ENG | BM
Temubual
Nizam Razak: Animasi "BoBoiBoy Movie 2" lebih berkualiti

Penulis: Ashraf Nasser


Nizam Razak harap filem kedua mampu atasi kejayaan filem pertama yang diriliskan pada 2015.

Bermula dengan siri animasi televisyen (TV), animasi terbitan Animonsta Studios berjudul "BoBoiBoy" telah berjaya mencetuskan fenomena bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Selepas kejayaan siri animasi TV, mereka mengorak langkah ke dunia layar perak pula menerusi filem sulung berjudul "BoBoiBoy The Movie" yang ditayangkan pada 2015 dan ia terus mencipta kejayaan besar.

Kini, selepas lebih tiga tahun sejak filem pertama ditayangkan, Animonsta akhirnya bakal muncul dengan filem sekuel terbaru yang diberi judul "BoBoiBoy Movie 2" yang akan menemui penonton pada 8 Ogos ini.

Kehangatan animasi ini sudah pun dapat dirasai sejak treler teaser diriliskan baru-baru ini telah berjaya mendapat 8 juta tontonan di YouTube.

Baru-baru ini ketika pelancaran filem "BoBoiBoy Movie 2" berlangsung di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya, Cinema Online sempat menemubual individu yang bertanggungjawab dalam mencipta, mengarah dan juga menyumbang suara dalam filem animasi ini iaitu Nizam Razak bagi berkongsi mengenai pembikinan filem animasi kedua mereka.

Jom ikuti temubual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios ini.


Nizam Razak bersama penerbit dari Astro Shaw, penyanyi lagu tema Faizal Tahir dan barisan
pelakon yang menjayakan "BoBoiBoy Movie 2".

Cinema Online: Mengapa selepas hampir empat tahun baru filem kedua "BoBoiBoy" dihasilkan?

Nizam: Selepas selesai filem pertama, kami memberi tumpuan untuk pembikinan siri televisyen iaitu "BoBoiBoy Galaxy" dan sepanjang tempoh itu ramai peminat tidak putus-putus bertanyakan mengenai sekuel filem ini yang mana akhirnya pihak kami ambil keputusan untuk menghasilkan "BoBoiBoy Movie 2".

Memandangkan filem pertama berjaya mendapat kutipan lebih RM18 juta, untuk filem kedua ini kami perlu memastikan ia lebih berkualiti dan hebat dari filem pertama. Seperti yang anda tahu, animasi BoBoiBoy ini banyak menerapkan nilai-nilai murni serta pengajaran yang bukan sahaja untuk tontonan kanak-kanak, tetapi juga kepada orang dewasa.

Berapa lama masa yang diambil oleh pihak Animonsta untuk menghasilkan filem kedua ini?

Sebelum memulakan pembikinan filem animasi "BoBoiBoy Movie 2" ini, saya bersama pasukan saya telah berbincang dan mengambil keputusan untuk cuba menghasilkan filem ini dalam tempoh 12 bulan sahaja. Ia merupakan satu cabaran bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada seluruh tenaga kerja Animonsta yang perlu bertungkus-lumus bagi memastikan filem animasi ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditentukan. Walaupun mempunyai tempoh yang singkat, tetapi apa yang saya boleh katakan adalah kami tidak berkompromi langsung mengenai kualiti animasi. Malah filem kedua ini menjanjikan animasi yang lebih hebat.

Perubahan apakah yang penonton dapat jangkakan untuk animasi terbaru ini?

Walaupun filem terbaru ini dihasilkan dalam tempoh yang singkat, namun apa yang saya boleh beri jaminan adalah kualiti animasi yang ditampilkan dalam "BoBoiBoy Movie 2" adalah lebih baik. Berbekalkan bajet yang lebih besar iaitu kira-kira RM7 juta, pengalaman dari menghasilkan filem pertama dan penggunaan teknologi terkini, kualiti animasi filem terbaru ini lebih 'smooth' dan lebih teliti. Antaranya teknologi rambut dan simulasi yang tidak dapat dihasilkan dalam filem pertama, kini dalam digunakan untuk filem terbaru ini.

Selain Malaysia, Brunei dan Singapura. Adakah filem "BoBoiBoy Movie 2" akan turut ditayangkan di negara lain?

Ya! Buat pertama kalinya filem tempatan iaitu filem "BoBoiBoy Movie 2" akan ditayangkan serentak lima buah negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Vietnam di 500 pawagam. Kami juga tidak akan berhenti di Asia Tenggara sahaja, seperti filem pertama yang berjaya mendapat tayangan di Korea Selatan, kami turut berhasrat mahu melancarkan filem "BoBoiBoy Movie 2" di Korea Selatan, Thailand, Filipina, India dan juga China.

Anda telah memilih Faizal Tahir untuk mencipta dan menyanyikan lagu tema "BoBoiBoy Movie 2". Mengapa Faizal Tahir?

Kami memilih penyanyi popular Faizal Tahir untuk menyanyikan lagu tema "BoBoiBoy Movie 2" iaitu "Fire & Water" kerana dia merupakan ikon belia yang mempunyai karisma, sesuai dengan imej BoBoiBoy. Lagu yang disampaikan juga sarat dengan mesej-mesej positif iaitu menekankan semangat percaya pada diri dan tidak mudah putus asa walau apa sahaja cabaran dan ujian yang dihadapi.

Kami mahu menanam sifa-sifat nilai murni menerusi filem ini kerana seorang adiwira yang mempunyai sifat positif, berani, tidak mudah putus asa dan menghormati orang lain merupakan 'role-model' yang baik untuk kanak-kanak zaman sekarang.

Apakah harapan anda terhadap filem terbaru anda?

Harapan saya sudah semestinya mahukan filem kedua ini lebih berjaya dari filem pertama. Bagaimanapun jika hendak tanya saya jumlah yang saya sasarkan, memang saya tidak ada tetapi saya harap ia dapat mengatasi jumlah kutipan filem pertama. Sekiranya filem ini cipta kejayaan besar ia akan memberi kami peluang untuk terus berkarya dalam menghasilkan animasi-animasi bertaraf antarabangsa.


Cinema Online, 6 Julai 2019