ENG | BM
Temubual
Zahiril Adzim seronok ceburi bidang eSports

Penulis: Nisa Irina


Zahiril Adzim masih aktif berlakon walaupun memberi fokus terhadap eSports.

Pelakon Zahiril Adzim dilihat semakin aktif dalam menceburi bidang eSports di samping berlakon sejak akhir-akhir ini, di mana dia dikenali dengan nama Bobby San menerusi saluran YouTube miliknya.

Berikutan itu, dia berharap dengan pembabitannya dalam bidang tersebut, ramai anak-muda akan mengikut jejak langkahnya serta menjadikan eSports sebagai satu kerjaya memandangkan ia boleh menjana pendapatan yang tinggi.

Baru-baru ini, Cinema Online telah dijemput ke majlis pratonton serta sidang media filem "KRON" di mmCineplexes, eCurve Damansara, dan sempat menemu bual Zahiril yang juga merupakan peneraju utama filem tersebut.

Jom ikuti temubual bersama Zahiril Adzim.


Pelakon utama telefilem "KRON" yang hadir di sidang media selepas tayangan eksklusif telefilem itu.

Cinema Online: Mengapakah anda bersetuju untuk berlakon dalam filem ini?

Zahiril: Sebenarnya orang boleh 'rasuah' saya dengan barisan pelakon. Bila dapat tahu saya akan berlakon dengan Aman Graseka dalam filem eskplorasi yang menggunakan kesan CGI, saya rasa ia sesuatu yang menarik. Kalau diikutkan, filem ini memang berbeza dari filem-filem yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang berlakon dalam telefilem ini?

Sebenarnya saya tidak pernah berlakon dalam filem yang menggunakan CGI sebelum ini. Jadi saya perlu menggunakan imaginasi berserta emosi untuk menyesuaikan diri dengan benda-benda teknikal yang saya tak nampak. Pada mulanya ia agak sukar, tetapi lama kelamaan saya cuba juga untuk sesuaikan diri. Dalam masa yang sama juga, saya ingin menambah cabang dalam lakonan saya dan buktikan yang saya boleh berlakon dalam filem-filem CGI.

Beralih ke pembawaan watak, boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda?

Watak yang saya lakonkan adalah seorang ahli arkeologi bernama Sham di mana dia suka mengkaji mengenai sejarah. Dalam filem ini, Sham mempunyai objektif tersendiri iaitu untuk mengkaji mengenai bunga emas yang dikatakan diperbuat daripada emas. Sesiapa yang menjumpainya akan menjadi kaya. Itu apa yang ada dalam fikiran Sham tetapi tidak ditunjukkan dalam filem.

Namun, selepas bertemu Seri (Dayana Roza), dia mula jatuh hati dan terlupa akan objektifnya. Bagi saya, itu adalah contoh sifat manusia yang mudah lupa dan tamak. Saya rasa ia sesuatu yang boleh diceritakan serta memberi pengajaran kepada penonton.

Adakah anda ada mengambil mana-mana filem sebagai rujukan?

Saya mendapat inspirasi menerusi filem-filem pengembaraan seperti "Jumanji" dan "Night at the Museum". Pakaian saya juga berdasarkan filem "Jumanji". Kalau boleh, saya ingin generasi masa kini melihat sendiri filem-filem eksplorasi yang diterbitkan di Malaysia.

Jadi saya harap mereka boleh menerapkan nilai-nilai tempatan menerusi filem "KRON" ini. Saya harap produksi tempatan juga dapat memperbaiki serta meningkatkan lagi kualiti CGI yang sedia ada di Malaysia.

Apakah perkembangan terbaru anda?

Buat masa ini saya lebih memilih dalam lakonan kerana saya rasa saya tiada apa untuk dikejar cuma saya nak kekalkan nama dalam industri. Saya pun tidak terima semua tawaran serentak kerana ada tawaran yang tidak kena dengan saya, saya akan memberi peluang itu kepada orang yang lebih sesuai.

Sekarang saya aktif dalam bidang eSports dan 'streaming' kerana ia adalah hobi dan minat saya. Saya cuba untuk tunjukkan kepada orang ramai bahawa bermain permainan video bukanlah sesuatu yang membuang masa, malah boleh menjadi atlet eSports untuk mewakili Malaysia untuk Sukan SEA yang akan datang. Saya juga dah berkenalan dengan atlet-atlet eSports di Malaysia ini.

Sebenarnya ramai yang berbakat dalam bidang ini tetapi mereka tidak diberi pendedahan jadi mungkin dengan penglibatan saya ini, orang ramai lebih berkeinginan untuk mengambil tahu mengenai eSports dan membantu atlet-atlet eSports ini.

Bagaimanakah idea untuk menceburi bidang eSports ini boleh tercetus?

Saya mula bermain permainan video sejak zaman kanak-kanak lagi tetapi berhenti untuk memberi fokus terhadap bidang lakonan. Pada Januari lalu, saya cuba aktif kembali di mana saya bermain permainan video PUBG melalui telefon. Selepas itu, sampai satu tahap, saya rasa nak pergi lebih jauh dalam bidang ini. Saya telah membelanjakan sebanyak RM20,000 untuk memasang komputer serta alatan yang diperlukan untuk permainan video itu.

Isteri saya ada bertanya mengenai perkara ini dan saya sudah jelaskan kepadanya bahawa ramai orang sudah jadikan ia sebagai kerjaya. Pada saya, kalau kita betul-betul fokus dan berusaha dalam apa jua bidang sekalipun, kita boleh berjaya. Alhamdulillah, dia pun faham dan nasihatkan saya supaya tidak berhenti berlakon dan membahagi masa antara kedua-dua bidang ini.

Sejauh mana perkembangan anda dalam bidang eSports setakat ini?

Jika saya tidak berlakon, saya masih boleh jana pendapatan melalui 'gaming'. Dalam bidang ini ada tiga 'level' iaitu 'gamer', 'streamer' dan 'pro gamer'. Saya berada di level 'streamer' iaitu saya buat 'live-streaming' dan orang ramai boleh tengok. Saya rasa apa yang saya buat tidak lari dari kerjaya saya sebagai seorang penghibur. Kalau boleh, saya nak buka sebuah 'gaming house' atau tempat permainan video khas untuk anak-anak muda bermain permainan video. Pada masa yang sama, mereka juga dapat menjana pendapatan daripada sekadar bermain tanpa apa-apa faedah.

*Filem "KRON" turut dibintangi pelakon lain seperti Dayana Roza, Aman Graseka, Opie Zami dan Mamak Puteh. Ia akan ditayangkan di pawagam bermula 22 Ogos ini.


Cinema Online, 25 Ogos 2019