ENG | BM
Buletin
Beto bersykur masih jadi pilihan penerbit dan pengarah

Penulis: Ashraf Nasser


Beto Kusyairy harap industri lakonan akan lakukan perubahan untuk tingkatkan kualiti.

12 Feb – Pelakon Beto Kusyairy memberitahu dirinya masih lagi menerima banyak tawaran berlakon daripada penerbit dan pengarah walaupun kelibatnya kini sudah jarang kelihatan di layar perak mahu pun di kaca televisyen.

Ini kerana Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman berkata, walaupun dia banyak menerima tawaran tetapi tidak semua yang diterima dan banyak yang ditolaknya kerana skrip yang lemah selain jalan cerita yang klise.

"Saya menghormati pihak yang memberikan tawaran, tetapi ada kalanya saya menerima skrip yang hampir sama jalan cerita. Yang berbeza mungkin watak lelaki dan perempuan sahaja. Kalau kandungan beberapa naskhah sudah sama, untuk apa saya menerima?

"Sebab itu saya selalu menggunakan media sosial terutamanya Twitter untuk bertanya adakah benar kisah sebegini yang penonton mahukan?," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Antara naskhah klise yang sering diterima pelakon "Bisik Pada Langit" ini adalah seperti kisah cinta tidak direstui keluarga, antara dua darjat, atau pun kisah perkahwinan untuk menyelamatkan empayar perniagaan keluarga.

Dalam pada itu, Beto yang ditanya mengenai naskhah yang benar-benar memberinya kepuasan dalam lakonan sepanjang tempoh setahun berkata hanya 25 peratus naskah yang dilakonkannya membuatkan dia benar-benar puas hati.

Kepuasan yang dimaksudkannya adalah dari segi gandingan pelakon, skrip, pengarahan dan hala tuju sesebuah naskhah itu.

Sementara itu, dalam perkembangan terbarunya Beto baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul "Esok Untuk Kita" arahan Azma Yusoof, yang mana dalam naskhah itu dia bergandingan dengan Uqasha Senrose, Sara Ali, Sharul Kamal, Raja Azmi, Zaibo dan ramai lagi.

(Sumber foto: Ultranews)


Cinema Online, 12 Februari 2018