ENG | BM
Temubual
Khalid Nadzri puas hati dengan hasil "Busut Bonang"

Penulis: Nisa Irina

Khalid Nadzri tak kisah bekerjasama dengan pelakon kurang komersial untuk filemnya.
Khalid Nadzri tak kisah bekerjasama dengan pelakon kurang komersial untuk filemnya.

Memandangkan filem bergenre seram dan komedi masih relevan dalam industri perfileman tempatan, pengarah dan penerbit Khalid Nadzri mengambil inisiatif untuk menghasilkan filem terbarunya "Busut Bonang".

Menurut Khalid, dalam pada dia berkarya, filem "Busut Bonang" turut memberi mesej serta pengajaran berguna buat para penonton di sebalik komedi yang menghiburkan.

Buat pengetahuan umum, sebelum ini Khalid bertindak sebagai pengarah kepada filem kontroversi "Coverina", yang diterajui oleh pelakon Pekin Ibrahim dan Siti Elizad sebagai watak utama.

Khalid ditemui di majlis sidang media malam gala tayangan perdana filem "Busut Bonang" yang diadakan di panggung mmCineplexes eCurve, Damansara, pada Selasa.

Jom ikuti temubual bersama Khalid Nadzri.


Khalid Nadzri bersama barisan pelakon utama filem "Busut Bonang", Aloy Paradoks,
Jasper Supayah dan Nadzmi Adhwa.

Cinema Online: Bagaimanakah idea untuk menghasilkan filem ini boleh tercetus?

Khalid: Idea untuk menghasilkan filem ini dicetuskan bersama penulis skrip Siti Jasmina Ibrahim, dan dibantu salah seorang pelakon utama iaitu Aloy Paradoks, yang akhirnya ia diolah menjadi sebuah cerita mengenai saka.

Selepas menerima judul filem daripada Jasmina, saya tertarik kerana ia akan membuatkan para penonton berfikir apakah maksud sebenarnya. Ramai yang menganggap ini filem Negeri Sembilan, tetapi sebenarnya bukan.

Bonang merupakan salah satu alat muzik yang dihimpunkan dalam gamelan. Jadi secara tak langsung, saya berkarya sambil memberi pengajaran kepada penonton. Selain menerapkan elemen hiburan, ia juga memberi sindiran sinis terhadap masyarakat yang masih lagi tebal dengan kepercayaan mistik.

Berapa lama tempoh untuk hasilkan skrip filem dan bagaimana proses pemilihan watak?

Kami tak mengambil masa yang lama, hanya dua bulan sahaja. Saya berasa senang hati kerana Jasmina dan Aloy sanggup bersengkang mata untuk sama-sama hasilkan filem ini. Dari segi pemilihan watak pula, saya melihat pada perwatakan pelakon itu sendiri. Saya kenal Nadzmi menerusi drama lakonannya dan saya lihat dia seorang yang berdisiplin. Jasper pula saya ambil menerusi uji bakat dan saya mula mengenalinya sedikit demi sedikit. Bagi pelakon lain pula saya mengenali mereka semasa kami sama-sama terlibat dengan kumpulan teater ASWARA.

Mengapa anda berani untuk mengambil barisan pelakon yang kurang komersial?

Tujuan saya menghasilkan filem adalah untuk berkarya dan pada masa yang sama saya cuba untuk memperbaiki lakonan mereka. Jika orang suka, Alhamdulillah, jika tidak, itu adalah kerana kekurangan saya. Kalau boleh, saya ingin yang lebih baik lagi untuk filem ini tetapi saya risau ia keterlaluan. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan hasil lakonan para pelakon.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang mengarah filem ini?

Cabaran utama untuk saya adalah untuk menerapkan dua elemen iaitu seram dan komedi. Bagi saya bukan mudah untuk menterjemahkan sebuah filem seram dengan menerapkan dua elemen berkenaan untuk membuatkan penonton ketawa. Bagaimanapun, lakonan yang ditampilkan barisan pelakon memang banyak membantu pembikinan filem ini berjalan dengan lancar.

Ada adegan-adegan yang dipotong?

Ada beberapa dialog yang dipotong tetapi ia tidak mengganggu jalan cerita filem.

Adakah anda ada meletakkan sasaran kutipan untuk filem ini?

Seperti mana para penerbit dan pengarah yang lain, sudah tentu saya mengharapkan yang terbaik untuk filem saya. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan, semuanya saya berserah kepada Tuhan. Tengok kepada rezeki saya macam mana, yang penting kami semua dah berusaha sehabis baik.

Boleh kongsikan projek terbaru anda selepas ini?

Buat masa ini saya tiada lagi projek terbaru. Saya ada juga rancangan untuk hasilkan filem-filem lain, tetapi jiwa saya lebih kepada komedi. Kami akan nantikan maklum balas bagi filem "Busut Bonang", dan jika ia mendapat sambutan yang tinggi, Insya-Allah akan ada yang lebih baik pada masa akan datang.

Jangan ketinggalan untuk menonton filem "Busut Bonang" di pawagam berhampiran anda yang sudah mula ditayangkan sejak 19 Disember lalu!


Cinema Online, 22 Disember 2019

Filem Berkaitan
Busut Bonang (Malay) (19 Dec 2019)
Coverina (Malay) (19 Feb 2015)
Pautan Berkaitan
"Busut Bonang" gabungkan unsur komedi dan misteri 'urban legend'
Filem komedi seram itu merupakan arahan kedua Khalid Nadzri.
Nadzmi Adhwa mahu jadi pelakon versatil
Pelakon dan pengacara itu tidak mahu lakonannya hanya terhad kepada genre komedi.
Along Eyzendy akui kecewa dengan industri seni
Pelakon itu berkata demikian apabila ada produksi menawarkan bayaran cukup rendah untuknya berlakon.