ENG | BM
Temubual
Aprena Manrose rancang perlahankan kerjaya untuk 2020

Penulis: Nisa Irina


Aprena Manrose cabar diri berlakon jadi hantu walaupun akui dirinya penakut.

Rezeki demi rezeki jatuh bergolek kepada pelakon yang semakin mencipta nama, Aprena Manrose, apabila dia membuat debut di layar perak menerusi tiga buah filem terbaru yang ditayangkan pada tahun ini.

Sesudah filem "Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda" terbitan Datuk A. Aida ditayangkan baru-baru ini, kini Aprena muncul dengan filem komedi seram "Jodoh Syaitan" yang menggandingkannya dengan pelakon Soffi Jikan.

Menerusi filem arahan Ismail Bob Hashim itu, Aprena diangkat sebagai watak utama, seorang gadis jelita bernama Mawar yang juga Pontianak.


Dalam pada itu, pemilik nama Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman itu turut memberitahu dia ingin memperlahankan kariernya demi memfokuskan untuk menimang cahaya mata selepas empat tahun berkahwin.

Cinema Online sempat menemu bual Aprena yang hadir memeriahkan malam gala tayangan perdana filem "Jodoh Syaitan" bersama pengarah dan barisan pelakon di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Aprena Manrose.


Barisan pelakon utama "Jodoh Syaitan" yang hadir memeriahkan majlis pelancaran filem tersebut.

Cinema Online: Apakah perasaan menerima tawaran membintangi filem komedi seram sebagai filem pertama?

Aprena: Pada mulanya memang keberatan untuk menerima tawaran ini sebab saya memang tiada asas lakonan untuk filem. Saya bimbang saya tak mampu menjayakannya sampai saya mahu undur diri. Namun arwah Abang Asey banyak memberi keyakinan kepada saya. Arwah memilih saya tanpa perlu menghadiri uji bakat. Tanpa arwah, saya tak akan terbabit dalam filem ini dan saya rasa terkilan sebab tak sempat untuk berterima kasih kepada arwah.

Pada masa yang sama, saya ada juga menerima tawaran drama tetapi saya fikir kalau saya terima tawaran itu, saya akan terus membintangi drama. Jadi ini peluang saya untuk mencuba benda baru. Alhamdulillah, saya anggap ini satu rezeki sebagai pelakon baru.

Cabaran yang anda hadapi sepanjang membintangi filem ini?

Sejujurnya saya seorang yang penakut, lebih-lebih lagi dalam keadaan gelap. Dalam babak terakhir, saya sangat takut kerana terpaksa duduk jauh dari pelakon-pelakon lain pada waktu malam. Selain itu, untuk menjayakan watak Pontianak memerlukan saya memanjat pokok dan perkara itu menjadi cabaran buat saya sebab saya bukan seorang yang lasak. Abang Bob agak risau tetapi saya cakap tak apa, saya nak buat dan saya kena lawan rasa takut itu. Lagi satu cabaran adalah di mana saya perlu bersolek selama dua jam untuk watak Pontianak.

Adakah anda berpuas hati dengan lakonan anda dalam filem ini?

Sebagai seorang pelakon, akan ada satu perasaan yang anda tak akan pernah puas. Perasaan macam saya boleh buat lebih baik. Walau bagaimanapun, saya hanya ikut apa yang pengarah mahu. Alhamdulillah, saya dah lakukan sehabis baik dan saya berpuas hati dengan hasil kerja saya dalam filem ini.

Pengalaman berlakon bersama Soffi Jikan dan arwah Abam Bocey?

Abang Soffi adalah seorang pelakon yang sangat kreatif. Apabila sesebuah babak yang kami lakukan itu tak jadi, dia ingin olah balik mengikut ideanya. Watak kami berlawanan, dia lebih pada komedi dan saya lebih kepada seram. Jadi agak mencabar untuk berlakon dengan dia sebab terpaksa tahan ketawa dengan dialog-dialog dia yang spontan.

Arwah Abam pula seorang yang sangat baik. Pada awal penggambaran, saya sedang berehat dan makan sementara tunggu babak saya. Tiba-tiba arwah datang dan ambil gambar bersama saya kemudian dia terus muat naik gambar itu di Instagramnya. Ikutkan kami baru sahaja kenal tetapi dia sangat merendah diri. Dari situ kami mula rapat. Pemergian dia sangat mengejutkan saya.

Ada rujuk mana-mana filem untuk watak anda?

Filem seram kalau diikutkan semua lebih kurang sama sahaja. Kandungan dan jalan ceritanya semua sama. Kebanyakan filem yang saya rujuk berbentuk komedi seram seperti "Nang Nak" dan "Pee Mak".

Boleh kongsikan projek selepas ini?

Sebenarnya azam saya untuk 2020 ini adalah memperlahankan kerjaya sebab usia perkahwinan saya sudah mencecah empat tahun. Apa yang saya nak semua sudah tercapai jadi sudah tiba masanya saya fokus untuk ada anak pula. Saya dan suami sudah lakukan pemeriksaan kesuburan dan masih menunggu keputusan.

Alhamdulillah, saya gembira kerana tahun ini terdapat tiga buah filem yang saya bintangi akan ditayangkan. Selain "Jodoh Syaitan", ada filem "Ratu Kala Jengking" dan juga "Bulan & Pria Terhebat" yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Selain itu, saya bakal terlibat dengan penggambaran bagi sebuah drama bersiri 26 episod yang akan ditayangkan menerusi saluran RTM berjudul "Kalung" dan pada April drama bersiri "Whatsapp Dari Jordan" akan mula disiarkan menerusi saluran TV Okey.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem "Jodoh Syaitan" yang kini ditayangkan di pawagam berhampiran anda sejak 5 Mac!


Cinema Online, 8 Mac 2020

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
Pengarah terkilan arwah Abam Bocey tak sempat tonton "Jodoh Syaitan"
Filem komedi seram itu merupakan filem pertama terbitan Da Motion Media.
Aprena teruja dapat bintangi "Jodoh Syaitan"
Pelakon baru ini gembira apabila impian untuk bawa watak hantu tercapai.
Aprena dedah ditipu pengarah sebuah filem
Pelakon itu berkata dia tidak mendapat sebarang bayaran walaupun penggambaran sudah 70 peratus.