ENG | BM
Buletin
Farah Nabilah tak akan letak bayaran tinggi lepas menang anugerah

Penulis: Ashraf Nasser


Farah Nabilah juga tidak bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan kepadanya.

11 Okt – Pelakon Farah Nabilah yang baru sahaja memenangi trofi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH 31) baru-baru ini menegaskan bahawa dia tidak akan bersikap 'demand' terhadap bayaran untuk lakonannya.

Menurut Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, dia yakin penerbit tahu dalam menentukan jumlah bayaran untuk setiap pelakon yang terlibat dalam naskhah produksi mereka.

"Kalau saya letak harga mahal, orang tak mahu ambil saya berlakon pula. Saya yakin, penerbit lebih arif menentukan harga sesuai untuk pelakon," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah pelakon "Mana Mau Lari" ini lagi, bukan soal bayaran sahaja, malah dia juga tidak akan bersikap selektif terhadap watak yang ditawarkan kepadanya.


"Tidak kisah watak utama atau pembantu, asal ia memberikan impak kuat saya akan terima. Saya pentingkan kualiti kerja berbanding kuantiti," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 26 tahun ini memberitahu bahawa dia bakal terbang ke Eropah untuk menjalani penggambaran program travelog.

Ini merupakan kali pertama Farah akan tampil sebagai pengacara untuk program travelog yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Selain itu, dia juga bakal masuk ke set penggambaran filem aksi terbaru pada tahun hadapan.

Farah bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai filem itu kerana ia akan diumumkan tidak lama lagi.

(Sumber foto: Farah Nabilah Instagram)


Cinema Online, 11 Oktober 2018