ENG | BM
Temubual
Opie Zami akui bukan mudah untuk arah "Warkah"

Penulis: Ashraf Nasser


Opie Zami bersyukur hasrat untuk bekerjasama dengan Namron akhirnya
tercapai juga menerusi filem "Warkah".

Percaya atau tidak majoriti pekerja makan gaji di Malaysia masih lagi tidak faham dan menyedari kelebihan serta keistimewaan yang ada pada setiap pencarum sekiranya kejadian tidak diingini berlaku kepada mereka.

Oleh itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial atau lebih dikenali sebagai PERKESO telah mengambil insiatif unik dengan menerbitkan sebuah filem yang diberi judul "Warkah" sebagai usaha khidmat masyarakat terbaru mereka selain melakukan di medium lain seperti radio, iklan tv, jelajah dan filem pendek.

Berkolaborasi dengan syarikat produksi Opy Global Pictures Sdn Bhd, filem yang menyentuh hati diarahkan oleh pengarah berbakat besari iaitu Opie Zami.

"Warkah" adalah sebuah naskhah yang diangkat dari kisah sebenar iaitu berdasarkan sepucuk surat oleh remaja kepada Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Bin Dato' Aziz Mohammed.

Menerusi surat itu, remaja itu telah meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan dan jasa baik PERKESO dalam membantu kehidupan keluargannya hingga dia berjaya memperoleh kejayaan dalam pelajarannya.

Filem yang sudah pun mula ditayangkan di pawagam pada 15 Ogos lalu ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Namron, Syazwan Zulkifli, Isyariana, Wafiy dan Rayyana Rayqa.

Baru-baru ini ketika majlis tayangan perdana ini berlangsung di mmCineplexes, eCurve, Cinema Online sempat menemubual pengarah Opie Zami bagi berkongsi pengalamannya dalam menggarap naskhah ini.


Pengarah Opie Zami bersama Dr. Azlan dan barisan pelakon "Warkah".

Cinema Online: Bagaimana anda menggarap filem "Warkah" ini memandangkan ia sebuah naskhah yang mempunyai jalan cerita yang 'simple'?

Opie: Walaupun jalan cerita yang ditampilkan nampak seperti 'simple', namun untuk menggarap naskhah ini bukanlah kerja saya seorang sahaja, sebaliknya adalah hasil kerjasama saya bersama dengan lapan orang lain termasuk orang dari PERKESO sendiri yang bertungkus-lumus dalam menghasilkan skrip untuk naskhah ini bagi memastikan ia menepati apa yang dimahukan. Apa yang paling utama adalah untuk memastikan setiap babak yang ditampilkan mempunyai kekuatan tersendiri yang mampu memberi impak kepada penonton.

Adakah skrip filem ini anda hasilkan sendiri atau bersama penulis skrip lain?

Ya, memang saya yang hasilkan skrip ini tetapi bukanlah saya seorang, sebaliknya ia bersama beberapa individu lain termasuk pihak PERKESO sendiri. Ini kerana saya tidak mahu hasilkan skrip 'syiok sendiri' oleh itu pandangan daripada setiap orang yang terlibat sangat penting dalam mengupas setiap babak yang ingin ditampilkan. Skrip ini bukan ada satu draft sahaja, tetapi ada lebih lima draft kerana kami mahu pastikan ia benar-benar bagus. Ia mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Bagaimana pula dengan pemilihan pelakon? Adakah anda orang yang bertanggungjawab dalam pemilihan pelakon yang anda mahu?

Saya sangat selesa bekerjasama dengan PERKESO kerana mereka memberi kebebasan dan kepercayaan untuk saya memilih pelakon manakah yang sesuai untuk setiap watak dalam filem ini.

Bagaimana anda berjaya dapatkan Namron untuk bintangi filem ini kerana kita sedia maklum yang Namron sangat selektif terhadap tawaran berlakon?

Saya sebenarnya seorang peminat Namron kerana sudah lama saya meminati lakonan dan filem arahannya. Saya sudah lama pasang impian untuk bekerjasama dengan Namron kerana saya 'dahagakan' ilmu dan percaya akan dapat banyak ilmu baru sekiranya bekerjasama dengan Namron. Alhamdulillah, Namron bersetuju untuk terlibat sama dalam filem ini.

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang penggambaran dan berapa lama penggambaran berlangsung?

Penggambaran filem ini berlangsung selama 25 hari. Sejujurnya penggambaran berlangsung dengan lancar sekali tanpa sebarang masalah besar. Tetapi cabaran bukan sahaja saya seorang yang menghadapinya sebaliknya seluruh pelakon, kru produksi dan mereka yang terlibat dengan penggambaran filem ini kerana kami perlu menahan lapar dan dahaga memandangkan penggambaran dilakukan pada bulan puasa. Bagaimanapun ia tidak menjejaskan langsung kualiti lakonan setiap pelakon.

Apakah harapan anda terhadap filem ini dan sasaran kutipan?

Sebenarnya pihak PERKESO tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kutipan filem ini walaupun modal yang dikeluarkan lebih RM1 juta untuk menghasilkan filem ini. Sebaliknya mereka mahu filem ini ditonton oleh semua orang kerana mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai fungsi sebenar PERKESO yang masih lagi ramai tidak tahu. Bagaimanapun, bagi pihak saya pula kami tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya berharap agar ia mendapat sambutan. Ini kerana sekiranya dapat sambutan ia akan membuka peluang kepada kami untuk terus berkarya.


Cinema Online, 23 Ogos 2019