ENG | BM
Temubual
Ghaz Abu Bakar rancang hasilkan trilogi "Bulan & Pria Terhebat"

Penulis: Nisa Irina


Ghaz Abu Bakar letak sasaran kutipan pecah panggung untuk filem ini.

Setelah lama mendiamkan diri dari dunia perfileman, pengarah kreatif Ghaz Abu Bakar kembali dengan sebuah filem aksi komedi berjudul "Bulan & Pria Terhebat" dengan kerjasama Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions Sdn Bhd.

Kali ini Ghaz berani membawa kelainan dalam filemnya dengan mempertaruhkan pelakon wanita iaitu Zahirah Macwilson sebagai peneraju utama yang digandingkan bersama pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak.

Ghaz atau nama sebenarnya Mohd Ghazali Abu Bakar, terkenal dengan mengarah filem-filem aksi seperti "Polis EVO", "Cicakman 3" (arahan bersama Yusry Abd Halim), "Tokan" dan "Hantu Kapcai".


Menurut Ghaz, dia berasa bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah besar sepanjang mengarah filem "Bulan & Pria Terhebat" memandangkan kesemua pelakon yang terlibat memberikan sepenuh komitmen kepadanya.

Antara barisan pelakon hebat yang turut menjayakan filem ini ialah Bell Ngasri, Alif Hadi, Khir Rahman, Maya Karin, Mimi Ernida, Sein Qudsi, Aprena Manrose dan Didie Alias.

Cinema Online sempat menemu bual Ghaz yang hadir memeriahkan majlis pelancaran filem "Bulan & Pria Terhebat" di Nicsmann 1940s By Lewré The Starling, Petaling Jaya.

Jom ikuti temubual bersama Ghaz Abu Bakar.


Barisan pelakon utama "Bulan & Pria Terhebat" yang hadir memeriahkan
majlis pelancaran filem tersebut.

Cinema Online: Apakah kelainan yang anda cuba bawa dalam filem ini?

Ghaz: Seperti yang dilihat, saya cuba ketengahkan watak wanita iaitu Bulan sebagai peneraju utama filem ini. Walau bagaimanapun, saya cuba sehabis baik untuk mengimbangkan setiap watak yang ada. Mereka bukan sekadar watak sampingan untuk mencantikkan jalan cerita. Setiap watak mempunyai keistimewaan sendiri. Saya ingin mencipta watak yang akan diingati para penonton dalam sejarah perfileman tempatan. Ia sesuatu perkara yang sukar untuk mengembangkan setiap watak dalam tempoh satu jam 15 minit.

Mengapa memilih untuk mengetengahkan bahasa Indonesia? Adakah anda merancang untuk memasarkannya ke sana?

Ketika saya menulis skrip, saya fikir latar belakang watak Bulan. Kalau dia warga Malaysia, jalan cerita tidak dapat dikembangkan. Jadi perjalanan dia dari Indonesia diseludup masuk ke Malaysia membuatkan jalan cerita filem lebih menarik. Lagi satu saya pentingkan penggunaan bahasa. Kalau saya buat dari Thailand, jadi isu bahasa pula. Saya fikir paling terbaik adalah bahasa Indonesia sebab bahasa kita pun tidak jauh beza. Sejujurnya saya tidak merancang untuk memasarkan filem ini ke Indonesia tetapi sekiranya filem ini dipasarkan ke Indonesia dan orang di sana suka filem ini, saya anggap ia satu bonus.

Cabaran yang anda hadapi sepanjang mengarah filem ini?

Mengarah pelakon yang kebanyakannya tidak mempunyai latar belakang filem aksi agak sukar jadi sebab itu kami melakukan persiapan yang lama sebelum memulakan penggambaran seperti latihan penggunaan senjata, seni bela diri dan kelas bahasa. Saya sangat mengagumi komitmen yang diberikan oleh Zahirah dan pelakon-pelakon lain. Cuaca pula mengizinkan walaupun kami jalankan penggambaran pada musim monsun. Alhamdulillah, cabaran itu kurang dan semuanya berjalan dengan lancar sebab saya banyak belajar dari kekurangan ketika mengarah "Polis EVO".

Boleh kongsikan tentang pemilihan watak?

