ENG | BM
Temubual
Irwansyah cabar diri bawa watak ustaz

Penulis: Ashraf Nasser


Irwansyah akui watak yang dibawanya sangat mencabar.

Nama pelakon dan penyanyi dari Indonesia iaitu Irwansyah bukanlah asing lagi di Malaysia sejak lebih sedekad yang lalu menerusi lagu-lagu nyanyiannya yang menjadi kegilaan di tanah air ketika itu.

Selepas mencipta nama dalam dunia muzik, dia mula menceburkan diri dalam dunia lakonan dan filem sulungnya berjudul "Heart" di mana dia diberi peluang untuk menerajui filem romantik itu bersama Nirina Zubir dan Acha Septriasa.

Filem itu bukan sahaja menjadi fenomena di Indonesia, malah turut di Malaysia dengan lagu OST filem tersebut juga mendapat sambutan hangat.

Sejak itu, aktor berusia 34 tahun itu sudah membintangi lebih 10 buah filem, puluhan telefilem, sinetron dan sehingga kini masih lagi aktif berlakon.

Terbaru, Irwansyah bakal muncul dengan filem seram terbaru berjudul "Roh Fasik" arahan Ubay Fox yang turut dibintangi oleh isterinya Zaskia Sungkar dan pelakon lain Evan Sanders, Denira Wiraguna, Nagita Slavina dan ramai lagi.

Baru-baru ini, Cinema Online sempat menemubual aktor dan penyanyi ini ketika satu sidang media "Roh Fasik" berlangsung.

Jom ikuti temubual bersama Irwansyah.


Pengarah Ubay Fox bersama barisan pelakon "Roh Fasik" iaitu Denira Wiraguna,
Irwansyah dan Zaskia Sungkar.

Cinema Online: Apa yang membuatkan anda menerima tawaran untuk berlakon dalam filem "Roh Fasik"?

Irwansyah: Saya bersetuju untuk berlakon dalam filem ini kerana jalan cerita yang ditampilkan sangat berbeza dan rasanya belum pernah dihasilkan di Indonesia iaitu sebuah naskhah seram yang memasukkan elemen Islamik. Jika sebelum ini filem seram di Indonesia dilihat lebih memaparkan kehebatan jin dan syaitan, namun dalam filem ini ia memperlihatkan kehebatan kuasa Allah SWT dalam menumpaskan jin dan syaitan yang berniat jahat terhadap manusia. Selain daripada itu, watak yang ditawarkan kepada saya juga menjadi salah satu faktor mengapa saya bersetuju untuk terlibat dalam filem arahan Ubay Fox.

Apakah watak anda dalam filem ini sehinggakan anda teruja untuk membintanginya?

Dalam filem ini saya ditawarkan untuk membawa watak sebagai seorang ustaz yang mana ia watak yang belum pernah dibawa oleh saya selain watak tersebut cukup mencabar buat saya. Apa yang saya maksudkan mencabar adalah dalam filem ini saya perlu membaca ayat-ayat suci Al-Quran ketika cuba menumpaskan roh jahat dan ini benar-benar menguji kemampuan lakonan saya.

Ini kerana saya bukan sahaja perlu memberikan lakonan mantap sahaja, sebaliknya saya juga perlu memastikan setiap ayat-ayat yang dibaca adalah betul dan tidak salah sebutannya.

Adakah anda merujuk kepada ustaz-ustaz untuk memastikan bacaan anda lancar?

Ya! Saya rasa antara salah satu faktor saya dipilih untuk bawa watak ini adalah kerana penerbitnya iaitu Raffi Ahmad yang juga rakan baik saya mengetahui saya sering memuat naik video saya mengaji Al-Quran, oleh itu dia merasakan saya sesuai dengan watak itu. Walaubagaimanapun, saya tetap merujuk kepada ustaz lain bagi memastikan setiap bacaan ayat dalam filem ini tepat dan tidak salah.

Jika dilihat secara kasarnya, filem ini dilihat seperti filem seram dari Malaysia iaitu "Munafik & Munafik 2". Apa komen anda?

Saya tak nafikan ramai penonton yang berkata filem "Roh Fasik" ini adalah filem "Munafik" versi Indonesia, tetapi yang sebenarnya tidak. Pengarah Ubay Fox sudah lama mempunyai idea filem ini tetapi ketika itu tidak ada penerbit filem yang berani mengambil risiko untuk membuat filem seram yang mengetengahkan eleman agama. Jadi selepas kejayaan filem "Munafik" dan "Munafik 2" di Malaysia, barulah penerbit bersedia untuk terbit filem seperti ini.

Beberapa babak yang dikatakan sama seperti dari kedua-dua filem "Munafik" memang dilakukan oleh pengarah kerana mahu memberikan penghormatan kepada pengarah Syamsul Yusof. Ubay Fox sangat kagum dengan Syamsul dan dia mahu memberikan penghormatan kepada pengarah berbakat besar itu dengan mengambil beberapa babak dalam filem itu untuk dimasukkan ke dalam "Roh Fasik".

Filem ini sudah ditayangkan di Indonesia, jadi bagaimana sambutannya?

Alhamdulillah, sambutan penonton terhadap filem ini sangat positif dan rata-rata daripada mereka berharap filem seram seperti ini akan terus dihasilkan pada masa hadapan. Oleh itu, saya juga berharap filem ini akan mendapat sambutan yang positif apabila ia ditayangkan di Malaysia pula.

Jadi apa projek anda selepas ini?

Selepas selesai filem "Roh Fasik" saya akan memperlahankan kerjaya lakonan kerana mahu beri tumpuan kepada kerjaya nyanyian pula yang mana saya akan siapkan album terbaru saya yang mana saya akan umumkan dalam masa terdekat. Jadi buat masa ini saya mahu fokus terhadap album saya terlebih dahulu sebelum kembali berlakon.

"Roh Fasik" yang mula ditayangkan sejak 6 Jun lalu masih lagi ditayangkan di seluruh negara.


Cinema Online, 15 Jun 2019