ENG | BM
Temubual
"Gundala" perkenalkan Abimana Aryasatya sebagai adiwira pertama Indonesia

Penulis: Nisa Irina


Ternyata Abimana Aryasatya seorang aktor yang versatil kerana mampu menggalas
pelbagai watak.

Negara jiran Indonesia mencipta sejarah dalam industri perfileman mereka dengan menerbitkan alam sinematik adiwira Bumilangit (BCU) yang bakal setanding dengan alam sinematik Marvel (MCU) dari Hollywood.

Sebagai permulaan, pembikin telah menayangkan filem pertama kepada alam sinematik itu yang diberi judul "Gundala". Diterajui aktor Abimana Aryasatya, Gundala merupakan karakter adiwira yang diangkat dari siri komik Bumilangit terbitan ‎Harya 'Hasmi‎' Suraminata‎.

Pernah dikenali dengan nama Robertino, aktor kacukan Sepanyol dan Indonesia ini telah membuat debut di layar perak pada 2005 menerusi filem "Missing" dan "12:00 am". Kini aktor itu telah membintangi lebih 30 buah filem termasuk "Shackled" 2012, "99 Cahaya Di Langit Eropa" 2013, "Haji Backpacker" 2014.


Bagi yang tidak tahu, Abimana juga melebarkan kariernya sebagai penerbit filem "Petualangan Menangkap Petir" dan "Sebelum Iblis Menjemput" yang ditayangkan pada 2018.

Abimana ditemui di majlis sidang media dan tayangan khas filem "Gundala" yang diadakan di panggung TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Abimana Aryasatya.


Abimana Aryasatya bersama pengarah Joko Anwar serta barisan pelakon utama
Bront Palarae, Ario Bayu dan Muzakki Ramdhan.

Cinema Online: Mengapa anda mengambil tempoh dua bulan sebelum menerima tawaran filem ini?

Abimana: Pada mulanya saya terpaksa menolak tawaran Joko, bukan kerana saya tidak percayakan dia tetapi kerana pada ketika itu saya sedang terlibat dengan projek lain dan jika dia ingin menawarkan ia kepada orang lain juga tiada masalah buat saya. Namun Joko tidak berputus asa begita sahaja. Selesai penggambaran, dia menghubungi saya semula dan akhirnya saya bersetuju dengan tawarannya.

Apakah mesej yang ingin disampaikan menerusi "Gundala"?

Semasa ditawarkan filem ini, saya bertanya kepada Joko, apa yang ingin kita sampaikan dalam "Gundala"? Kalau dilihat dalam filem memang banyak mesej yang ingin disampaikan tetapi yang paling penting adalah saat kita mengorbanankan diri untuk kepentingan orang lain. Itu yang paling penting.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang berlakon dalam filem ini?

Filem ini diangkat dari komik pada tahun 60-an dan filem "Gundala Putra Petir" pada 1981 jadi cabaran utama kami menjayakan satu karakter yang cukup dikenali sejak dahulu tetapi hasilnya perlu sesuai dan relevan dengan kehendak penonton yang hidup dalam generasi hari ini.

Satu lagi adalah cuaca yang panas menyebabkan saya kurang selesa ketika memakai kostum. Kostum itu telah dibuat di Los Angeles dan mereka belum terbiasa untuk membuat kostum untuk negara tropika. Jika di Hollywood mereka menjalankan penggambaran di studio dan menggunakan 'stuntman' tetapi di Indonesia, penggambaran dijalankan di kawasan terbuka dan saya harus melakonkan babak aksi sendiri jadi kostum saya sudah rosak beberapa kali.

Boleh kongsikan persiapan untuk filem ini?

Untuk membawa watak Sancaka dan Gundala, saya perlu banyak bersenam. Saya mengambil tempoh selama lapan bulan untuk berlatih membina badan supaya kelihatan tegap. Pada awalnya saya berjaya menurunkan berat sebanyak 8kg dan apabila masuk ke set berat saya susut lagi 2kg jadi jumlahnya sebanyak 10kg. Saya juga menjalani latihan 'weight lifting' selama dua jam sehari dan kardio termasuk 'basic parkour', larian dan latihan silat di bawah pengawasan Cecep Arif Rahman.

Anda ada mengalami sebarang kecederaan sepanjang melangsungkan penggambaran?

Saya tidak mengalami sebarang kecederaan kerana pihak produksi sangat berhati-hati dan menjaga para pelakon supaya tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini.

Anda ada meminati mana-mana watak adiwira?

Sejujurnya saya tidak pernah meminati mana-mana adiwira yang berkostum. Saya lebih meminati adiwira dalam dunia sebenar. Bagi saya tidak semestinya seseorang adiwira itu harus mempunyai kuasa. Watak adiwira yang kami buat biar kelihatan selogik yang mungkin supaya boleh dijadikan idola oleh kanak-kanak.

Apa harapan anda buat peminat di Malaysia untuk filem ini?

Satu peluang besar buat saya dan sesungguhnya saya berbesar hati kerana dapat hadir ke Kuala Lumpur untuk membawakan filem ini. Harapnya ia akan diterima baik oleh peminat filem di Malaysia. Saya berharap kerjasama antara industri filem Malaysia dan Indonesia akan diteruskan menjadi sebuah industri filem Nusantara sehingga ia berada di tahap antarabangsa.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Abimana Aryasatya, Bront Palarae dan Muzakki Ramdhan dalam filem adiwira "Gundala" di pawagam berhampiran anda yang sudah pun mula mula ditayangkan sejak 26 Disember!


Cinema Online, 28 Disember 2019

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
"Gundala" selit isu-isu relevan di sebalik kisah adiwira
Pengarah Indonesia Joko Anwar ingin menyampaikan mesej bermoral dalam filemnya.
Indonesia lancarkan alam sinematik adiwira, Bumilangit (BCU)
Pembikin filem Joko Anwar mendapat inspirasi daripada Marvel Cinematic Universe.
Bakat Bront Palarae semakin menyinar di Indonesia
Pelakon itu turut berasa teruja filem "Gundala" bakal ditayangkan di FFAT 2019.