ENG | BM
Buletin
Jalil Hamid kecewa ditawar bayaran 'ciput' untuk watak utama

Penulis: Ashraf Nasser


Jalil Hamid kesal kejayaan merangkul banyak anugerah tidak bermakna dan sia-sia sahaja

11 Okt – Pelakon dan penyanyi veteran, Jalil Hamid meluahkan rasa kecewanya terhadap sebuah produksi drama yang menawarkan bayaran sedikit atau 'ciput' untuk peranan sebagai watak utama untuk sebuah naskhah.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Jalil atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Abdul Hamid, di laman sosial Instagram miliknya dengan mengatakan dia ditawarkan sebanyak RM1,500 sahaja untuk menjayakan 12 babak daripada 16 babak secara keseluruhannya.

"Bila dah jadi artis veteran ini, rupa-rupanya dah jatuh nilai. Aku rasa terhina betul bila ada rumah produksi tawarkan perana utama, 12 babak dari 16 babak, dua hari penggambaran, harga yang ditawarkan RM1,500," tulisnya.

Jumlah bayaran itu membuatkan pelakon "Lelaki Harapan Dunia" ini berasa beberapa trofi sebagai Pelakon Terbaik dan Popular sepanjang 40 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan tidak bermakna dan sia-sia sahaja.

"Barangkali kerana aku tak ada gelaran Datuk atau Tan Sri. Atau kerana tidak kacak," tambahnya lagi. Susulan pendedahan Jalil, ramai rakan seperjuangan serta netizen bersimpati dengan keadaan yang berlaku kepada aktor itu dan menyelar tindakan produksi tersebut.

Malah ada juga yang meminta Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk masuk campur dalam perkara ini dan memperbetulkan keadaan dan menilai semula tawaran dan bayaran yang sepatutnya diterima mereka.

(Sumber foto: Jalil Hamid Instagram)


Cinema Online, 11 Oktober 2018