ENG | BM
Temubual
Azizi Hj Adnan puas hati dengan "Hero: Jangan Bikin Panas"

Penulis: Ashraf Nasser


Pengarah Azizi Hj Adnan harap filem terbarunya dapat diterima penonton.

Setelah sekian lama menyepikan diri dari dunia seni tanah air, kini pengarah filem Azizi Hj Adnan atau lebih dikenali dengan nama Azizi 'Chunk' Adnan kembali ke layar perak menerusi filem terbarunya berjudul "Hero: Jangan Bikin Panas".

Filem terbaru ini merupakan filem ketiganya selepas "Antoofighter: Amukan Drakulat" (2007) dan "Kapoww!!"(2010).

"Hero: Jangan Bikin Panas" berkisarkan mengenai tiga orang sahabat iaitu Zaf, Amad dan Adam merupakan anggota bomba. Mereka berdepan dengan situasi getir apabila perlu berdepan dengan satu organisasi jahat yang telah merancang pembakaran pusat tahfiz demi merampas tanah itu secara haram untuk tujuan komersial.

Diterbitkan oleh NS Star Sdn Bhd, filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Tash Yong, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Baru-baru ini Cinema Online berpeluang untuk menemubual pengarah ini ketika dijemput ke tayangan perdana "Hero: Jangan Bikin Panas" yang berlangsung di mmCineplexes eCurve bagi berkongsi mengenai filem terbarunya.

Jom ikuti temubual bersama Azizi.


Pengarah Azizi Hj Adnan bersama penerbit Darling Ngasri dan barisan pelakon "Hero: Jangan Bikin Panas".

Cinema Online: Mengapa anda bersetuju untuk mengarah filem ini selepas hampir sedekad tidak muncul dengan sebarang filem?

Azizi: Pertama saya ingin jelaskan yang filem "Hero: Jangan Bikin Panas" bukanlah kesinambungan daripada drama popular di tv "Hero", sebaliknya ia sebuah naskhah yang berbeza. Apabila ditawarkan oleh penerbit Darling Ngasri untuk terlibat dalam filem ini, saya bersetuju kerana sudah lama tidak menghasilkan filem. Jalan cerita filem ini adalah hasil idea daripada saya dan Akbar Hashim yang mana kami cuba tampilkan kelainan dengan mengangkat mesej keagamaan, pengorbanan dan digarap dengan aksi serta disuntik dengan elemen komedi untuk menghidupkan lagi plot penceritaan bagi menjadikannya sebuah naskhah lengkap yang mampu menghiburkan penonton selain memberi pengajaran.

Mengapa anda mengetengahkan isu pusat tahfiz yang mengalami kebakaran?

Percaya atau tidak lebih 500 kes kebakaran berlaku di pusat-pusat tahfiz di seluruh negara dan kesemuanya berpunca daripada litar pintas. Secara logiknya adakah anda fikir masuk akal apabila semua pusat tahfiz yang terbakar itu berpunca daripada punca yang sama? Saya tidak mahu ulas lebih-lebih tapi rasanya anda sendiri boleh fikir. Oleh itu, saya cuba ketengahkan isu ini tetapi pada masa sama saya cuba berdakwah menerusi filem dengan menyuntik elemen komedi dan aksi supaya ia menjadi lebih menarik dan menghiburkan apabila ditonton.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang penggambaran?

Ini merupakan filem ketiga saya arahkan dan sudah pasti ia memberi cabaran tersendiri antaranya seperti bajet, set penggambaran, jalan cerita serta penelitian yang lebih mendalam. Selain daripada itu saya tidak berdepan cabaran lain sangat kerana barisan pelakon dan tenaga produksi memberikan komitmen yang cukup tinggi sepanjang penggambaran berlangsung.

Setelah filem ini siap dan anda sudah menontonnya, adakah anda berpuas hati?

Sejujurnya saya berasa sangat puas hati dengan hasil akhir filem ini. Kami berjaya hasilkan sebuah naskhah yang bukan sahaja memberi dakwah tetapi juga memberi pengajaran, komedi dan yang paling penting menghiburkan. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya pelakon kerana memberikan lakonan yang cukup mantap untuk memastikan apa yang saya mahu dapat diterjermahkan dengan baik dalam visual.

Apakah harapan anda terhadap filem ini?

Sebagai pengarah saya berharap filem ini dapat diterima baik oleh penonton dan berharap ia mampu mendapat kutipan positif supaya kami dapat terus menghasilkan karya-karya seperti ini. Apa pun kita tunggu dan lihat nanti.

Selepas ini apa projek terbaru anda?


Buat masa ini saya tiada projek terbaru lagi. Saya mahu fokus untuk filem "Hero: Jangan Bikin Panas" terlebih dahulu. Sekiranya saya ada projek terbaru saya akan maklumkan kemudian.

Filem "Hero: Jangan Bikin Panas" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 3 Oktober ini.


Cinema Online, 29 September 2019