ENG | BM
Temubual
Razaisyam Rashid teroka sisi gelap Nusantara menerusi "Sembilan"

Penulis: Nisa Irina

Razaisyam Rashid anggap naskhah 'Sembilan' lebih berat dari 'Pusaka'.
Razaisyam Rashid anggap naskhah "Sembilan" lebih berat dari "Pusaka".

Baru-baru ini melihatkan kejayaan filem seram penyiasatan "Pusaka" arahan kreatif Razaisyam Rashid, di mana kutipannya mencecah lebih RM12 juta serta menerima reaksi positif daripada para penonton.

Kini Razaisyam tampil menghasilkan sebuah drama bersiri seram thriller berjudul "Sembilan", eksklusif buat penggemar drama tempatan. Drama 10 episod ini merupakan hasil kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia yang membariskan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Atiqah Hasiholan dan pelakon cilik Bima Azriel.

Menurut Razaisyam, "Sembilan" disifatkan sebagai batu loncatan untuk produksi tempatan terus menghasilkan drama bersiri yang lebih hebat pada masa akan datang.

Buat pengetahuan umum, sebelum ini dia telah menggalas tanggungjawab selaku pengarah kepada naskhah seperti filem "CEO", telefilem "Gadis Kosmos, "Hamba Iblis" dan drama "Mandatori". Selain itu, dia turut bertindak sebagai penerbit eksekutif dan penyunting bagi filem aksi "Crossroads: One Two Jaga".

 

 

Razaisyam ditemui di majlis sidang media selepas tayangan khas episod pertama "Sembilan" yang diadakan di panggung MBO The Starling Mall, Petaling Jaya, pada Isnin.

Jom ikuti temubual bersama Razaisyam Rashid.

Cinema Online: Boleh anda kongsikan butiran mengenai drama ini?

Razaisyam: Keseluruhan jalan penceritaan drama ini adalah rekaan semata-mata. Saya ingin memfokuskan kisah Nusantara dan pertembungan sempadan dan budaya antara dua negara iaitu Sarawak, Malaysia dan Kalimantan, Indonesia. Sempadan Sarawak dan Kalimantan kurang diterokai oleh orang ramai. Saya cuba tunjukkan seolah sempadan itu tidak boleh dimasuki orang luar.

Pengalaman bekerjasama dengan pelakon-pelakon hebat tempatan dan Indonesia?

Ia merupakan satu pengalaman yang hebat bagi saya kerana mereka semua sangat profesional dan persembahan yang diberikan sangat bagus. Walaupun saya tak faham dialek yang dituturkan, tetapi dengan hanya melihat mimik muka, saya tahu mereka sangat menghayati watak masing-masing. Jadi saya tidak ada masalah bekerja dengan pelakon-pelakon utama.

Mengarah pelakon cilik seperti Bima Azriel pula adalah satu pengalaman baru kerana saya tidak pernah mengarah seorang pelakon yang boleh mendengar arahan dengan sempurna. Sepanjang penggambaran, saya tak rasa seperti sedang mengarah seorang kanak-kanak dan saya melayan dia seperti orang dewasa.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang mengarah drama ini?

Sejujurnya naskhah ini agak berat untuk saya arahkan berbanding filem "Pusaka". Saya rasa "Pusaka" macam tidak ada cabaran langsung, tetapi dengan "Sembilan", agak sukar kerana ia banyak menguji minda. Saya perlu mengkaji betul-betul skrip dan jalan cerita dan ia sesuatu yang boleh dikatakan mencabar kerana motif kami adalah untuk buktikan kepada penonton yang kami mampu hasilkan sesuatu yang baru. Lokasi juga membuatkan penggambaran lebih mencabar dan memenatkan. Terlibat dalam projek ini, saya rasakan seperti sedang menjalani penggambaran untuk lima buah filem.

Apakah perbezaan antara karya "Pusaka" dan "Sembilan"?

Kalau kita lihat konsep dan jalan cerita kedua-dua karya ini sangat berbeza. "Pusaka" lebih mengetengahkan aksi dan penyiasatan, sementara drama "Sembilan" pula penuh dengan pergolakan emosi. Jika penonton lebih berminat dengan genre aksi, maka mereka boleh tonton "Pusaka" dan jika ingin jalan cerita yang lebih tenang, mereka boleh dapat dalam "Sembilan".

Apa yang anda harapkan daripada penonton untuk drama ini?

Memandangkan kebanyakan penonton sering memperlekehkan drama tempatan dan sudah mula bosan dengan drama berunsur cinta, jadi saya cuba membawa sesuatu yang berbeza untuk ubah industri kita. Kami perlukan sokongan penonton untuk terus menerbitkan drama sebegini. Jika tiada sambutan, tiada guna untuk kami meneruskannya kerana kami menjalankan tanggungjawab mengikut kehendak penonton.

Jadi harapan saya adalah untuk orang ramai memberi sokongan penuh dan menonton "Sembilan" kerana jarang untuk produksi tempatan menghasilkan karya sebegini. Ia juga merupakan batu loncatan untuk produksi tempatan terus menghasilkan drama bersiri yang lebih hebat pada masa akan datang.

Boleh kongsikan projek terbaru anda selepas ini?

Buat masa ini kami dalam perancangan untuk merealisasikan penerbitan sekuel "Pusaka". Skrip untuk sekuel filem ini masih dalam proses dan penggambaran filem ini dijangka berlangsung pada tahun depan. Kos produksi untuk sekuel ini juga dijangka lebih tinggi berbanding filem yang pertama. Berkemungkinan barisan pelakon asal dikekalkan dan kami berusaha memastikan sekuel "Pusaka" lebih mantap serta mendebarkan berbanding produksi pertama.

(Sumber foto: Razaisyam Rashid Instagram)

Jangan ketinggalan untuk menonton drama seram "Sembilan" secara eksklusif menerusi saluran dan aplikasi Astro GO bermula 6 Disember ini.


Cinema Online, 7 Disember 2019

Filem Berkaitan
Pusaka (Malay) (31 Oct 2019)
One Two Jaga (Malay) (06 Sep 2018)
CEO (Malay) (12 Jun 2014)
Pautan Berkaitan
Razaisyam Rashid: "Sembilan" lebih berat dari "Pusaka"
Pengarah itu ingin tampil dengan kelainan menerusi drama bersiri seram terbarunya.
"Pusaka 2" akan direalisasikan tidak lama lagi
Perkara itu disahkan oleh pengarahnya selepas filem pertama berjaya raih kutipan pecah panggung.
Syafiq Kyle: Bukan mudah untuk berlakon dalam "Pusaka"
Pelakon itu turut mendedahkan cabaran sepanjang penggambaran filem.