ENG | BM
Temubual
Emir Ezwan ingin teroka genre sains fiksyen pula

Penulis: Nisa Irina

Emir Ezwan rancang bawa "Roh" ke persada antarabangsa.
Emir Ezwan rancang bawa "Roh" ke persada antarabangsa.

Setelah sekian lama sering dilihat mengarah iklan, filem pendek dan video muzik sahaja, kini pengarah Emir Ezwan akhirnya mendapat peluang untuk mengarah filem cereka pula iaitu "Roh" terbitan Kuman Pictures.

Menurut pengasas dan penerbit eksekutif Kuman Pictures Amir Muhammad, dia memberi sepenuh kepercayaan dan kebebasan kepada Emir untuk mencurahkan idea kreatif kepada jalan cerita filem ini.

Sedikit maklumat mengenai Emir, dia merupakan seorang pakar kesan visual Malaysia yang pernah bertindak sebagai penyelia kesan visual filem "Crossroads: One Two Jaga" (2018) dan "Motif" (2020).

Emir juga bertindak sebagai pengarah filem pendek "RM10" (2016) yang dipilih untuk bertanding di Festival Filem Antarabangsa Fribourg.

Filem "Roh" hanya dibintangi enam pelakon iaitu Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron dan isteri June Lojong, serta Putri Syahadah Nurqaseh.

Pada asalnya, "Roh" telah dijadualkan untuk ditayang di pawagam pada 19 Mac ini. Walau bagaimanapun, pihak produksi terpaksa menunda tarikh tayangan ke suatu tarikh baru berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan akibat penularan wabak COVID-19.

Cinema Online sempat menemu bual Emir yang hadir ke tayangan khas dan majlis sidang media filem "Roh" di TGV 1 Utama, Petaling Jaya.

Jom ikuti temubual bersama Emir Ezwan.

Cinema Online: Bagaimana idea filem ini boleh timbul?

Emir: Idea filem ini timbul apabila Kuman Pictures ingin menghasilkan sebuah filem seram yang ada kelainan. Filem seram tidak semestinya memerlukan banyak 'jump scare' dan kelibat hantu. Saya mendapat inspirasi menerusi filem klasik Jepun "Onibaba" (1964), sebuah filem seram tetapi tidak mempunyai banyak hantu di dalamnya. Pada asalnya saya ingin menghasilkan "Roh" dalam hitam putih tetapi bimbang ia kurang mendapat sambutan.

Apakah mesej yang anda cuba bawa dalam filem ini?

Saya rasa filem ini lebih kepada persoalan daripada mesej. Mesejnya bergantung kepada individu, apa yang mereka dapat selepas menonton filem ini. Perkara utama yang ingin disampaikan dalam filem ini adalah mengenai penipuan, bagaimana perasaan penonton apabila melihat keluarga dalam filem ini dipermainkan.

Mungkin sebab itu ada sesetengah yang menganggap filem ini terlalu berat. Setiap perkara ada mesej tersirat, sama seperti filem ini. Saya tidak kisah jika ada penonton yang tidak faham, saya menerima sahaja persepsi penonton yang berbeza-beza.

Mengapa memilih untuk mengetengahkan 'period horror'?

Filem ini berlatar masa kurun antara ke-18 dan ke-19. Ia cuma salah satu kelainan yang kami cuba bawakan. Jika kita lihat di luar sana dah banyak filem-filem 'period horror' telah dihasilkan, cuma di Malaysia sahaja kurang.

Apa persiapan yang anda lakukan untuk mengarah filem ini?

Penglibatan saya bermula dari proses penulisan skrip. Memandangkan ini filem cereka pertama arahan saya, saya perlu melakukan banyak penyelidikan seperti membaca buku dan menonton filem-filem seram. Menerusi "Roh", saya ingin menghasilkan sebuah cerita yang membuatkan penonton berfikir.

Cabaran yang anda hadapi untuk mengarah pelakon kanak-kanak dalam filem ini?

Alhamdulillah, tiada masalah yang saya hadapi sepanjang penggambaran kerana mereka memahami jalan cerita menerusi skrip. Dialog pun tidak banyak, jadi ia mudah bagi saya dan mudah bagi mereka.

Boleh jelaskan mengapa babak ngeri itu diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF)?

Mungkin 'camera angle' yang membuatkan babak ngeri itu seperti nampak tak nampak. Mungkin sebab itu babak tersebut tidak ditapis. Alhamdulillah, LPF meluluskannya tanpa potongan dan mengklasifikasikan ia sebagai PG13.

Ada perancangan untuk menghasilkan sekuel filem ini?

Semuanya bergantung kepada Kuman Pictures. Kami juga ada merancang untuk membawa filem ini ke peringkat antarabangsa, seperti tahun lalu filem ini telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Singapura dan Festival Filem Asia Jogja-NETPAC.

Boleh kongsikan projek selepas ini?

Buat masa ini saya tiada projek baru kerana saya perlu fokuskan kerja-kerja lain. Saya hanya mengarah filem cereka jika ada kelapangan. Ikut perancangan, kemungkinan saya ingin teroka genre-genre lain di luar sana. Mungkin selepas ini saya akan hasilkan filem sains fiksyen.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem "Roh" yang bakal ditayangkan di pawagam berhampiran anda tidak lama lagi!


Cinema Online, 24 Mac 2020

Pautan Berkaitan
Filem "Roh" terpaksa tunda tayangan ke tarikh baru
Sebuah lagi filem tempatan yang terpaksa ditunda akibat penularan wabak COVID-19.
Kuman Pictures bawa kelainan dalam filem "Roh"
Filem seram cereka ketiga Kuman Pictures itu merupakan arahan debut Emir Ezwan.
Mhia Farhana nekad sambung legasi bapa
Pelakon remaja itu tampil membintangi filem pertamanya berjudul "Roh".