ENG | BM
Temubual
"M4M4" buat Nabila Huda lebih berjaga-jaga

Penulis: Nisa Irina


Nabila Huda akui watak Aini dalam "M4M4" agak berat untuk dibawa.

Kali terakhir dilihat di layar perak menerusi filem "Wangi", kini pelakon Nabila Huda kembali menjayakan filem thriller seram terbaru berjudul "M4M4" yang digarap oleh pengarah Eyra Rahman.

Mengangkat tema hubungan ibu dan anak, filem ini menceritakan penderitaan seorang ibu yang ingin membalas dendam selepas satu-satu anaknya diperkosa dan mati dibunuh.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa Abil, berlakon dalam filem "M4M4" telah memberi impak dalam kehidupannya apabila ia membuatkan dia lebih berjaga-jaga dengan kes rogol yang meleluasa bukan hanya di Malaysia, malah di luar negara.

Diterbitkan oleh Da Motion Pictures, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.

Cinema Online sempat menemu bual Abil yang hadir memeriahkan malam gala tayangan perdana filem "M4M4" bersama barisan pelakon di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Jom ikuti temubual bersama Nabila Huda.


Barisan pelakon utama filem "M4M4" yang hadir memeriahkan malam gala
tayangan perdana filem tersebut.

Cinema Online: Mengapa anda bersetuju untuk membintangi filem ini?

Nabila: Sebab utama mengapa saya ingin membintangi filem ini adalah kerana tema cerita itu sendiri tentang hubungan yang kuat antara seorang ibu dan anak. Kehilangan itu sangat menyakitkan, apatah lagi apabila anak yang disayangi telah dirogol dan kemudian mati dibunuh.

Apakah mesej yang ingin disampaikan menerusi "M4M4"?

Filem ini sebenarnya banyak memberi pengajaran supaya kita mengambil langkah dan cara yang betul untuk berhadapan dengan situasi sebegini serta mengambil langkah berjaga-jaga agar ia dapat dielakkan. Apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah kes-kes yang kerap berlaku bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia dan kebanyakannya tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.Contohnya, pesalah hanya akan dihukum penjara dan sebatan sahaja, sedangkan hukuman lebih berat harus dijatuhkan. Kita perlu fikir juga situasi mangsa itu sendiri, pasti mangsa akan trauma sepanjang hidup dia dan sukar untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Ada gunakan mana-mana rujukan untuk watak anda?

Saya tidak menggunakan mana-mana rujukan. Selepas meneliti skrip, saya cuba cipta watak Aini itu sendiri dengan panduan daripada pengarah. Kebiasaannya saya memang akan mendengar pendapat pengarah sewaktu penggambaran walaupun kita sebagai pelakon mempunyai cara lakonan tersendiri. Bagi saya jika ingin berlakon drama atau filem, kita perlu mendengar cakap pengarah supaya lakonan kita tak dilabel stereotaip.

Pengalaman bekerja di bawah arahan Eyra Rahman?

Ini merupakan kali pertama saya bekerja di bawah arahan Eyra, dan Alhamdulillah ia tak sukar dan dia banyak memberikan pandangan kepada saya untuk menghidupkan lagi watak ini. Saya suka dengan pengarah yang memberi teguran kepada pelakonnya kerana bagi saya banyak perkara baharu yang boleh dipelajari. Dengan cara sebegini, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada saya untuk meningkatkan lagi mutu lakonan.

Pengalaman berlakon bersama Bella Dowanna?

Saya dan Bella memang tiada masalah sepanjang penggambaran kerana sejak hari pertama kami dah ada keserasian. Memang pada awalnya agak tak selesa kerana ini merupakan pertama kali saya berlakon menjadi ibu kepada anak remaja. Ia adalah cabaran baru juga bagi saya tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar, kami berjaya sampaikan babak-babak sedih bersama. Saya banyak berbual dengan Bella di set penggambaran sehingga saya anggap dia seperti anak sendiri dan perasaan sayang itu tak dibuat-buat.

Apakah cabaran yang anda hadapi sepanjang menjayakan watak ini?

Jujurnya watak Aini sangat berat dan antara watak paling berat saya pernah bawa kerana dia seorang ibu yang menderita apabila anak perempuannya diperkosa dengan dibunuh. Kalau dilihat dalam filem, kebanyakan babak saya perlu menangis dan ia sangat memenatkan sehingga ada masa dada saya rasa sesak. Sepanjang melakonkan watak Aini, saya terbawa-bawa dengan karakter ini hingga ke rumah. Tingkah laku saya jadi berbeza. Ada ketika saya jadi marah-marah sehingga ditegur suami. Ini kerana saya sering terfikir apa yang akan saya lakukan jika perkara sama terjadi kepada saya dan Keisha.

Memandangkan anda sering ditawarkan watak ibu, adakah anda akan terus menjayakan watak sebegini?

Tidak, saya masih boleh memilih dan jika saya rasa tak sesuai dengan sesuatu watak itu, saya tak akan terima. Saya bukan jenis yang akan terima bulat-bulat sesebuah projek. Saya ingin membawa watak yang berbeza dalam setiap projek. Saya tahu bagaimana untuk pelan perjalanan karier saya supaya orang tak akan bosan dengan lakonan saya.

Boleh kongsikan projek lain selepas ini?

Pada 11 Februari ini, saya akan mula menjalani penggambaran bagi projek filem seram iaitu 'remake' kepada filem "Rahsia" (1987) yang bakal diarahkan oleh Syamil Othman. Bagaimanapun, skrip dan jalan ceritanya diolah supaya tak sama dengan yang lama. Jujurnya, filem "Rahsia" ini lebih berat dari filem "M4M4". Antara pelakon lain yang akan membintangi filem ini ialah Fikry Ibrahim, Eman Manan dan Mizz Nina. Kami juga akan menjalani latihan di Pulau Carey selama sebulan. Apa-apa butiran lain, saya dan pihak produksi akan umumkan kelak.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem thriller seram "M4M4" yang kini ditayangkan di pawagam berhampiran anda sejak 6 Februari!


Cinema Online, 9 Februari 2020

Filem Berkaitan
M4M4 (Malay) (06 Feb 2020)
Wangi (Malay) (05 Sep 2019)
Pautan Berkaitan
Filem "M4M4" papar realiti mangsa jenayah rogol
Diarahkan oleh Eyra Rahman, filem thriller seram itu diterajui oleh Nabila Huda dan Bella Dowanna.
Nabila Huda berubah selepas jayakan filem "M4M4"
Pelakon itu akui sikapnya berubah sejak terbabit dengan penggambaran filem seram terbarunya.
Nabila Huda terkejut dinobat Pelakon Wanita Terbaik Drama di ASK 2019
Pelakon itu berjaya rangkul anugerah itu menerusi drama "Dia Tidak Berdosa".
"M4M4" kutip RM2.5 juta selepas 2 minggu
Filem thriller itu mendapat sambutan positif daripada penonton yang berpuas hati dengan naskhah itu