ENG | BM
Temubual
Sharifah Amani cabar diri bawa watak polis dalam "Motif"

Penulis: Nisa Irina

Sharifah Amani ingin lebih ramai pengarah wanita di Malaysia.
Sharifah Amani ingin lebih ramai pengarah wanita di Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, kelibatnya semakin kurang dilihat dalam industri hiburan tempatan, namun pelakon kecil molek Sharifah Amani memberitahu bahawa dia masih aktif berkarya dalam pementasan teater dan filem-filem pendek.

Kali terakhir Amani, atau lebih mesra disapa Nani, tampil di layar perak adalah menerusi filem sekuel "Gol & Gincu Vol 2" yang ditayangkan pada tahun lalu.

Tahun ini, Nani dipilih untuk membintangi sebuah filem bergenre thriller misteri terbaru berjudul "Motif" yang diarahkan oleh Nadiah Hamzah.

Apa yang menarik dalam naskhah kali ini, Nani berpeluang untuk digandingkan dengan pelakon tersohor tanah air yang juga merupakan idolanya, Datuk Rosyam Nor.

Cinema Online telah berpeluang untuk menemubual Nani bagi berkongsi pengalamannya dalam menjayakan filem ini pada malam gala tayangan perdana filem "Motif" yang berlangsung di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Sharifah Amani.


Sharifah Amani dan Datuk Rosyam Nor adalah tunggak utama filem "Motif".

Cinema Online: Apakah penyebab utama anda menerima tawaran berlakon filem ini?

Nani: Sebelum ini saya tidak pernah membawa watak sebagai pegawai polis dalam mana-mana naskhah sama ada filem atau drama. Jadi ini merupakan peluang untuk saya cabar diri sendiri dengan membawa watak lain serta memperjuangkan ketabahan kaum wanita.

Boleh anda huraikan mengenai watak anda dalam filem ini?

Saya memegang watak sebagai Inspektor Dewi, seorang pegawai polis wanita dari bandar yang kuat dan sangat berdedikasi dalam segala apa yang dilakukannya. Dia ditugaskan untuk menyiasat kes kehilangan seorang remaja perempuan bernama Anna

Boleh anda kongsi pengalaman berlakon buat pertama kali dengan Datuk Rosyam Nor?

Kita semua mempunyai impian dan salah satu impian saya adalah untuk bekerja bersama Datuk Rosyam. Alhamdulillah, kami berpeluang untuk digandingkan bersama dalam naskhah ini. Saya sudah diberi peluang untuk berganding dengan ramai hero Malaya sebelum ini kecuali Datuk Rosyam. Jadi apabila ditawarkan untuk filem ini bersama Datuk Rosyam, saya rasa sangat berbesar hati untuk berkongsi skrin dengan salah seorang pelakon yang dianggap sebagai hero oleh ramai orang.

Bagaimana pula bekerja dengan seorang pengarah wanita seperti Nadiah Hamzah?

Saya sudah lama mengenali Nadiah dan dia sangat teruja untuk menghasilkan sebuah filem cereka selepas pulang dari New York. Alhamdulillah, kami banyak bekerjasama dalam filem-filem pendek dan telefilem. Dia seorang pengarah yang sangat berbakat dan teliti. Antara impian saya adalah untuk mempunyai ramai pengarah wanita di Malaysia kerana jika tiada orang untuk menceritakan kisah mengenai wanita sendiri, sampai bila-bila filem seperti ini tidak akan terjadi.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menjalankan penggambaran?

Cabaran yang saya hadapi adalah untuk melakonkan watak Inspektor Dewi itu sendiri kerana saya tidak pernah membawa watak yang begitu serius sebelum ini dan dia sangat berbeza dari pendirian saya. Dia mempunyai masalah yang berat dalam hidupnya dan ia sangat menguji mental, fizikal dan emosi saya untuk membawa watak itu setiap hari di set penggambaran.

Alhamdulillah, satu cara untuk saya atasi cabaran itu adalah dengan bantuan para pelakon yang lain seperti Datuk Rosyam dan Taqim. Walaupun babak kami banyak melibatkan pertengkaran dan perbalahan, namun mereka sangat berdedikasi serta memberi komitmen tinggi dalam kerja masing-masing dan sering berkongsi semangat untuk kami sama-sama jayakan filem ini.


Cinema Online, 5 Oktober 2019