ENG | BM
Temubual
Aura Kasih akui takut pertama kali bertemu The Sacred Riana

Penulis: Ashraf Nasser

Aura Kasih akan kembali dengan filem sekuel "The Sacred Riana" yang akan ditayangkan pada 2020.
Aura Kasih akan kembali dengan filem sekuel "The Sacred Riana" yang akan
ditayangkan pada 2020.

Nama Aura Kasih bukanlah asing bagi peminat tempatan yang meminati filem Indonesia, kerana dia sebelum ini pernah membintangi beberapa filem yang ditayangkan di Malaysia.

Terbaru, Aura atau nama sebenarnya Shahiyani Febri Wiraatmadja bakal muncul dengan filem seram terbarunya berjudul "The Sacred Riana: Beginning" yang mana dia membawa watak sebagai Bu Klara.

Filem ini berkisarkan mengenai kehidupan The Sacred Riana yang merupakan pemenang "Asia's Got Talent" musim kedua dan juga akan menjawab segala persoalan tentang aksi-aksi ilusinya.

Selain Aura dan The Sacred Riana, filem ini turut dibintangi pelakon lain seperti Agatha Chelsea, Prabu Revolusi, Citra Prima, Alif Brooklyn dan ramai lagi.

Baru-baru ini ketika majlis pratonton tayangan "The Sacred Riana: Beginning" berlangsung di TGV 1 Utama, Cinema Online sempat menemubual Aura bagi berkongsi pengalamannya sepanjang menjayakan filem ini.

Jom ikuti temubual bersama Aura Kasih.


The Sacred Riana bersama penerbit dan barisan pelakon yang hadir ketika majlis pratonton
"The Sacred Riana: Beginning" di Malaysia.

Cinema Online: Mengapa anda bersetuju untuk terlibat dengan filem "The Sacred Riana: Beginning"?

 

Aura: Saya bersetuju untuk membintangi filem ini kerana tertarik dengan jalan cerita dan watak utamanya iaitu The Sacred Riana yang memang terkenal di seluruh dunia dengan imejnya yang menyeramkan selain tidak pernah berkomunikasi.

Boleh kongsi pengalaman anda berlakon dengan The Sacred Riana?

Pertama kali saya bertemu dengannya timbul rasa takut. Saya ada ucapkan 'hi' tetapi tidak dibalas dan ketika itu saya berasa pelik. Bagaimanapun, lama kelamaan saya sudah terbiasa dan sekiranya kami ingin berbincang, saya akan bercakap dengan pengurusnya kerana The Sacred Riana hanya akan berkomunikasi dengan pengurus sekiranya dia ingin sampaikan sesuatu.

 

 

Adakah sukar untuk anda berlakon dengan seseorang yang tidak berkomunikasi dengan anda?

Tidak, kerana dia (The Sacred Riana) bukan sahaja tidak bercakap dengan saya, tetapi juga dengan seluruh tenaga produksi termasuklah penerbit sendiri. Bagaimanapun, kami tidak berdepan masalah sepanjang penggambaran kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Tambahan pula watak saya tidak perlu saya terlalu 'terikat' dengan watak The Sacred Riana.

Adakah anda mengalami sebarang gangguan sepanjang penggambaran?

Alhamdulillah saya tidak berdepan dengan gangguan aneh sepanjang penggambaran. Tetapi lokasi rumah yang kami guna untuk penggambaran memang menyeramkan. Walaupun saya tidak diganggu, tetapi saya alami peristiwa pelik yang saya sendiri tak dapat nak gambarkan perasaan ketika itu. Apa yang pasti, tiba-tiba muncul satu perasaan bercampur antara kesedihan dan juga ketakutan.

Saya kemudiannya bertanya kepada beberapa orang yang mempunyai kelebihan untuk melihat mahkluk halus dan mereka berkata ada 'sesuatu' di sekitar lokasi penggambaran mereka. Saya percaya dengan kewujudan perkara ghaib, namun syukur tiada sebarang peristiwa atau kemunculan lembaga yang saya lihat. Ada rakan lain berdepan insiden menakutkan dan ada juga orang yang boleh melihat bercerita, namun tidak terlalu banyak yang dikongsikan kerana tidak mahu pelakon rasa panik.

Filem ini sudah pun ditayangkan di Indonesia pada bulan Mac lalu. Bagaimana sambutannya di sana?

Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup baik dan rata-rata tidak sabar menanti sekuelnya dihasilkan nanti.

Adakah ini bermaksud anda akan turut terlibat dengan sekuel?

Ya! Sebenarnya filem sekuel ini sudah pun siap penggambaran kerana kami lakukan sekaligus ketika penggambaran filem pertama. Jadi secara keseluruhan tempoh penggambaran dua filem itu berlangsung selama dua bulan. Filem sekuel ini dijangka akan menemui penonton pada tahun hadapan iaitu 2020.

Apakah harapan anda terhadap filem ini di Malaysia?

Saya berharap penonton di Malaysia dapat menerima filem ini dengan baik, sekaligus mendapat kutipan yang memberangsangkan.

Filem arahan Billy Christian yang dibintangi oleh Aura Kasih, The Sacred Riana, Agatha Chelsea, Prabu Revolusi dan ramai lagi ini akan menemui penonton di seluruh negara pada 12 Disember ini.


Cinema Online, 8 Disember 2019

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
Sekuel "The Sacred Riana: Beginning" temui penonton 2020
Selepas dapat respon positif dari penonton, penerbit sudah pun rancang untuk terbit sekuelnya.