ENG | BM
Temubual
Pengarah puas hati dengan "Ejen Ali The Movie"

Penulis: Ashraf Nasser

Usamah Zaid sasar 'Ejen Ali The Movie' kutip RM20 juta.
Usamah Zaid sasar "Ejen Ali The Movie" kutip RM20 juta.

Sejak memulakan tayangan pertama di Malaysia pada tahun 2016, siri animasi tempatan "Ejen Ali" ini telah berjaya mendapat lebih 2 juta penonon di TV3 dengan mempunyai lebih dari 1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube.

Animasi terbitan Wau Animation ini bukan sahaja 'jaguh kampung', tetapi juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila siri animasi ini disiarkan di lebih 50 buah negara termasuk di rangkaian Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV Indonesia dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Setelah lebih dua musim bersiaran, Wau Animation bersama Primeworks Studios akhirnya muncul dengan filem animasi pertama mereka yang diberi judul "Ejen Ali The Movie".

Ketika pelancaran dan sidang media filem "Ejen Ali The Movie" berlangsung di GSC Mid Valley, KL baru-baru ini, Cinema Online sempat menemubual pengarah berbakat besar ini bagi berkongsi pengalamannya menghasilkan filem animasi pertamanya.

Jom ikuti temubual bersama Usamah Zaid Yasin.

Cinema Online: Apakah perasaan anda apabila animasi pertama anda iaitu "Ejen Ali" akhirnya ke layar perak?

Usamah: Alhamdulillah saya berasa sangat bersyukur dan gembira apabila animasi pertama Wau Animation akhirnya diangkat ke layar perak selepas siri animasi ini bersiaran selama dua musim di stesen televisyen Media Prima. Kami sangat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh peminat tegar "Ejen Ali" yang sentiasa memberi semangat dan mendorong kami untuk mencapai penanda aras yang tinggi bagi filem ini. Kami juga berharap agar segala usaha serta keringat yang dicurahkan dalam penghasilan filem ini dapat menjangkaui harapan peminat.

Bilakah proses pembikinan filem animasi ini bermula? Dan berapa lama tempoh yang diambil untuk disiapkan?

Kami memulakan proses pembikinan filem animasi "Ejen Ali The Movie" ini pada awal tahun 2018 dan hanya siap sepenuhnya baru-baru ini sebelum perlancaran filem animasi ini dibuat.

Difahamkan hampir 100 tenaga kerja terlibat dalam pembikinan filem animasi pertama anda ini. Betulkah?

Ya, sebenarnya lebih 90 orang yang terlibat dalam pembikinan filem terbitan kami kali ini. Bagaimanapun bukan semua tenaga kerja dalam angka itu terlibat sebagai pereka grafik tetapi ia dibahagi kepada beberapa cabang lain. Kami menggunakan tenaga kerja yang ramai kerana mahu memastikan kualiti animasi dari siri televisyen dan filem berbeza yang mana kami mengutamakan kualiti yang lebih hebat untuk filem dan untuk merealisasikannya ia memerlukan ramai supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh yang tidak terlalu lama. Apa yang saya boleh katakan adalah kualiti animasi untuk "Ejen Ali The Movie" lebih baik dari segala aspek berbanding siri televisyen.

Adakah anda filem "Ejen Ali The Movie" diriliskan pada waktu yang tepat berikutan kejayaan dua filem animasi "Upin & Ipin" dan "BoBoiBoy"?

Saya rasa filem "Ejen Ali The Movie" ditayangkan pada tepat pada waktunya kerana tahun ini boleh dikatakan tahun yang cukup cemerlang buat industri animasi tempatan selepas kejayaan dua filem "Upin & Upin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2". Diharapkan sambutan positif terhadap filem animasi tempatan akan berterusan untuk filem "Ejen Ali The Movie".

Apakah cabaran untuk menghasilkan filem "Ejen Ali The Movie" ini?

Seperti yang anda tahu filem animasi "Ejen Ali The Movie" ini adalah untuk kanak-kanak dan untuk memasukkan semua dalam tempoh 90 minit agak sukar kerana kami perlu pastikan ia tidak bosan. Walaupun ia naskhah untuk kanak-kanak, tetapi orang dewasa juga tidak akan bosan menonton filem ini nanti. Oleh itu, proses untuk memilih 'bahan' apa yang ingin dimasukkan ke dalam filem ini perlu dilakukan dengan teliti supaya jalan cerita filem ini lancar.

Jadi apakah sasaran anda untuk filem pertama anda?

Memandangkan sambutan memberasangkan daripada penonton terhadap filem animasi tempatan, saya secara peribadi mengharapkan filem ini mampu mendapat kutipan sekitar RM20 juta memandangkan kos pembikinan filem ini menelan belanja sekitar RM6.5 juta.

Adakah filem kedua akan menyusul dalam masa terdekat?

Buat masa ini kami mahu fokus pada filem "Ejen Ali The Movie" terlebih dahulu kerana pihak Primeworks Studios mempunyai rangka promosi sepanjang bulan Disember sehingga Januari tahun depan bersama penaja yang mana kami akan melakukan siri jelajah di beberapa lokasi seperti di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Jadi kami mungkin akan fikirkan mengenai filem kedua selepas semuanya selesai.

*Filem "Ejen Ali The Movie" akan menemui penonton di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 28 November ini!


Cinema Online, 3 November 2019