ENG | BM
Temubual
"Dua Garis Biru" satukan Angga Yunanda dan Zara JKT48

Penulis: Nisa Irina

Angga Yunanda dan Zara JKT48 senang rapat selepas bertemu buat kali pertama.
Angga Yunanda dan Zara JKT48 senang rapat selepas bertemu buat kali pertama.

Selepas berjaya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di Indonesia, kini filem "Dua Garis Biru" arahan Gina S. Noer menemui penonton di Malaysia!

Filem yang mengangkat isu kehamilan luar nikah di usia muda ini turut menyelitkan unsur keagamaan, kekeluargaan dan persabatan serta padat dengan pelbagai mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada penonton.

Baru-baru ini, Cinema Online berpeluang untuk menonton filem ini pada malam gala tayangan perdana "Dua Garis Biru" yang diadakan di TGV 1 Utama, Petaling Jaya.

Turut hadir ialah pengarah filem serta dua tunggak utama filem ini, Angga Yunanda dan Zara JKT48, pelakon dan penyanyi remaja berasal dari Indonesia.

Menurut pengarah, Angga dan Zara merupakan pelakon remaja yang sedang meningkat naik di Indonesia dan mereka merupakan gandingan paling sesuai untuk menjayakan watak Bima dan Dara.

Jom ikuti temubual bersama Angga Yunanda dan Zara JKT48.


Pengarah Gina S. Noer, pelakon Angga Yunanda dan Zara JKT48 bersama pihak
Astro Shaw yang hadir ke malam gala tayangan perdana "Dua Garis Biru".

Cinema Online: Apakah penyebab utama anda menerima tawaran berlakon filem ini?

Angga: Saya menerima tawaran filem ini kerana jalan ceritanya berbeza dari biasa kerana di Indonesia, jarang untuk filem yang mengangkat tema mengenai isu kehamilan luar nikah. Masyarakat juga kurang bercakap mengenai isu ini. Jadi selepas mendapat tahu tentang tema filem, saya jadi tertarik kerana pada masa yang sama, ia memberi pengajaran kepada saya serta masyarakat.

Zara: Saya menerima tawaran filem ini kerana jalan ceritanya bagus dan boleh memberi pengajaran terutamanya kepada golongan muda. Tambahan pula, Gina yang mengarahkan filem ini jadi saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bekerja dengannya.

Bagaimana anda berdua membina keserasian antara sesama sendiri?

Angga: Pada mulanya agak susah untuk saya membina keserasian dengan Zara kerana ini merupakan projek pertama saya dengan dia. Sebelum ini juga saya kurang mengenalinya tetapi selepas bertemu buat kali pertama, kami mula serasi. Walaupun saya seorang yang pendiam, tetapi perwatakan Zara yang sentiasa ceria, bersemangat dan banyak cakap membuatkan saya selesa untuk bekerja dengannya.

Zara: Kami bertemu setiap hari di set penggambaran dan banyak meluangkan masa bersama ketika berlatih membaca skrip jadi dari situ kami cuba untuk saling mengenali antara satu sama lain. Perkara yang membuatkan kami berdua menjadi lebih rapat adalah kami berkongsi peribadi masing-masing untuk mendapatkan keserasian melakonkan watak sepasang kekasih dalam filem ini.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menjalankan penggambaran?

Angga: Cabaran yang saya hadapi adalah membawa watak Bima sendiri kerana dia banyak bermain dengan emosi jadi perkembangan karakternya juga berbeza. Jadi agak sukar juga untuk saya mendalami wataknya yang berfikiran matang kerana perwatakan kami berlainan. Saya pun masih muda jadi saya kurang memahami masalah orang yang sudah berumah tangga.

Zara: Apabila mendapat tahu saya akan membawa watak remaja yang hamil iaitu Dara, saya dah dapat merasakan cabarannya agak besar hingga saya rasa tidak yakin sama ada boleh menjayakannya atau tidak. Namun, saya banyak bertanya kepada Gina, membaca skrip dengan lebih kerap serta mempelajari postur-postur wanita mengandung. Jadi mudah untuk saya atasi segala cabaran.

Berapa lama tempoh yang anda ambil untuk membuat persiapan bagi mendalami watak masing-masing? Ada buat rujukan menerusi filem lain?

Angga: Kami mengambil masa selama sebulan untuk berlatih sambil mengenali perwatakan masing-masing. Penggambaran pula hanya mengambil masa 18 hari.

Zara: Untuk pengetahuan, saya tidak merujuk mana-mana filem kerana saya ingin mencipta watak Dara itu sendiri. Rujukan saya lebih kepada membaca skrip dan banyak berbincang dengan pengarah serta para pelakon yang lain.

Boleh kongsikan projek terbaru anda selepas ini?

Angga: Filem terbaru lakonan saya yang bakal ditayangkan di Indonesia adalah "Habibie & Ainun 3" pada bulan Disember ini. Filem itu juga akan ditayangkan di Malaysia. Selain itu, ada beberapa buah lagi projek lain yang masih dalam proses perbincangan dan akan diumumkan nanti.

Zara: Saya bakal membintangi sebuah filem seram buat pertama kali berjudul "Ratu Ilmu Hitam" yang ditulis oleh Joko Anwar. Penggambarannya sudah selesai dan kami akan memulakan promosi pada bulan Oktober.


Cinema Online, 6 Oktober 2019