ENG | BM
Temubual
Zul Ariffin bersyukur ideanya untuk "Sangkar" direalisasikan

Penulis: Ashraf Nasser


Zul Ariffin dedah minta Remy Ishak tumbuknya betul-betul untuk satu babak pertarungan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini nama pelakon Zul Ariffin semakin melonjak naik dengan mendadak sekali apabila dia kini bukan lagi dikenali sebagai pelakon 'romantis', sebaliknya mula dikenali sebagai pelakon aksi terhebat tanah air.

Walaupun Zul sudah membintangi banyak filem sejak 2010, namun watak lakonannya tidaklah memberi impak besar kepada penonton sehinggalah dia muncul dalam filem "J Revolusi", dengan membawa watak sebagai Jay Zulkarnain pada tahun 2017 apabila dia membawa watak sebagai seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lakonan mantap Zul terutamanya dalam babak aksi nyata telah memberi impak kepada penonton. Pada tahun yang sama, dia juga muncul dengan sebuah lagi filem aksi, "Tombiruo: Penunggu Rimba", yang mana memperlihatkan dia sekali lagi mempertaruhkan kualiti lakonan aksinya.

Menariknya dalam filem tersebut Zul tidak 'jual' wajah kacaknya, kerana sepanjang filem itu dia memakai topeng sebagai Tombiruo.

Dek minat yang mendalam dalam filem padat dengan aksi, Zul bakal kembali di layar perak menerusi filem aksi terbarunya yang diberi judul "Sangkar". Ia sebuah naskhah tempatan pertama yang menampilkan sukan yang sedang popular di seluruh dunia ketika ini iaitu 'mixed martial arts' atau MMA.

Baru-baru ini ketika perlancaran filem "Sangkar" berlangsung, Cinema Online sempat menemubual Zul bagi berkongsi mengenai filem terbarunya itu.

Jom ikuti temubual bersama Zul Ariffin.


Tiga pelakon utama iaitu Zul Ariffin, Mira Filzah dan Remy Ishak.

Cinema Online: Difahamkan idea untuk filem "Sangkar" ini adalah daripada anda sendiri. Bagaimana idea itu boleh tercetus?

Zul: Ya betul! Idea asal filem ini datang daripada saya dan juga rakan saya iaitu Saiful Reza kerana melihat pada ketika ini sukan seni pertahan diri campuran a.k.a mixed martial arts (MMA) semakin berkembang di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia sendiri. Memandangkan kita belum mempunyai filem yang mengetengahkan mengenai sukan MMA, jadi saya rasa apa salahnya sekiranya filem seperti ini dihasilkan.

Adakah sukar untuk anda 'pitch' idea anda kepada penerbit?

Selepas saya dapat idea itu, saya telah bertemu dengan penerbit dari Infinitus Gold iaitu Gayatri Su-lin Pillai bagi membentangkan idea saya. Saya bersyukur kerana pihaknya bersetuju dan apa yang lebih mengujakan adalah filem ini diterbitkan oleh empat gergasi dalam dunia perfileman tanah air iaitu Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan mm2 Entertainment. Ini merupakan satu petanda positif buat industri yang mana ia akan menjadi pencetus kepada lebih banyak lagi rumah produksi di luar sana untuk berkolaborasi dalam menghasilkan filem. Pada masa sama, pelakon juga berpeluang untuk memberikan idea untuk dihasilkan sebagai filem.

Apakah persiapan yang anda buat untuk menjayakan watak sebagai atlet MMA dan cabaran sepanjang penggambaran?

Untuk filem ini saya sepatutnya menaikkan berat kepada 120 kilogram, tetapi disebabkan tidak mempunyai cukup masa untuk berbuat demikian, jadi saya hanya berjaya mencapai berat 93 kilogram sahaja. Saya juga menjalani latihan tinju di Thailand sebelum penggambaran bermula untuk menguasai teknik bertinju. Apa yang penting tubuh sahaja tampak okey dalam skrin. Untuk cabaran pula seperti yang anda tahu ini filem aksi, jadi sudah pasti tidak dapat mengelak dari berlaku kecederaan tetapi bukanlah serius, sebaliknya hanya kedua-dua lutut saya melecet kerana terlalu banyak berlaku pergeseran di lantai gelanggang.

Bagaimanapun anda jayakan babak pertarungan bagi memastikan babak itu kelihatan seperti 'real'?

Memang kebanyakkan babak aksi terutama babak pertarungan kami gunakan teknik kamera, tetapi ada juga beberapa babak yang kami lakukan secara betul-betul. Saya bagi contoh, saya minta Remy Ishak yang menjayakan watak Johan untuk benar-benar menumbuk muka saya. Saya kata kepada Remy daripada buat banyak kali babak itu, baik dia tumbuk saya betul-betul, barulah nampak 'real'. Begitu dengan babak pertarungan James 'Sledgehammer' Mcsweeney, saya turut membenarkan dia belasah betul-betul. Tapi tidaklah sama seperti dia bertarung dalam pertandingan.

Bagaimana pula pengalaman anda kembali bekerjasama dengan Remy Ishak selepas kali terakhir kira-kira sembilan tahun lalu?

Saya berasa sangat istimewa apabila dapat kembali bekerjasama dengannya selepas kali terakhir berlakon bersama menerusi filem "Evolusi KL Drift 2" pada tahun 2010. Ketika itu, Remy sudah popular sedangkan saya pula baru tiga bulan bergelar pelakon. Ia merupakan satu penghormatan buat saya dapat menerajui filem "Sangkar" bersama Remy.

Apakah harapan anda untuk filem "Sangkar"?

Saya berharap filem ini akan mendapat sambutan daripada penonton kerana ia bukan sahaja boleh ditonton untuk peminat sukan MMA, tetapi juga semua lapisan usia kerana filem ini bukan sahaja mengenai MMA tetapi turut diselitkan beberapa elemen lain seperti drama, kisah cinta dan persahabatan. Ia sebuah naskhah yang lengkap dengan semua kehendak penonton.

"Sangkar" (29 Ogos 2019) arahan Kabir Bhatia ini dibintangi oleh Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Adam Mika, Ray, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy The, Rashid Salleh serta beberapa atlet MMA iaitu Saiful Merican, Peter Davis, James 'Sledgehammer' Mcsweeney dan Jihin Radzuan.


Cinema Online, 6 Ogos 2019