ENG | BM
Buletin
Farid Kamil terpaksa tolak tawaran berlakon naskhah aksi

Penulis: Ashraf Nasser


Diana Danielle berkata suaminya akan kembali aktif selepas pulih sepenuhnya.

11 Okt – Isteri kepada pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil, Diana Danielle memberitahu suaminya masih lagi aktif dalam industri seni tetapi terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana ia membabitkan naskhah aksi.

Diana berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai suaminya yang sudah lama tidak muncul di layar perak mahu pun di kaca televisyen selepas terpalit dengan kontroversi dan kes mahkamah.

"Farid baru sahaja menjalani pembedahan lutut baru-baru ini. Dia akan berehat selama empat bulan sehingga lututnya pulih sepenuhnya.

"Buat masa ini, Farid hanya boleh menjayakan cerita yang tidak memerlukan dia melakukan babak aksi. Kali terakhir Farid berlakon ialah dalam telefilem "Hilang Akal" arahan Osman Ali bergandingan dengan Tiz Zaqyah," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Dalam pada itu, pelakon "Hanyut" itu mengakui pelakon yang ditimpa kontroversi kadang-kala akan digam oleh pihak tertentu, oleh itu dia berharap mana-mana pelakon yang terkena supaya sentiasa bersabar dan berfikiran positif dengan dugaan yang berlaku.

Ini kerana kontroversi mahu pun gosip selalunya hanya hebat diperkatakan dalam beberapa tempoh sahaja, dan selepas itu orang akan melupakannya.

Apa yang penting adalah untuk jangan sesekali berasa putus asa berdepan dengan situasi sukar dan terus berusaha.

(Sumber foto: Farid Kamil Instagram)


Cinema Online, 11 Oktober 2018