ENG | BM
Temubual
Fazura dah bosan berlakon filem cinta tiga segi

Penulis: Nisa Irina


Nur Fazura bersikap selektif terhadap tawaran filem yang diterimanya pada masa akan datang.

Selepas hampir dua tahun kelibatnya tidak muncul di layar perak dan kaca televisyen, kini pelakon jelita Nur Fazura tampil membintangi filem seram terbaru arahan Glen Goei dan Gavin Yap berjudul "Dendam Pontianak" di mana dia digandingkan dengan Remy Ishak.

Jika sebelum ini Fazura dilihat membawa watak langsuir bernama Cik Lang dalam "Kami Histeria", kali ini dia akan tampil menggalas watak pontianak bernama Mina menerusi "Dendam Pontianak".

Menurut Fazura, dia tertarik dengan idea kedua-dua orang pengarah dari Malaysia dan Singapura itu untuk menghasilkan sebuah filem seram Melayu dengan konsep yang berbeza. Dia turut mengakui bersikap lebih selektif terhadap penerimaan tawaran berlakon dalam projek yang akan datang.

Baru-baru ini Cinema Online telah dijemput ke majlis sidang media filem "Dendam Pontianak" di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, penulis sempat menemubual Fazura yang juga merupakan peneraju utama telefilem tersebut.

Jom ikuti temubual bersama Nur Fazura.


Barisan pelakon utama filem "Dendam Pontianak" yang hadir di sidang media filem tersebut.

Cinema Online: Apa pendapat anda bekerja dengan pengarah berbangsa Cina yang ingin membikin filem seram Melayu?

Fazura: Saya sangat mengagumi Glen kerana dia memang nak menceritakan watak Pontianak dengan cara yang berbeza. Watak Pontianak dalam filem ini bukanlah seperti yang biasa ditonton dalam filem-filem seram sebelum ini. Apa yang istimewa dalam filem ini, Mina akan menceritakan sendiri apa yang berlaku pada dirinya dan itu yang menarik perhatian saya. Ketika Glen menawarkan watak yang mana saya ingin bawa sama ada isteri kepada Remy atau Pontianak, saya pilih Pontianak.

Adakah anda rasa sukar untuk jayakan watak Mina?

Sebenarnya tidak susah membawakan watak ini kerana saya memang suka watak wanita yang kuat seperti filem-filem yang saya lakonkan sebelum ini. Jika kita lihat sekarang, tidak banyak filem yang mengetengahkan kisah wanita yang kuat jadi tidak salah untuk mengangkat wanita sebagai hero. Mina seorang wanita yang kuat dan berusaha untuk mendapatkan semula haknya apabila janjinya tidak ditepati.

Untuk melakonkan watak ini, adakah anda ada mengambil mana-mana filem sebagai rujukan?

Saya tidak rujuk mana-mana filem kerana saya nak mulakan sesuatu yang baru. Saya mahu cipta sendiri watak Mina mengikut apa yang saya ingin tafsirkan serta berdasarkan butiran yang diberi oleh Glen.

Boleh anda ceritakan pengalaman misteri sepanjang penggambaran filem ini?

Kejadian berlaku ketika kami berehat untuk makan malam selepas menjalankan penggambaran di Hulu Langat. Pada waktu itu, seorang kru menyuruh saya melihat ke belakang, di mana terdapat seorang wanita berpakaian sama seperti saya, iaitu kebaya putih dan kain batik, di beranda sebuah rumah kosong yang ada di situ. Rambutnya panjang mengurai menutup muka dan 'dia' berdiri menghadap saya. Sepanjang penggambaran juga, ada kru yang mendengar bunyi tapak kaki 'dia' berjalan dalam semak.

Sebelum ini saya tidak mengalami sebarang gangguan ketika penggambaran "Kami Histeria". Mungkin 'dia' datang untuk melihat saya berlakon wataknya. Walaupun agak takut kerana ia adalah kali pertama saya melihat makhluk halus, tetapi Alhamdulillah perasaan itu tidak terbawa-bawa sampai ke rumah. Suami (Fattah Amin) juga ada berpesan supaya saya membaca ayat Kursi.

Boleh ceritakan pengalaman berlakon bersama Remy Ishak?


Satu sikap yang saya kagumi tentang Remy, dia akan meminta izin terlebih dahulu sebelum menyentuh saya untuk babak romantik. Saya terkejut kerana tidak semua pelakon lelaki berbuat demikian. Cara Remy itu membuatkan saya hormat kepadanya. Saya harap pelakon-pelakon lain boleh mencontohi sikap Remy.

Apakah perkembangan terbaru anda?

Setakat ini saya tiada terikat dengan apa-apa projek baru selepas filem "Dendam Pontianak" kerana saya masih menunggu skrip yang bagus. Seperti yang saya katakan, saya ingin berlakon filem yang mengetengahkan watak wanita kuat kerana saya dah bosan membawa watak wanita yang ditindas dan terlibat dengan cinta tiga segi. Itu bukan apa yang saya mahu lakukan kerana bagi saya, wanita sangat kuat.

Pada pendapat saya, tidak perlu untuk sering tampil di televisyen atau layar perak jika jalan cerita yang ditampilkan tiada kualiti. Saya masih menerima banyak tawaran berlakon tetapi belum bertemu skrip yang bagus seperti saya mahukan. Selain itu, saya ada juga menerima tawaran filem seram di Indonesia tetapi terpaksa menolaknya kerana ingin fokus dengan "Dendam Pontianak".

Beralih ke perkembangan muzik pula, saya sedang menghasilkan album kedua yang turut diselitkan dengan dua buah lagu Bahasa Inggeris yang kami rakamkan di Los Angeles. Saya juga ingin bekerjasama dengan beberapa orang komposer muzik dari Indonesia.

*Filem "Dendam Pontianak" turut dibintangi pelakon lain seperti Remy Ishak, Hisyam Hamid, Namron, Shenty Feliziana, Nadia Aqilah and Wan Hanafi Su. Ia akan menghantui penonton bermula 12 September dan 29 Ogos di Singapura.


Cinema Online, 2 September 2019