ENG | BM
Temubual
Areel Abu Bakar hasilkan "Geran" untuk kepuasan sendiri

Penulis: Nisa Irina

Areel Abu Bakar cabar diri untuk hasilkan filem bertemakan persilatan.
Areel Abu Bakar cabar diri untuk hasilkan filem bertemakan persilatan.

Tahun demi tahun industri filem tempatan sering disulam dengan filem-filem bergenre aksi, namun jarang sekali penonton disajikan dengan filem aksi yang mengetengahkan seni bela diri tradisional.

Oleh yang demikian, pengarah baru Areel Abu Bakar tampil mengambil risiko serta memberanikan diri untuk menghasilkan filem sulungnya berjudul "Geran" yang memfokuskan silat sebagai elemen utama.

Selain mempunyai misi untuk memperjuangkan seni bela diri warisan Melayu, Areel juga ingin memperkenalkan nama-nama baharu dalam dunia lakonan yang mampu mengangkat dunia persilatan ke layar perak.

Baru-baru ini, Cinema Online berpeluang untuk menemu bual Areel pada malam gala tayangan perdana filem "Geran" di mmCineplexes eCurve, Damansara.

Jom ikuti temubual bersama Areel Abu Bakar.

Pengarah Areel Abu Bakar bersama barisan pelakon filem
Pengarah Areel Abu Bakar bersama barisan pelakon filem "Geran" yang hadir

di malam gala tayangan perdana filem tersebut.

Cinema Online: Bagaimanakah idea untuk menghasilkan filem ini tercetus?

Areel: Misi saya sejak awal adalah untuk mengangkat semula nama seni bela diri tradisional asli silat yang semakin dilupakan. Ini merupakan salah satu langkah kami untuk memperkenalkan warisan budaya ke peringkat antarabangsa. Filem ini juga dibuat atas minat dan kepuasan saya sendiri.

Mengapakah anda mengambil masa selama lima tahun untuk menyiapkan filem ini?

Sebenarnya saya menghabiskan masa tiga tahun hanya untuk mencari dana dan pelabur tetapi tidak berjaya. Ada juga rakan saya menawarkan RM1.5 juta tetapi dia beranggapan tiada orang yang mahu tonton filem mengenai silat. Jadi saya ambil kata-kata dia sebagai satu cabaran dan saya keluarkan modal sendiri kira-kira RM700 ribu untuk teruskan buat filem ini. Penggambaran dijalankan selama 36 hari dan proses suntingan pula mengambil masa dua tahun.

Mengapa anda tidak memilih pelakon-pelakon terkenal untuk menerajui watak utama?

Saya percaya dengan bakat serta jalan cerita yang saya ingin bawakan. Saya tidak rasa perkara ini sebagai satu risiko untuk memperkenalkan muka-muka baru dalam cerita saya. Saya buat cerita silat jadi saya perlukan para pelakon yang mempunyai asas silat. Selain itu, saya juga tidak menggunakan khidmat dari pakar aksi lagak ngeri. Semua lagak aksi dilakukan oleh para pelakon sendiri.

Pada pendapat saya, tidak ramai pelakon aksi tempatan yang betul-betul boleh berlawan. Jika diikutkan, pelakon-pelakon seperti Namrom dan Aeril Zafril tiada pun dalam filem ini. Mereka yang tawarkan diri untuk berlakon dalam filem ini sebagai satu bentuk sokongan buat saya.

Apa pendapat anda jika ada pihak yang mengaitkan filem ini dengan polemik perkauman?

Saya tidak takut dengan apa yang datang dalam hidup saya dan akan buat apa yang saya ingin buat. Saya rasa saya tiada sentuh apa-apa isu termasuk bangsa lain dalam filem ini. Sebenarnya filem ini bukanlah mengangkat tema seni bela diri Melayu semata-mata tetapi ia turut menceritakan refleksi orang Melayu dari segi karakter, pergaulan, peradaban dan sopan santunnya. Kita tengok filem ini sebenarnya mencerminkan diri kita sendiri.

 

Apakah harapan anda terhadap filem ini?

Saya ingin orang ramai terima filem ini bukan atas sebab perkara yang 'viral', tetapi kerana mereka betul-betul minat cerita saya. Saya tidak mahu mengambil kesempatan atas sebarang isu untuk menaikkan filem saya. Jika mempunyai kos yang lebih baik, saya teringin mengangkat cerita seperti ini ke arah yang lebih tinggi. Saya mengharapkan selepas orang ramai menonton filem saya, mereka boleh menguar uarkan kepada orang lain.


Cinema Online, 13 Oktober 2019