ENG | BM
Temubual
Kabir Bhatia tonton MMA bagi persiapan "Sangkar"

Penulis: Nisa Irina


Kabir Bhatia harap filem "Sangkar" akan menerima sambutan
menggalakkan daripada penonton.

Pengarah, penerbit dan penulis terkenal dari Mumbai yang berpengkalan di Malaysia, Kabir Bhatia, dikenali dengan filem-filem hebat arahannya seperti "Pulang", "Bisik Pada Langit" dan "Nur Kasih The Movie".

Jika sebelum ini industri perfileman tempatan menyajikan penonton dengan filem bergenre komedi, romantik dan seram, kali ini Kabir tampil memberi kelainan dengan mengarahkan sebuah filem sukan yang mengetengahkan 'Mixed Martial Arts' (MMA) yang pertama di Malaysia berjudul "Sangkar".

Baru-baru ini, Cinema Online sempat menemubual Kabir pada malam gala tayangan perdana filem "Sangkar". Ia turut dihadiri barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah dan ramai lagi.

Seperti yang dikatakan oleh Kabir, bukan mudah untuk mengarah filem sukan sulungnya namun dengan bantuan daripada beberapa pihak, termasuk atlet-atlet MMA tempatan dan teknologi masa kini, akhirnya filem "Sangkar" berjaya diterbitkan.

Jom ikuti temubual bersama Kabir Bhatia.


Kabir Bhatia bersama barisan pelakon "Sangkar" yang hadir di malam gala
tayangan perdana filem "Sangkar" di eCurve Damansara.

Cinema Online: Apakah persiapan yang anda lakukan untuk mengarah filem?

Kabir: Apabila saya dihubungi untuk mengarah filem ini, saya perlu membuat penyelidikan sendiri bagi memahami apa yang membuatkan sesebuah filem bertemakan sukan itu berjaya. Melihat teknologi yang semakin berkembang, ia membuatkan saya berasa lebih bersedia dari segi mendapatkan maklumat bagi seorang pengarah.

Saya dan pihak produksi telah berkolaborasi dengan beberapa orang atlet MMA profesional termasuk James McSweeney yang memberi panduan dan tunjuk ajar kepada kami mengenai teknik-teknik sukan itu. Mereka juga ada membawa saya untuk menyaksikan satu perlawanan MMA yang sebenar buat kali pertama dan perlawanan pertama yang saya lihat adalah perlawanan wanita jadi dari situ saya mendapat inspirasi untuk babak permulaan filem ini.

Apakah perbezaan mengarah filem ini berbanding filem-filem anda yang lepas?

Filem ini bukan sahaja mengetengahkan sukan, malah hubungan persahabatan dan percintaan seperti mana yang saya lakukan sebelum ini supaya jalan ceritanya boleh diseimbangkan. Ia tidak hanya memfokuskan tentang apa yang berlaku dalam gelanggang tetapi juga apa yang berlaku di sebelah luar. Jadi sebab itu saya dipilih untuk mengarah. Apa yang saya cuba sampaikan dalam filem kali ini adalah kisah seorang lelaki yang cuba melawan sikap negatif dalam dirinya. Perasaan ketika pertama kali menyaksikan perlawanan MMA adalah sangat menakjubkan. Saya juga mendapat inspirasi dari jenis-jenis atlet MMA dan atlet seperti watak Remy yang lumpuh memang wujud di dunia luar.

Filem ini agak berbeza dari filem-filem anda sebelum ini yang mengetengahkan genre romantik. Adakah anda rasa filem ini akan pergi jauh?

Saya seorang pembikin filem yang akan mempelbagaikan genre dalam karya-karya filem saya. Saya bukan sahaja memberi fokus terhadap genre romantik tetapi saya juga pernah mengarah filem komedi, fantasi dan seram sebelum ini. Saya banyak belajar perkara baru sejak diberi peluang untuk mengarah filem ini. MMA adalah sukan yang menarik kerana ia menggabungkan tiga seni bela diri yang berbeza. Segala babak lawan yang ada dalam filem ini kami ikut sama seperti perlawanan MMA dan tiada satu pun yang kami reka sendiri. Filem romantik adalah periuk nasi saya tetapi filem sukan sebegini membantu saya meneroka lebih jauh. Jadi saya harap filem ini boleh pergi jauh dan diterima ramai.

Boleh ceritakan pengalaman anda bekerja dengan Zul Ariffin dan Remy Ishak?

Ia adalah pengalaman yang sangat menarik. Saya tidak pernah bekerja dengan Zul sebelum ini dan dia seorang yang kurang bercakap namun dia seorang yang bijak. Dia sentiasa mendengar dan faham apa yang saya sampaikan dan selebihnya dia akan sampaikan dengan cara tersendiri. Saya sudah beberapa kali bekerja dengan Remy jadi mudah bagi saya untuk berbincang dengannya.

Sebagai pelakon, mereka perlu fikirkan sendiri apa yang mereka ingin sampaikan dan bagi saya, mereka telah berjaya melakukannya. Ini adalah 'keindahan' bekerja dengan para pelakon yang sentiasa bersedia. Jadi kami berbincang apa yang perlu, dan mereka hanya menjalankan tugas mereka sebagai pelakon.

Memandangkan ini adalah filem sukan pertama anda, apakah yang anda harapkan daripada penonton di Malaysia?

Bagi saya, penonton di Malaysia adalah penggerak industri perfileman tempatan di mana mereka menerima sesebuah filem itu secara besar-besaran. Jadi saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap filem ini tetapi saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk pecah panggung kerana bagi saya, ia tidak menentukan kualiti sesuatu filem itu. Jika filem ini menerima sambutan yang menggalakkan, saya harap filem-filem bertemakan sukan akan lebih banyak dihasilkan pada masa akan datang.

Apakah perkembangan terbaru anda?

Buat masa ini saya tiada sebarang projek filem baru, mungkin saya perlu menunggu sehingga bulan Oktober jika ada apa-apa perkembangan. Saya kini terlibat dengan penggambaran sebuah dokumentari mengenai beras di China. Saya sedang menanti projek yang bagus dan tidak akan menerima terlalu banyak projek dalam satu masa kerana ia membantu saya untuk lebih fokus untuk menghasilkan suatu karya filem yang berkualiti.

*Filem "Sangkar" dibintangi pelakon seperti Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Ray Era, Nik Adam Mika dan Aman Graseka . Ia akan menggegarkan pawagam bermula 29 Ogos ini.


Cinema Online, 1 September 2019