ENG | BM
Buletin
"Hero" bukan sekadar filem aksi komedi semata-mata

Penulis: Ashraf Nasser


Darling Ngasri mahu hasilkan sebuah filem yang boleh ditonton oleh setiap lapisan umur.

11 Okt – Selepas kejayaan drama bersiri "Hero" mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton, penerbit yang juga pengarah urusan dan ketua penerbit NS Star Studio iaitu Darling Ngasri telah mengambil keputusan untuk mengangkat drama itu ke layar perak.

"Hero" adalah sebuah naskhah yang berkisarkan tentang kisah sebenar mengenai pengorbanan anggota Bomba dan Penyelamat dalam menyelamatkan nyawa manusia dan juga harta benda.

Menurut Darling, walaupun sudah berbelas tahun berada dalam industry, baru kini dia mempunyai keyakinan untuk menghasilkan filem.

"Saya sebelum ini banyak terlibat dengan drama bersiri, telefilem dan projek-projek korporat kerana ketika itu saya rasa masih belum bersedia untuk menerbitkan filem lagi.

"Namun selepas kejayaan drama bersiri "Hero" yang mana ia turut diadaptasi ke novel selain sokongan daripada keluarga dan rakan, saya akhirnya nekad untuk menerbitkan filem ini," ujarnya yang ditemui di lokasi penggambaran "Hero" di ibu kota baru-baru ini.


Tambahnya lagi, dia mengambil masa yang agak lama untuk membuat memilihan skrip yang betul-betul menepati apa yang dimahukannya dan selepas berpuas hati dengan skrip, baru dia mencari pengarah untuk menggarap filem ini yang mana tanggungjawab itu diberikan kepada Azizi 'Chunk' Adnan.

Ditanya mengapa memilih genre berbeza, iaitu aksi komedi berbanding aksi serius dalam drama bersiri, Darling berkata dia mahu menghasilkan filem yang boleh ditonton oleh setiap lapisan umur.

Selain aksi dan komedi, naskhah ini akan turut menyelitkan unsur-unsur dakwah juga.

Sementara itu, Darling turut bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang memberikan kerjasama yang tidak berbelah-bahagi dari pelbagai aspek bagi menjayakan filem ini, termasuklah penggunaan jentera-jentera berat bomba.

"Hero" berkisarkan tentang tiga sahabat baik iaitu Zaf, Amad dan Adam yang merupakan anggota Bomba yang cuba merungkai konspirasi yang berlaku apabila banyak bangunan Tahfiz yang dibina di atas tanah bernilai tinggi terbakar.

Ia dibintangi oleh gabungan pelakon hebat seperti Hisyam Hamid, Mark Adam dan Bell Ngasri sebagai peneraju, manakala Elisya Sandha, Tash Yong, Datuk Jalaluddin Hassan, Shahrudin Thambi, Tauke Jambu sebagai pelakon pembantu.

Filem ini yang menelan belanja sekitar RM1.5 juta ini dijangka akan menemui penonton pada tahun hadapan.


Cinema Online, 11 Oktober 2018