ENG | BM
Temubual
Nadiah Hamzah rasa puas berkarya untuk hasilkan "Motif"

Penulis: Nisa Irina


Nadiah Hamzah harap penonton boleh menerima kelainan yang dibawa dalam filem "Motif".

Pada Jun lalu, pengarah Nadiah Hamzah telah memenangi pingat gangsa bagi kategori Pesanan Khidmat Masyarakat di anugerah antarabangsa Cannes Lion 2019 di Perancis.

Kejayaan itu diraih berdasarkan video kempen yang dihasilkan bersama dua orang pengarah lain, Syed Madnuh dan Emir Ezwan, berjudul "Voice of the Children" yang mengangkat tema kepelbagaian kaum dan mesej anti-buli.

Jika sebelum ini sudah terbiasa mengarah iklan berdurasi 30 saat dan filem-filem pendek, kini Nadiah akui dia berdepan pelbagai cabaran ketika mengarahkan filem cereka berunsur thriller misteri yang pertama berjudul "Motif" yang dibintangi oleh Sharifah Amani dan Datuk Rosyam Nor.

Cinema Online berpeluang untuk menemubual Nadiah bagi berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan filem ini di majlis pelancaran runut bunyi "Motif" yang berlangsung di Red Box Plus, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Nadiah Hamzah.


Pengarah Nadiah Hamzah bersama penyanyi Sufian Suhaimi dan
Amira Othman serta pihak produksi filem "Motif".

Cinema Online: Bagaimana idea untuk menghasilkan filem ini boleh tercetus?

Nadiah: Kami mendapat idea untuk menerbitkan filem ini pada penghujung tahun 2014. Saya mendapat inspirasi daripada beberapa buah siri televisyen Scandinavia berunsur pembunuhan yang saya pernah tonton sebelum ini. Selain itu, penerbit kami mempunyai bapa saudara yang mempunyai perniagaan pakej perkahwinan di Songkhla, Thailand.

Jadi dari situ kami rasa filem berunsurkan 'murder mystery' ini akan lebih menarik untuk ditonton jika ia diselitkan dengan kisah poligami. Maka terhasillah filem "Motif" yang mengisahkan kehilangan seorang remaja bernama Anna, yang dibintangi oleh Sharifah Amani dan Datuk Rosyam Nor.

Mengapa anda memilih untuk menggandingkan Sharifah Amani dan Datuk Rosyam Nor?

Sebenarnya kami sudah beberapa kali bekerja dengan Amani sebelum ini. Dia pernah memberitahu yang dia teringin untuk berlakon dengan Datuk Rosyam. Jadi kami rasa ia bukan sahaja satu gandingan yang hebat dan serasi, malah ia merupakan sesuatu yang baru dalam industri perfileman tempatan kerana mereka tidak pernah berkongsi skrin sebelum ini.

Memandangkan ini adalah filem cereka pertama anda, boleh ceritakan mengenai kos dan proses pembikinan filem?

Kos untuk menghasilkan filem ini tidaklah terlalu tinggi, iaitu RM500,000. Idea untuk menerbitkan sebuah filem cereka ini sebenarnya sudah lama iaitu pada 2011 tetapi sesi penggambaran hanya dapat dijalankan pada 2017. Ia dijalankan dalam tempoh lebih kurang dua minggu, ditambah dengan beberapa hari tambahan kerana kekangan masa jadi secara keseluruhan adalah 18 hari penggambaran. Proses suntingan dan pos produksi pula mengambil tempoh dua tahun untuk disiapkan kerana kami ingin memastikan hasilnya berkualiti dan naskhah terbaik daripada kami.

Adakah anda berdepan cabaran sepanjang penggambaran dijalankan?

Seperti yang saya katakan tadi, kami berdepan kekangan masa kerana jadual kerja pelakon berbeza-beza jadi kami cuba untuk selesaikan penggambaran dalam masa dua minggu. Kami ada menerima bantuan daripada rakan-rakan kru kerana sudah biasa bekerja dengan mereka dan cuba berkarya di set penggambaran. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

Sebelum ini anda hanya mengarah filem pendek, jadi apa perbezaan antara mengarah filem ini dan filem pendek?

Sudah tentunya terdapat banyak perbezaan. Selain filem pendek, kami banyak hasilkan iklan, jadi penggambaran hanya dijalankan dalam masa sehari untuk sebuah iklan yang berdurasi 30 saat tetapi kali ini sebuah filem berdurasi 90 minit. Cabarannya sangat banyak kerana kami tidak biasa menjalankan penggambaran dalam tempoh yang agak lama. Namun begitu, kepuasan berkarya itu dapat saya rasakan kerana berpeluang menghasilkan sebuah filem cereka berbanding karya-karya sebelum ini.

Apakah harapan anda untuk filem ini? Ada sasaran pecah panggung?

Sebelum ini saya ada menerima tawaran untuk membuat filem tetapi bagi saya, jika sesuatu filem itu tidak datang dari idea sendiri, agak susah untuk menjiwai sebuah karya. Jadi kami tunggu masa yang sesuai untuk kami hasilkan sebuah filem cereka. Tidak dinafikan memang sasaran pecah panggung itu merupakan impian semua pembikin filem. Saya berasa agak gementar tetapi saya berharap penonton boleh menerima kelainan yang kami ingin bawa menerusi naskhah ini.


Cinema Online, 16 September 2019