Ketika saya menulis skrip, semua pelakon dah ada dalam fikiran saya kecuali Maya Karin. Pada mulanya terdetik untuk tawarkan watak Bulan kepada Luna Maya dan Zahirah pula akan jadi adiknya tetapi pada ketika itu jadual Luna agak padat, jadi saya terpaksa olah semula skrip. Kemudian saya berbincang dengan Nik Iruwan (penerbit eksekutif), cadangkan supaya memilih pelakon tempatan dan cuba benda baru untuk mereka belajar Bahasa Indonesia.

Selain itu, saya selesa bekerja dengan Zizan kerana kami mempunyai keserasian yang kuat. Dia pun seronok bekerja dengan saya dan saya tahu permainan dia. Jadi saya minta dia ubah sedikit gaya lakonannya sebelum mula penggambaran dan selebihnya bergantung pada dia tetapi masih di bawah pengawasan saya.

Untuk watak Toni, asalnya saya ingin tawarkan kepada Ashraf Sinclair tetapi pada ketika itu jadual Ashraf juga agak padat. Memandangkan pada ketika itu nama Maya naik kerana "Munafik 2", jadi saya pilih dia dan Maya ingin dikreditkan sebagai penampilan khas sahaja. Alhamdulillah, walaupun dia dipilih pada saat akhir, Maya tetap memberi komitmen tinggi kerana dia sukakan filem ini.

Saya pilih Khir Rahman pula sebab kami berkawan dan pernah bekerjasama dalam telefilem. Dia seorang pelakon yang berkarisma dan sangat berbakat. Dalam filem ini, walaupun dia bawa watak antagonis tetapi saya yakin penonton akan menyukai wataknya.

Ada perancangan untuk menghasilkan sekuel filem ini?

Sebenarnya saya ingin menghasilkan trilogi, di mana Bulan akan cuba menghapuskan semua sindiket perdagangan manusia di Malaysia, kemudian ke Thailand dan diakhirkan di Vietnam. Namun semua ini bergantung kepada sambutan penonton terlebih dahulu. Insya-Allah perancangan ini boleh dipertimbangkan.

Harapan anda untuk filem ini?

Sudah tentu saya ingin filem ini dapat sasaran pecah panggung, kalau dapat bawa ke festival filem itu saya anggap sebagai bonus. Kutipan pecah panggung ini penting untuk pihak penerbit yang dah banyak berbelanja dan untuk beri keyakinan kepada rakyat tempatan yang kita boleh hasilkan filem-filem yang bagus. Saya ingin mendidik para penerbit dan syarikat produksi di luar sana supaya berbelanja lebih untuk menghasilkan filem berkualiti tinggi.

Boleh kongsikan projek selepas ini?

Selepas ini saya akan bekerjasama dengan Sein dan Zizan sekali lagi untuk sebuah filem komedi seram berjudul "Dia Datang". Tujuan filem ini dihasilkan adalah untuk memartabatkan kerjaya guru dan mengetengahkan masalah yang mereka hadapi. Ia mengisahkan sekumpulan guru yang terpaksa ditahan di sekolah asrama dan tidak dapat balik bercuti. Zizan akan membawa watak seorang ustaz dan warden asrama. Watak guru perempuan pula saya sasarkan Mira Filzah, Bella Astillah, Sherry Alhadad dan Elizabeth Tan. Insya-Allah penggambaran akan dijalankan selepas raya dan saya sasarkan filem ini untuk dirilis pada tahun depan.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem "Bulan & Pria Terhebat" yang kini ditayangkan di pawagam berhampiran anda sejak 12 Mac!


Cinema Online, 15 Mac 2020

Filem Berkaitan
Pautan Berkaitan
"Bulan & Pria Terhebat" filem aksi tempatan pertama fokuskan wanita
Filem yang dibikin setanding filem Hollywood itu diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar.
Zahirah MacWilson bangga mampu jayakan aksi lagak ngeri sendiri
Pelakon itu bakal muncul dengan filem sulungnya berjudul "Bulan & Pria Terhebat".
Zizan Razak letak harapan tinggi untuk "Bulan & Pria Terhebat"
Pelakon itu mempercayai kebolehan pengarah Ghaz Abu Bakar untuk menjayakan filem itu.