ENG | BM
Buletin
"Sabrina" bakal menghantui penonton Malaysia

Penulis: Ashraf Nasser


Tiga pelakon utama "Sabrina" iaitu Luna Maya, Sara Wijayanto dan Christian Sugiono
ketika sidang media di GSC One Utama.

10 Okt – Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, penonton tempatan disajikan dengan beberapa filem seram tempatan dan dari negara seberang Indonesia. Sekarang, sebuah filem terbaru berjudul "Sabrina" bakal menghantui penonton di pawagam bermula 18 Oktober ini.

"Sabrina" merupakan filem ketiga dari francais "Doll", yang pertama kali ditayangkan pada tahun 2016.

Dalam filem terbaru ini, dua pelakon asal utama dikekalkan iaitu Luna Maya dan Sara Wijayanto, selain Christian Sugiono dan Richelle Georgette Skornicki.

Menurut Luna, naskhah arahan Rocky Soraya ini sedikit berbeza dari filem-filem seram lain, kerana ia bukan bergantung kepada elemen takut atau 'jump scare' sahaja, tetapi ia mempunyai sebuah jalan cerita yang cukup menarik dengan 'twist'.

"Jika kita lihat secara luaran, naskhah ini mengangkat tema sama, iaitu mengenai patung berhantu, tetapi apa yang membezakan naskhah ini daripada filem lain adalah jalan cerita filem itu sendiri, dan ini memberikan ia kelainan daripada filem-filem lain," ujarnya yang ditemui pada sidang media "Sabrina" yang berlangsung di GSC One Utama, semalam.

Manakala bagi Christian Sugiono yang sememangnya dikenali sebagai pelakon terkenal sinetron, dia memilih naskhah "Sabrina" untuk menjadi filem seram pertamanya.

"Sebelum ini saya sudah dapat banyak tawaran filem seram, tetapi saya menolaknya kerana merasakan ia tidak bagus. Apabila saya ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, saya tidak terus terima, sebaliknya saya baca skrip terlebih dahulu dan ketika sedang meneliti skrip itu, saya menjadi sangat tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan.

"Malah saya juga melihat dari segi produksi, bajet dan perkara lain, kerana mahu memastikan naskhah ini mempunyai peluang untuk berjaya dan ternyata ia berjaya mendapat sambutan di Indonesia. Saya berharap ia akan turut dapat sambutan di Malaysia."

"Sabrina" berkisarkan tentang seorang wanita bernama Maira yang berkahwin dengan Aiden, seorang pembuat anak patung yang juga pemilik syarikat mainan. Mereka mengambil anak angkat perempuan, iaitu anak saudara Aiden, Vanya, yang masih lagi tidak dapat menerima kematian ibunya.

Mahu menyeru mendiang ibunya, Vanya bermain Charlie's Pencil. Bagaimanapun, perkara aneh mula berlaku selepas dia bermain. Lebih teruk, Maira mula diserang oleh anak patung Sabrina.


Cinema Online, 10 Oktober 2018