Adrian: Idea asal filem ini adalah daripada saya sendiri kerana saya sudah lama menyimpan impian untuk membikin filem aksi. Sebelum ini saya banyak buat filem komedi di Singapura dan Hong Kong serta drama romantik dan filem seram. Jadi selepas filem "Paskal The Movie", saya mahu lebih fokus terhadap menghasilkan lebih banyak filem aksi. Saya rasa banyak lagi yang saya mahu ceritakan menerusi genre ini dan saya percaya kami perlukan banyak masa untuk menghasilkan sebuah filem aksi yang baik.

Bercakap mengenai pemilihan pelakon. Mengapa anda sekali lagi memilih Hairul Azreen untuk berlakon dalam filem ini selepas "Paskal The Movie"?

Semasa saya merancang mahu membikin filem "Wira", saya dah terfikir untuk mengambil Hairul untuk berlakon. Bagi saya Hairul adalah seorang pelakon yang sangat profesional dan sejujurnya saya senang bekerjasama dengan dia. Saya dah lihat prestasi dia menerusi filem "Paskal The Movie" dan sekali lagi dia membuktikan saya telah membuat pilihan tepat mengambilnya berlakon dalam filem "Wira".

Boleh anda ceritakan sedikit perbezaan antara filem "Wira" dan "Paskal The Movie"?

"Paskal The Movie" adalah filem yang mengisahkan tentang anggota-anggota Paskal yang berkorban masa dan nyawa demi berkhidmat untuk negara. "Wira" pula jauh berbeza dari filem itu dimana ia berkisar tentang seorang bekas tentera yang bersara awal kerana mahu pulang menyelamatkan keluarganya.

Apakah cabaran yang anda perlu hadapi sepanjang pembikinan filem ini?

Selain kekangan masa, kami juga perlu mengeluarkan kos sebanyak RM15,000 bagi menanggung masalah kebocoran paip di set penggambaran kerana pihak pengurusan tidak mahu bertanggungjawab untuk membaikinya.

Satu lagi cabaran adalah perancangan kami untuk melakonkan lagak aksi ngeri yang sebelum ini kami rasa tidak mampu buat. Kami mengambil masa tiga hari untuk hasilkan babak dimana Hairul perlu lakonkan aksi pergaduhan termasuk terjun dari tingkat dua. Ia agak sukar kerana kami perlu filemkan babak itu dalam 'one-shot'.

Bagaimana perasaan anda apabila pelakon utama (Hairul) terlibat dalam kecederaan semasa penggambaran?

Sudah tentu saya rasa risau tentang keadaan Hairul dan proses pembikinan projek. Walaupun bajet nampak masih cukup, tetapi kami masih perlu mengejar masa produksi kerana sudah menyewa kilang dan sebuah kren khas, jadi kami perlu imbangkan bajet yang sedia ada.

Saya ada bercadang untuk tangguhkan penggambaran babak Hairul sementara kakinya pulih, namun dia tetap mahu meneruskan penggambaran kerana merasakan kecederaan itu tidak teruk. Jadi kami mencuba sehabis baik untuk merawat kakinya di lokasi penggambaran.

Apakah harapan dan jangkaan anda terhadap penerimaan filem ini oleh penonton memandangkan "Paskal The Movie" telah berjaya pecah panggung?

Sejujurnya saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi dari segi 'box office' untuk filem-filem saya sebelum ini kerana ia bukan sesuatu yang saya boleh kawal. Harapan saya adalah untuk mengarah serta menghasilkan filem-filem dimana rakyat tempatan boleh banggakan.

Nantikan tayangan filem "Wira" di pawagam pada hujung tahun ini!


Cinema Online, 20 Mei 2019